Friday, December 11, 2009

Rela Ke Neraka


Suatu hari Nabi Musa a.s sedang berjalan-jalan melihat keadaan umatnya. Nabi Musa a.s melihat seseorang sedang beribadah. Umur orang itu lebih dari 500 tahun. Orang itu adalah seorang yang ahli ibadah. Nabi Musa a.s kemudian menyapa dan mendekatinya. Setelah berbicara sejenak ahli ibadah itu bertanya kepada Nabi Musa a.s, "Wahai Musa a.s! aku telah beribadah kepada Allah s.w.t selama 350 tahun tanpa melakukan perbuatan dosa. Di manakah Allah s.w.t akan meletakkanku di Syurga-Nya?. Tolong sampaikan pertanyaanku ini kepada Allah"

Nabi Musa a.s mengabulkan permintaan orang itu.

Nabi Musa a.s kemudian bermunajat memohon kepada Allah s.w.t agar Allah s.w.t memberitahukan kepadanya di mana umatnya ini akan ditempatkan di akhirat kelak. Allah s.w.t berfirman, "Wahai Musa (a.s) sampaikanlah kepadanya bahawa Aku akan meletakkannya di dasar Neraka-Ku yang paling dalam". Nabi Musa a.s kemudian mengkhabarkan kepada orang tersebut apa yang telah difirmankan Allah s.w.t kepadanya. Ahli ibadah itu terkejut.

Dengan perasaan sedih ia beranjak dari hadapan Nabi Musa a.s. Malamnya ahli ibadah itu terus berfikir mengenai keadaan dirinya. Ia juga mulai terfikir bagaimana dengan keadaan saudara-saudaranya, temannya, dan orang lain yang mereka baru beribadah selama 200 tahun, 300 tahun, dan mereka yang belum beribadah sebanyak dirinya, di mana lagi tempat mereka kelak di akhirat. Keesokan harinya ia menjumpai Nabi Musa a.s kembali.

Ia kemudian berkata kepada Nabi Musa a.s, "Wahai Musa a.s, aku rela Allah s.w.t memasukkan aku ke dalam Neraka-Nya, akan tetapi aku meminta satu permohonan. Aku mohon agar setelah tubuhku ini dimasukkan ke dalam Neraka maka jadikanlah tubuhku ini sebesar-besarnya sehingga seluruh pintu Neraka tertutup oleh tubuhku jadi tidak akan ada seorang pun akan masuk ke dalamnya". Nabi Musa a.s menyampaikan permohonan orang itu kepada Allah s.w.t.

Setelah mendengar apa yang disampaikan oleh Nabi Musa AS maka Allah SWT berfirman, "Wahai Musa (a.s) sampaikanlah kepada umatmu itu bahawa sekarang Aku akan menempatkannya di Syurgaku yang paling tinggi".

sumber: 1001 Kisah Teladan dan Portal Web Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk)

Tuesday, December 08, 2009

Kitab Riyadhus Salihin (Bahasa Melayu) [download]



Pengenalan Ringkas Kitab Riyadhus Salihin

‘Riyadh’ di dalam bahasa Melayu bermakna taman. Manakala ‘Salihin’ sebagaimana yang diketahui umum ialah orang-orang soleh. Oleh yang demikian, judul kitab yang diletakkan sendiri oleh Imam Nawawi ini bermaksud ‘Taman Orang-orang Yang Soleh’ memberikan gambaran bahawa isi kandungan kitab ini tentulah berkisar mengenai panduan hidup seorang manusia muslim yang berazam untuk menjadi seorang yang soleh. Di atas tujuan inilah, Imam Nawawi sendiri menegaskan di dalam pendahuluan kitab ini bahawa beliau berusaha untuk mengumpulkan secara ringkas hadis-hadis yang mampu menjadi panduan lengkap kepada umat Islam untuk menjalani hidup di bawah naungan keredhaan Allah swt. Oleh yang demikian, kita akan mendapati bagaimana isi kandungan kitab ini terdiri daripada hadis-hadis yang mencangkupi seluruh urusan kehidupan dan agama umat Islam.

Kekuatan

Tentunya sebagai sebuah kitab yang masyhur, ia sesuai dijadikan rujukan oleh generasi terkemudian berdasarkan ketepatan fakta dan penelitian Imam Nawawi dalam pengambilan hadis. Isu-isu targhib dan tarhib diangkat dengan begitu sempurna berdasarkan hadis-hadis yang sahih memberikan satu keselesaan kepada pembaca untuk melakukan amalan berdasarkan kandungan kitab ini. Ia satu kelebihan yang cukup ketara bagi kitab ini di tengah-tengah kebanjiran hadis-hadis palsu dan rekaan di dalam isu targhib dab tarhib yang menyebabkan umat Islam menjadi keliru di dalam menentukan pendirian dan sikap.

