Monday, May 09, 2011

Review Filem Dalam Mihrab Cinta


Setelah kejayaan gemilang dua filem adaptasi daripada novel popular Habiburrahman el-Shirazy yang bertajuk Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih, kini, novelnya yang seterusnya iaitu Dalam Mihrab Cinta diadaptasikan kepada filem pula. Malah, ianya disutradarakan sendiri oleh Habiburrahman el-Shirazy (Kang Abik) buat pertama kalinya. Adakah filem ini sehebat seperti dua filem yang sebelumnya?

Artikel ini mempunyai spoiler. Baca atas tanggunggan sendiri.


Sinopsis

Syamsul (Dude Harlino) pemuda 20 tahun-an bertekad menuntut ilmu di sebuah pesantren di Kediri, meninggalkan kehidupannya yang cukup nyaman. Di sana dia bertemu dengan Zizi (Meyda Sefira) puteri pemilik pesantren yang pernah ditolongnya ketika diugut di dalam keretapi, yang kejadian tersebut membuat mereka jadi dekat.

Di pesantren ini Syamsul terusir kerana dituduh mencuri akibat fitnah sahabatnya sendiri Burhan (Boy Hamzah). Kemudian kerana keluarganya sendiri juga tidak mempercayainya, hingga benar-benar membuat Syamsul menjadi seorang pencuri.

Di tengah kekacauan dan kegelapan hidupnya ini Allah memberikan jalan baginya untuk bertaubat dan mempertemukannya dengan Syilvie (Asmirandah) seorang gadis solehah. Apakah Syilvie nantinya yang akan berjodoh dengan Syamsul ataukah Zizi yang bakal jadi pendamping hidupnya?

Ulasan

 
Sebelum saya mengulas dengan lebih lanjut, adalah perlu diketahui bahawa saya belum pernah lagi membaca novel Dalam Mihrab Cinta, oleh itu tidak ada perbandingan antara filem dan novel yang akan saya buat. Harap-harapnya novelnya jauh lebih bagus daripada filemnya.

Filem pertama yang diarah sendiri oleh Kang Abik, tampak terlalu biasa, seolah-olah menonton sinetron. Sinematografinya biasa-biasa, dialognya biasa-biasa, lakonannya juga biasa-biasa, malah kadang-kala babak tangis-menangis terlalu kerap dan lama sehingga rasa menjengkelkan. Ya, memang, untuk membuatkan penonton berasa sedih, tapi sesuai hanya untuk beberapa babak penting, selain daripada itu, watak-watak yang menangis terasa dibuat berlebih-lebihan.

Bagaimana dengan common sense dalam filem tersebut? Ada beberapa peristiwa yang agak tidak realistik. Bagaimana kereta yang melanggar pondok kecil boleh terbalik? Adakah Syamsul tidak mempunyai kawan lain selain daripada Burhan yang sekurang-kurangnya, walaupun tidak membela Syamsul, tetapi mempercayainya? Pencuri yang mengugut Zizi dibiarkan sahaja pergi ke gerabak yang seterusnya? Malah penghukuman pasentran terhadap Syamsul adalah terlalu keterlaluan...kenapa tidak diperiksa alibinya? 15 minit pertama mengenai kes kecurian itu terlalu dipaksa proses penyampaiannya hingga mengabaikan realiti dan common sense dalam menilai dan menghukum (dalam Islam).


Filem ini boleh dibahagikan kepada dua cerita, cerita pertama, sejam yang pertama, adalah mengenai bagaimana Syamsul yang baik difitnah mencuri kemudian dibuang pasentran, dan lanjut melarikan diri dari rumah. Cerita kedua, 45 minit yang terakhir, terarah kepada kisah Syamsul dan Syilvie dan juga Zizi. Senang kata, jika anda tidak minat cerita cinta, boleh sahaja untuk tidak menonton 45 minit yang terakhir atau jika anda terlalu suka dengan cerita cinta, boleh sahaja terus menonton 45 minit yang terakhir tanpa menonton dari awal. Adakah ciri ini menunjukkan ini sebuah filem yang bagus?

Selain Syamsul, saya tidak dapat menghayati watak-watak yang lain, tidak cukup perkembangan. Malah perlu diulang-ulang tonton barulah teringat nama watak-watak yang lain. Syilvie tidak cukup perkembangan watak, hingga kematiannya tidak terlalu dirasa penonton, watak Zizi lebih kosong. Hanya penting pada awal dan akhir filem sahaja tanpa sifat yang kuat untuk ditonjolkan sebagai salah satu watak penting dalam cerita.

Namun...sekali lagi, namun...nilai dan pengajaran dalam filem ini adalah berbaloi untuk dihayati, jauh lebih bagus daripada filem-filem lain yang kosong nilai dan penuh hiburan. Persoalan yang ditimbulkan mengenai seorang yang alim agama tetapi pada masa yang sama melakukan maksiat adalah wajar untuk diteliti.

Secara keseluruhan, filem Dalam Mihrab Cinta adalah filem yang biasa, tidak sehebat Ayat-ayat Cinta mahu pun segah Ketika Cinta Bertasbih. Namun masih bagus untuk ditonton. Setidak-tidaknya ada penghayatan agama dalam filem ini, jika hendak dibandingkan dengan filem-filem lain.

Bila lagi Malaysia hendak buat filem yang islamik setelah Syukur 21?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments:

  1. bila orang yang komen tue jadi pengarah.. by the way, ney amek komen2x dari orang lain ea.. sedang tgk cerita ini di youtube... tgk sekerat2x setiap bab.. lambat giler..

    ReplyDelete
  2. aik?tukar komen dari facebook ke blogger lak?

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"