Thursday, January 07, 2010

Isu Kalimah Allah


Keputusan 31 Disember tentang penggunaan kalimat Allah oleh Mahkamah Tinggi menutup tirai 2009 dan membuka 2010 dengan penuh kontroversi. Mungkin tidak sehebat enjin jet yang hilang atau pun gula yang naik 20 sen. Tetapi isu ini telah menjadi sepak mula arena isu di negara ini sejak 1 Januari lagi.

Isu kalimah 'Allah' mendapat perhatian umum semenjak keputusan mahkamah untuk membenarkan akhbar The Herald menggunakannya. Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar, Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 30 Disember yang lalu memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri (MDN) yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar The Herald adalah keputusan yang tidak sah, terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.



Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai penganut agama Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka (to practice and propogate their religion) seperti mana yang dijamin oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang penganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak. Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan Hakim Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya eksklusif bagi orang Islam sahaja. Saya berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia (Islam dan bukan Islam) malahan Tuhan kepada seluruh alam. Keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 (1) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 (4) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang-orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar The Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya, meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 (1) dan 11 (4), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam (public disorder) dan keharmonian agama.

Sepatutnya Hakim Lau Bee Lan memutuskan bahawa tindakan akhbar The Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (5) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaskan ketenteraman awam (public disorder).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak, tidak lagi timbul. Tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 (5) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak, namun saya tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 (5) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 (5) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat saya berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 (5) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknanya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligus berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

*dipetik daripada penulisan Mohamed Hanipa Maidin, yang merupakan seorang peguam dan juga pemimpin PAS.

Kalimah Allah Milik Siapa


Masyarakat Jahilliyah pada zaman Rasulullah SAW memang percaya pada Allah. Namun mereka juga percaya pada tuhan-tuhan rekaan mereka sendiri yang mereka dakwa adalah anak pada Allah atau pengantara di antara manusia dan Allah. Termasuk di dalam kategori tuhan-tuhan palsu ini adalah Latta dan Uzza dan beratus-ratus lagi tuhan yang mereka letakkan di keliling Kaabah pada masa itu.

Di antara bukti bahawa masyarakat Jahilliyah menggunakan kalimah Allah adalah dalam kisah surat perjanjian pemulauan kaum Bani Hashim oleh kaum Quraisy di mana akhirnya surat perjanjian tersebut telah habis dimakan serangga. Yang tinggal hanya mukaddimah surat tersebut yang berbunyi, “Bismikallahhumma” atau ‘Dengan namamu Allah, Tuhan kami’.

Walaupun kaum Musyrikin zaman Nabi SAW percaya pada Allah dan menggunakan kalimah ‘Allah’, ini tidak bermakna mereka telah Muslim. Mereka tetap kafir musyrik walaupun mereka percaya kepada Allah dan menggunakan kalimat ‘Allah’. Yang menjadikan mereka musyrik adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan mengadakan tuhan-tuhan lain yang turut disembah.

Itulah sebabnya apabila seseorang memeluk agama Islam dia menegaskan keesaan Allah. Dia menegaskan keesaan Allah supaya membezakan pendiriannya dari mereka yang mengatakan Allah mempunyai anak dan sekutu. Kepercayaannya terhadap keesaan Allah yang menjadikannya Muslim bukan kepercayaannya terhadap wujudnya Allah semata-mata.

Begitu jugalah keadaannya berhubung golongan Ahli Kitab iaitu Yahudi dan Nasrani. Konsep Triniti pegangan orang-orang Nasrani telah pun wujud pada zaman Rasulullah SAW. Walaupun mereka turut menggunakan kalimah ‘Allah’, tetapi kepercayaan umat Islam dibezakan dari kepercayaan mereka melalui konsep keesaan Allah yang dibawa Islam. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menegur kesesatan kepercayaan orang Nasrani yang mendakwa Isa AS sebagai anak Allah dan Allah sebagai satu dari tiga. Ini semua ditegur walaupun pada masa yang sama orang Nasrani terus menggunakan kalimah Allah. Di antara ayat-ayat ini adalah Ayat 72 dan 73 Surah Al-Maidah di mana Allah berfirman,

"Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Sesungguhnya Allah ialah al-Masih putera Maryam", padahal al-Masih (sendiri) berkata: "Hai Bani Israil, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu." Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun" (al-Maidah: 72)

"Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: "Bahawasanya Allah salah seorang dari yang tiga", padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir diantara mereka akan ditimpa siksaan yang pedih." (al-Maidah: 73)

Dalam kedua-dua ayat ini tidak dapat dinafikan bahawa kaum Nasrani atau Kristian menggunakan kalimah Allah tetapi kepercayaan mereka yang menolak keesaan Allah menjadikan mereka kafir. Tiada kutukan dari Allah terhadap penggunaan kalimah Allah oleh mereka.

Andaian bahawa orang Nasrani sekarang berpegang kepada konsep Triniti dan orang Nasrani pada zaman Rasulullah tidak dan oleh itu mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah adalah tidak berasas. Ini jelas dari ayat-ayat tersebut yang diturunkan pada masa itu dan menegur kepercayaan orang Nasrani pada masa itu.