Pembahagian bab dan kitab juga dibuat dalam keadaan tersusun dan memudahkan kepada pembaca membuat rujukan tentang tajuk-tajuk tertentu tanpa perlu melakukan usaha semula mengumpulkan hadis-hadis yang berkaitan.

Kelemahan

Walaupun pembahagian bab dan kitab sudah dibuat dalam keadaan tersusun, hadis-hadis yang disenaraikan pula agak kucar-kacir dari sudut penyusunan. Ketiadaan nombor hadis juga menyebabkan kesukaran untuk pembaca melakukan rujukan semula terhadap satu-satu isu ataupun hadis. Walau bagaimanapun, ini dianggap satu perkara biasa pada zaman Imam Nawawi menyusun kitabnya ini ditambah pula dengan ketiadaan alat-alat canggih seperti hari ini.

Kesimpulan

Kitab Riyadhus Salihin ini sesuai untuk dijadikan rujukan untuk semua golongan bermula golongan profesional, teknokrat, pelajar-pelajar IPT dan sehinggalah kepada masyarakat pendalaman yang cintakan ilmu dan sunnah Rasulullah saw. Ia sesuai dijadikan bahan kuliah berdasarkan isi kandungannya yang telah dibahagikan menurut kategori-kategori yang telah ditentukan.

Riyadhus Salihin Jilid 1
Riyadhus Salihin Jilid 2

Q-riuz Kini Ada Ruangan Download!


Blog Q-riuz maju selangkah lagi dengan wujudnya ruang muat turun. Sebelum ini blog ini sudah pun mempunyai widget download Box.net, tetapi dilihat daripada beberapa sudut, saya rasa widget itu kurang berkesan kerana sukar diaccess oleh mereka yang mempunyai kelajuan internet yang rendah, yang menutup javascript pada internet browser mereka, dan yang paling penting sekali, widget Box.net itu sedikit sebanyak melambatkan page blog ini keluar sepenuhnya.

Kini anda semua boleh memuatturun dari Q-riuz melalui Mediafire.

Mengapa mediafire? Laman web file hosting percuma yang paling bagus buat masa ini, tidak perlu menunggu sebelum download, tiada iklan yang melampau, kelajuan yang tinggi (bergantung kepada connection anda), dan kelebihan untuk menyambung muat turun jika terputus (resume capibility) di mana kesemua ini hanya boleh diperoleh melalui akaun berbayar Rapidshare, Megaupload, Hotfile dan seumpamanya. Mediafire percuma!

Mulai kini, saya akan memuatnaik e-book dan software yang terkini dan terbaik untuk pembaca semua. Malah jika anda mahukan e-book atau software tertentu, insyaallah saya akan usahakan dan memudahkan anda untuk memuatturunnya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kelebihan Mediafire, sila klik sini.

*semua link adalah daripada saya sendiri melainkan dinyatakan
*semua file adalah bersih dan sudah disemak oleh saya melainkan dinyatakan
*jika ada sebarang permintaan, bolehlah nyatakan kepada saya
*untuk file-file yang boleh dimuatturun, sila klik pada label 'Download' dalam Search Categories

Sebagai permulaan, kitab Riyadhus Salihin karya Imam Nawawi dalam edisi Bahasa Melayu.

Sunday, December 06, 2009

Sebab Doa Tidak Dimakbulkan


Dalam sebuah kisah, Ibrahim b. Adham sedang berjalan-jalan di negeri Bashrah. Penduduk Bashrah melihatnya segera datang, dan bertanya, "Ya Ibrahim, mengapa doa kami tidak dimakbulkan, padahal Allah telah berfirman, 'Apabila hambaKu bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakan bahawa Aku dekat. Aku memakbulkan doa orang yang berdoa, apabila ia berdoa kepadaKu...(al-Baqarah:186)"

Lantas Ibrahim menjawab, "Wahai penduduk Bashrah, hal itu adalah kerana HATI kalian TELAH MATI dengan 10 perkara. Jika begitu, bagaimana ALLAH akan memakbulkan doa kalian?"

"Ya Ibrahim, apakah 10 perkara itu?" Tanya penduduk Bashrah.

