Petang itu, sepertimana petang-petang Ahad yang lain, saya ke Kampung Lokub, mengajar. Cuaca yang cukup baik, suasana yang cukup damai, dan anak-anak yang ramai datang pada petang itu seolah-olah menjanjikan petang yang aman, sungguh.
Seperti kebiasaannya, budak-budak itu semua dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang diajar oleh cikgu masing-masing. Saya sengaja tidak mahu mengambil sebahagian daripada budak-budak itu untuk diajar, al-maklumlah ada dua orang cikgu baru pada hari itu, Cikgu Erney dan kawannya Cikgu Afnie. Biar mereka berdua tahu susah senang hendak mengajar budak-budak kampung ini, terutamanya budak lelaki.
Saya hanya duduk di sudut dan memerhatikan mereka semua, belajar dan diajar.
Sambil di tangan saya memegang erat rotan yang panjang.
Dengan tidak semena, sedang saya duduk memerhatikan mereka semua, muncul sesusuk tubuh berdiri di hadapan beranda surau, seorang tua yang sememangnya dikenali oleh penduduk kampung tersebut, termasuk saya sendiri yang sudah lebih dua tahun mengajar di situ, ketua kampung.
Dengan wajah yang bengis seperti selalu, ketua kampung itu memandang saya.
"Apa yang kau buat tadi?" ketua kampung itu bertanya kepada saya.
Saya terpaku seketika, mencari-cari sebab apa dan kenapa dia bertanya sedemikian.
"Kenapa kau pukul dia!?" suaranya keras.
Oh, itu rupa-rupanya maksud dia.
"Sebab dia bising, tak mahu belajar!" saya menjawab.
"KENAPA KAU PUKUL DIA!!" suaranya semakin tinggi.Jelas, dia sedang memarahi saya.
"Dia bising! Dia tak dengar kata! Dia mengganggu orang lain belajar!" kali ini saya berdiri di hadapannya, dan hampir meninggikan suara.
"SIAPA KAU MAHU PUKUL DIA!? DIA BUKAN ANAK KAU!!"
Suasana menjadi sunyi tetapi tegang. Cikgu-cikgu dan budak-budak kesemuanya senyap memerhatikan kami.
"DIA BUKAN ANAK KAU, MANA BOLEH KAU PUKUL DIA! SENANG-SENANG SAJA KAU MAHU PUKUL ANAK ORANG! AKU TAK PANGGIL KAU PUN DATANG KE SINI! HUH, DATANG SINI PUKUL-PUKUL BUDAK! SAMPAI BERBEKAS PULA, AKU SENDIRI PUN TAK PERNAH PUKUL BUDAK!"
"SUDAH, PERGI BALIK! JANGAN DATANG SINI LAGI! TAK GUNA BETUL...MACAM SYAITAN!!"
Saya hanya mampu diam mengetap gigi, sambil memandang tepat ke dalam matanya. Lalu ketua kampung tersebut berlalu meninggalkan kami semua di situ diam terpaku.
Dan rotan panjang itu masih tergenggam kemas di tangan saya.
Segalanya kerana insiden yang berlaku kurang dari seminit pada awal waktu mengajar tadi. Salah seorang budak lelaki bising dan bermain-main malah mengganggu budak-budak yang lain sedang belajar, terlalu tidak boleh dikawal malah sudah disuruh duduk dan diam. Hanya dengan satu ayunan pukulan rotan yang ringkas singgah di belakang badannya, barulah dia turut mendengar kata. Pukulan rotan yang ringkas, tidak berbunyi, dan mustahil berbekas. Dan budak itu kemudiannya lari pulang meninggalkan kami di situ.
Adakah hanya kerana itu saya diherdik dan dimarahi? Malah dihalau?
"...Jom!" saya berkata perlahan kepada Azizul (cikgu) yang datang menaiki motor bersama saya, supaya pulang. Saya mengambil topi keledar di sebelah saya.
"Cikgu! Mau balik suda?" salah seorang daripada budak-budak itu bersuara, manakala yang lain kedengaran seperti berbisik-bisik.
Saya hanya mengangguk.
"Dengar! Lain kali, jangan buat cikgu marah, dengar kata cikgu. Cikgu pun tak mahu marah kamu. Kamu semua ni yang kadang-kadang degil dan nakal sangat, cikgu terpaksa pukul. Cikgu pukul pun...sebab cikgu...bukan marah...tapi..." kata-kata terakhir itu tersekat di hujung kerongkong saya, sebelum saya melangkah keluar dari surau itu. Ya, cikgu pukul bukan sebab benci atau marahkan kamu, tapi sebab cikgu sayang kamu semua, sayang sangat sangat.
"Cikgu!!"
Budak-budak itu semuanya berlari ke arah saya, berebut-rebut hendak bersalam dan mencium tangan saya. Saya hanya mampu menahan sebak, mata berkaca-kaca.
Saya tidak berasa sedih kerana dimarah, ditengking, dihina, dan dicerca, tetapi apa yang amat menyedihkan saya adalah saya dihalau, dihalau dari datang ke situ lagi sepenuhnya, ke Kampung Lokub, setelah lebih 2 tahun mengajar di situ.
"Cikgu! Kau datang lagi minggu depan?" budak-budak itu bertanya.
Saya hanya membalas dengan senyuman sambil menahan-nahan air mata mengalir keluar. Jawapan itu bukan pada cikgu, tapi pada kamu, kamu yang tentukan, anak didik cikgu.
Mereka semua melambai-lambai dari dalam sambil diperhati oleh cikgu-cikgu yang lain, dan saya pula melangkah pulang meninggalkan tempat itu, mungkin untuk selama-lamanya.