Konsep Tauhid yang menentukan seseorang itu Muslim atau sebaliknya. Inilah pada dasarnya yang membezakan Islam dengan agama yang lain. Namun, tidak juga mencukupi dengan hanya itu. Ada juga satu aspek lagi dalam kalimah syahadah umat Islam yang bererti “Aku naik saksi Muhammad Rasul Allah”. Oleh itu, kalau ada sekalipun golongan yang mengesakan Allah tetapi menolak kerasulan Nabi Muhammad SAW, dia tetap bukan seorang Muslim. Termasuk dalam golongan ini kumpulan Qadiayani dan mungkin juga Sikh dan Yahudi.

"Dan janganlah kamu berdebat dengan ahli kitab, melainkan dengan cara yang paling baik, kecuali dengan orang-orang zalim di antara mereka, dan katakanlah: "Kami telah beriman kepada (kitab-kitab) yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu; Tuhan kami dan Tuhanmu adalah satu; dan kami hanya kepada-Nya berserah diri" (al-Ankabut: 29)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

5 comments:

  1. Bagi mereka yang malas untuk membaca artikel ini, atau juga tidak faham, biar saya simpulkan sekali lagi. Ya, kalimah Allah tidak terhad hanya kepada Muslim. Ya, masyarakat Kristian Sabah dan Sarawak dan juga Arab menggunakan kalimah Allah dalam urusan agama mereka. Dan ya, jika isu ini diletakkan di semenanjung, beginilah yang terjadi, bantahan, demo dan seumpamanya. Oleh itu biarlah masyarakat Kristian semenanjung tidak menggunakan kalimah Allah kerana ianya adalah lebih selamat dan tidak menimbulkan provokasi atau salah faham antara masyarakat dan agama.

    ReplyDelete
  2. dalam islam takda larangan pun...
    kalau kita (orang2 yang menganut Islam) balik-balik nak buat demo, bantahan and what so ever, boleh ke lagi orang pandang ISLAM ni indah dan harmoni??
    ni sampai rumah ibadat agama lain dibakar.. hmm.. macam tu tak berdosa ke?? Allah tak larang dorang nak guna "Allah" pun..
    Lain la kalau agama2 lain guna "Allah" tu untuk menghina.. mungkin di situ kita boleh marah...
    Sedar ke tak, kita sendiri yang merosakkan imej islam... cakap lebih, orang sekarang hebat berhujah, hebat la menentang itu dan ini.. tp, hakikatnya... diri kita belum betul sangat...

    (padan la perkauman tu masih tak dapat dilunturkan, kalau begini la sikap kita.. sampai bila pun tak maju... kita terlalu leka sebenarnya dengan apa yang kerajaan dah bagi pada kita...)

    ReplyDelete
  3. memang "complicated" artikel ni, tapi kalau sukar nak digest, mesti lagi sukar untuk ditulis oleh penulis~ so, tahniah..faham jer n setuju~ ALLAH SWT bukanlah TUHAN aku dan kamu sahaja, tapi Tuhan sekalian alam~

    ReplyDelete
  4. okey, sy bg link kps tuan pnye blog

    pndapt dr Dr Haron Din

    http://www.youtube.com/watch?v=9r9Vp-wPwpE&feature=player_embedded

    ReplyDelete
  5. Biar saya jelaskan lagi sekali, saya tidak kata saya bersetuju untuk menyokong penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam. Tetapi dalam satu perkara ianya tidak boleh dihalang, apabila perkataan 'Allah' itu sendiri sudah diasimilasikan dalam budaya dan bahasa mereka. Contoh mudah, orang Arab kristian, mereka juga menyebut 'masyaallah' dan 'alhamdulillah' dan seumpamanya. Di sana ianya bukanlah perkara yang pelik. Begitu juga halnya di Sabah dan Sarawak, kalimah Allah itu sudah mereka tafsir sebagai 'Tuhan' sejak dari sebelum tertubuhnya Malaysia. Mereka sudah menggunakannya berpuluh malah ratusan tahun dalam ibadat mereka. Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim, untuk Sabah dan Sarawak ianya hampir mustahil. Samalah seperti orang Melayu cuba untuk bercakap dalam bahasa baku, jika jatuh pengguatkuasaan supaya orang awam wajib berkata-kata dalam bahasa baku, mustahil akan terlaksana lebih-lebih lagi yang di semenanjung, kerana sudah 'biase'. http://www.malaysiakini.com/letters/121251

    Sepatutnya isu ini diurus sejak dari tertubuhnya Malaysia dahulu, atau mungkin semasa Tanah Melayu, tetapi sekarang, amat sukar dan mengelirukan, lebih-lebih lagi ada unsur-unsur politik diselitkan dalam isu ini (siapa setuju dianggap sokong ini, siapa bangkang dianggap sokong ini).

    Secara ilmiahnya, saya setuju menghalang penggunaan kalimah Allah oleh non-muslim di semenanjung, manakala di Sabah dan Sarawak diharuskan guna hanya dalam ibadat mereka sahaja (bukan untuk didakyahkah kalimah itu) dan umumnya, memang kalimah Allah itu kalimah untuk semua. Wallahua'lam

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"