1) Kalian kenal ALLAH tetapi tidak menunaikan hak-hakNYA.
2) Kalian membaca ALQURAN tetapi tidak mengamalkan isi-isinya.
3) Kalian mengakui cintai RASULULLAH tetapi tidak amalkan sunnahnya.
4) Kalian mengakui membenci SYAITAN tetapi menuruti ajakannya.
5) Kalian mengakui ingin masuk SYURGA tetapi tidak memenuhi syarat-syaratnya.
6) Kalian mengakui ingin selamat dari api NERAKA tetapi kalian menjerumuskan diri ke dalamnya.
7) Kalian meyakini kepastian KEMATIAN tetapi kalian tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
8) Kalian sibuk membicarakan KEBURUKAN ORANG tetapi kalian mengabaikan keburukan sendiri.
9) Kalian MENGUBURKAN orang mati tetapi kalian tidak mengambil pengajaran daripadanya.
10) Kalian mendapat NIKMAT ALLAH tetapi tidak pernah mensyukurinya.

Tuesday, December 01, 2009

Kembali dan Terus Menulis


Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Sesekali bergerak pantas, sesekali terhenti mencari rentak, sesekali pula berundur langkah. Dan ada ketikanya pula jemari saya hinggap ke kepala, meneroka kawasan rambut yang seakan ada jawapan bagi meneruskan rentak tarian di papan kekunci komputer yang sebentar-sebentar terhenti. Untuk seberapa ketika keadaan ini berterusan.

Perkara biasa bagi sesiapa yang buntu untuk menulis.

Saya baru sahaja pulang dari menjalankan kajian untuk penulisan tesis saya yang dijalankan selama 10 hari di dalam hutan. Penat, sungguh penat. Lebih lagi, kepenatan ini tidak berkurang setelah saya pulang ke universiti, malah bertambah. Balik sahaja, saya disajikan dengan fail-fail yang bertimbun, kertas-kertas yang menggunung, dan berita-berita yang membakar telinga. Sungguh, tiada hari cuti dalam kalendar hidup saya.

Belum lagi termasuk hal-hal di alam maya.


Sebaik sahaja saya sampai ke universiti 2 hari lepas, perkara pertama yang saya lakukan, dan yang semestinya saya lakukan, adalah membuka komputer riba saya. Nah, 15 minit mengadap skrin komputer cukup untuk otak saya rosak akibat information overload. Otak saya yang bergerak perlahan dan bersahaja selama 10 hari hanya dengan memikirkan soal makan, minum, tidur, dan katak, tiba-tiba dikejutkan dengan informasi yang pelbagai. Sungguh, kaki saya yang sakit-sakit tidak terasa sakitnya tiba-tiba apabila otak bergerak dengan kadar yang luar biasa. Sakit bertukar arah dari kaki ke kepala.

Jalan penyelesaian? Katil di sebelah.

Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Kadangkala saya berasa hairan dengan diri saya sendiri. Tidak memikirkan keadaan diri lebih daripada memikirkan hal-hal lain. Sering saya terlupa bahawa saya sudah makan atau belum, sudah solat atau belum, sudah siap kerja atau belum. Baru semalam emak menelefon bertanyakan jadual penerbangan ke rumah nanti, yang mana saya sendiri tidak ingat jam berapa. Dan baru sebentar tadi saya menyemak tiket penerbangan saya, penerbangan saya untuk malam ini. Oh ya, bagaimana pula dengan pengangkutan untuk ke lapangan terbang nanti? Baru terfikir.

Habis itu, apa yang selalu ada dalam fikiran saya selama ini?


Itu bukan persoalan yang perlu anda semua ketahui, malah saya juga tidak mahu tahu. Apa yang penting, adalah apa yang diperlukan untuk memenuhi kepuasan pemikiran saya, iaitu jawapan.

Jari-jemari saya sedang menari-nari rancak di papan kekunci. Terdengar seruan bangun menyembah ilahi, seruan bangun menuju kejayaan. Saya harus menyambut seruan itu. Untuk itu, jari-jemari ini perlu menyudahkan tariannya. Namun tidak untuk selamanya, kerana mereka harus menari lagi pada waktu-waktu mendatang, sebagai bukti bahawa adanya ada, sayanya saya.

"Ya Allah, jadikanlah kami pada awal hari ini kebaikan, di pertengahannya kebahagiaan, dan di akhirnya keselamatan. Tetapkanlah kami serta jadikanlah kami sentiasa dalam petunjukmu. Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umur kami di akhirnya dan sebaik-baik usaha kami penyudahnya dan sebaik-baik hari bagi kami adalah hari berjumpa dengan-Mu"

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"