Wednesday, November 11, 2009

Ketika Cinta Bertasbih


Sebuah filem yang puas saya nantikan, akhirnya berjaya juga saya tontoni. Sudah lama saya tidak segirang ini untuk menanti sebuah filem. Ya, saya bukanlah penggemar filem, apatah lagi filem melayu Malaysia atau pun Indonesia. Tetapi buat kali ini, saya mengecualikan filem yang satu ini. Ketika Cinta Bertasbih mendapat tempat dalam hati saya atas beberapa kelebihan berbanding cerita cinta (dan islamik) yang lain.

Jikalau Ayat-ayat Cinta kita disajikan dengan watak Fahri yang sempurna, agamanya, akademiknya, hubungannya, keluarganya, kali ini Habbiburrahman melakukan perubahan dalam watak utama cerita, Khairul Azzam, seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar yang serba kekurangan dan hidup kesusahan. Terpaksa bekerja sambil belajar untuk menampung kewangan keluarganya di Indonesia, hingga mengambil masa 9 tahun untuk lulus dari universiti. Lebih lagi, selama itulah dia tidak pulang ke kampung halamannya, hingga adiknya yang paling kecil sudah tidak berapa mengenalinya.

Ini sememangnya cerita cinta, tetapi apa yang Habiburrahman mahu sampaikan adalah lebih daripada hanya hubungan cinta silang jantina. Cinta keluarga, jelas dipaparkan dalam cerita ini berbanding Ayat-ayat Cinta. Husna, adik kepada Azzam begitu menyayangi abangnya, dan merupakan inspirasi kepada semangatnya untuk menulis sastera. Saya sendiri terharu melihat adiknya menangis kegembiraan menyambut abangnya di lapangan terbang setelah 9 tahun tidak ketemui. Ketabahan, kegigihan dan semangat yang kuat Azzam untuk melangsungkan hidupnya itu menjadi pengajaran bagi semua.

Filem Ayat-ayat Cinta yang mendapat kritikan mengenai barisan pelakonnya memutuskan Habbiburrahman sendiri bertindak sebagai pengarah pelakon supaya para pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih dimonopoli oleh mereka yang mempunyai fikrah agama. Hasilnya, langsung tidak mendukacitakan. Siapa kata melalui filem kita tidak dapat berdakwah? Siapa kata berlakon semestinya perlu untuk tidak bertudung, perlu berpegangan tangan dan bersentuhan sesama ajnabi? Habbiburrahman berjaya menolak sangkaan itu melalui filem ini.

Penceritaan selama 2 jam tampak seperti terlalu singkat, semakin banyak yang diceritakan, semakin banyak yang persoalan yang terkeluar, dan seperti novelnya, filem ini juga dibahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian kedua hendaklah ditonton barulah terjawab segala persoalan dan permasalahan yang diajukan dalam cerita ini. Ah, betapa harus ditunggu lagi untuk bahagian kedua.

Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan filem ini. Sinematografinya tidaklah begitu bagus, tetapi tidaklah juga teruk, memadai untuk sebuah cerita cinta yang tipikal. Penataan bunyi dan lagu masuk, plot yang bergerak stabil, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, cuma hanya dalam beberapa babak. Ada sarikata untuk bahasa Arab, tetapi tidak untuk bahasa Indonesia (jadi ada beberapa babak yang diperkatakan dalam filem itu saya tidak fahami kerana saya bukanlah menguasai bahasa Indonesia dengan baik).

Sengaja saya tidak membaca novelnya sebelum menonton filem ini kerana mahu menilai dari sudut pandangan yang lain. Jadi saya tidak dapat mengulas mengenai perbandingan filem dan novel Ketika Cinta Bertasbih. Mungkin selepas ini barulah saya mencari dan membaca buku tersebut. Apa-apa pun, bagi penggemar filem islamik, filem ini wajar untuk anda tontoni, dan bagi mereka yang mahu bertukar angin untuk menonton cerita seperti ini, ianya pasti tidak mengecewakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 comments:

  1. maaf penulisan caca-merba. minggu exam lagi ni so tulis pun pening-pening sikit. hehe

    ReplyDelete
  2. khairul azam watak utama dia, ewahh

    ReplyDelete
  3. betul, bukan Mohd Khairul bin Mohd Azam. ahaha

    ReplyDelete
  4. i smell jealousy around here and it's getting stronger ^_^

    ReplyDelete
  5. nope, i smell 'keperasanan' melampau in someone.ahaha

    ReplyDelete
  6. dah habis tgk cete ketika cinta bertasbih~ tersnyum sorg2 huhu

    "keperasaan" ku semakin menjadi2 nih ahaaa plz hold mee ^_^

    ReplyDelete
  7. salam.. rasanya sebuah filem yg bleh saya boleh bg 9 drpd 10 setelah melihatnya.. suasana ataupun gambaran Islamic yg ditonjolkan amat menarik walaupun saya bukan lah org begitu layak berbicara mengenai cinta..

    ReplyDelete
  8. wah bestnyer dah nonton...sya tercari2 movie tu..sya ada buku da jak..tu pun yg vol.2..huhuhuhu vol.1 tak jumpa...

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"