Tuesday, December 01, 2009
Kembali dan Terus Menulis
Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Sesekali bergerak pantas, sesekali terhenti mencari rentak, sesekali pula berundur langkah. Dan ada ketikanya pula jemari saya hinggap ke kepala, meneroka kawasan rambut yang seakan ada jawapan bagi meneruskan rentak tarian di papan kekunci komputer yang sebentar-sebentar terhenti. Untuk seberapa ketika keadaan ini berterusan.
Perkara biasa bagi sesiapa yang buntu untuk menulis.
Saya baru sahaja pulang dari menjalankan kajian untuk penulisan tesis saya yang dijalankan selama 10 hari di dalam hutan. Penat, sungguh penat. Lebih lagi, kepenatan ini tidak berkurang setelah saya pulang ke universiti, malah bertambah. Balik sahaja, saya disajikan dengan fail-fail yang bertimbun, kertas-kertas yang menggunung, dan berita-berita yang membakar telinga. Sungguh, tiada hari cuti dalam kalendar hidup saya.
Belum lagi termasuk hal-hal di alam maya.
Sebaik sahaja saya sampai ke universiti 2 hari lepas, perkara pertama yang saya lakukan, dan yang semestinya saya lakukan, adalah membuka komputer riba saya. Nah, 15 minit mengadap skrin komputer cukup untuk otak saya rosak akibat information overload. Otak saya yang bergerak perlahan dan bersahaja selama 10 hari hanya dengan memikirkan soal makan, minum, tidur, dan katak, tiba-tiba dikejutkan dengan informasi yang pelbagai. Sungguh, kaki saya yang sakit-sakit tidak terasa sakitnya tiba-tiba apabila otak bergerak dengan kadar yang luar biasa. Sakit bertukar arah dari kaki ke kepala.
Jalan penyelesaian? Katil di sebelah.
Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Kadangkala saya berasa hairan dengan diri saya sendiri. Tidak memikirkan keadaan diri lebih daripada memikirkan hal-hal lain. Sering saya terlupa bahawa saya sudah makan atau belum, sudah solat atau belum, sudah siap kerja atau belum. Baru semalam emak menelefon bertanyakan jadual penerbangan ke rumah nanti, yang mana saya sendiri tidak ingat jam berapa. Dan baru sebentar tadi saya menyemak tiket penerbangan saya, penerbangan saya untuk malam ini. Oh ya, bagaimana pula dengan pengangkutan untuk ke lapangan terbang nanti? Baru terfikir.
Habis itu, apa yang selalu ada dalam fikiran saya selama ini?
Itu bukan persoalan yang perlu anda semua ketahui, malah saya juga tidak mahu tahu. Apa yang penting, adalah apa yang diperlukan untuk memenuhi kepuasan pemikiran saya, iaitu jawapan.
Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Terdengar seruan bangun menyembah ilahi, seruan bangun menuju kejayaan. Saya harus menyambut seruan itu. Untuk itu, jari-jemari ini perlu menyudahkan tariannya. Namun tidak untuk selamanya, kerana mereka harus menari lagi pada waktu-waktu mendatang, sebagai bukti bahawa adanya ada, sayanya saya.
"Ya Allah, jadikanlah kami pada awal hari ini kebaikan, di pertengahannya kebahagiaan, dan di akhirnya keselamatan. Tetapkanlah kami serta jadikanlah kami sentiasa dalam petunjukmu. Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami di akhirnya dan sebaik-baik usaha kami penyudahnya dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari berjumpa dengan-Mu"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
© Q-riuz (2008 – 2013)
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.
"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"
Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.
"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"
i like this most..this simple post, but really make me more interest to know more..we call diz qrius?
ReplyDeleteyeah, you can call that. thanks ~_~
ReplyDeletedon't stop writing,
ReplyDeletenot only me, but most readers love ur style.
keep it up!