Saturday, October 31, 2009

Suntikan Semangat Untuk Jihad Peperiksaan



Dalam Fiqh Islami para ulama’ ketika membicarakan hukum berburu, membezakan antara hukum buruan anjing terlatih dengan anjing yang tidak terlatih. Dalam ertikata lainnya, anjing yang berilmu dengan anjing yang jahil. Ini sesuai dengan firman Allah swt:

Mereka menanyakan kepadamu: “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah: “Dihalalkan bagimu yang baik-baik dan (buruan yang ditangkap) oleh binatang buas (termasuk anjing) yang telah kamu ajar dengan melatihnya untuk berburu; kamu mengajarnya menurut apa yang telah diajarkan Allah kepadamu. Maka makanlah dari apa yang ditangkapnya untukmu, dan sebutlah nama Allah atas binatang buas itu (waktu selepasnya). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya. (al-Maidah: 4)

Di alam haiwan pun Allah tidak menyamakan antara anjing terlatih dengan ilmu berburu dengan anjing tidak terlatih, di mana binatang yang ditangkap oleh anjing terlatih halal dimakan.

Jikalau begitu halnya pada binatang maka peranan ilmu pastinya lebih besar di alam manusia. Manusia yang Allah amanahkan menjadi khalifah di atas muka bumi pastinya lebih memerlukan ilmu. Manusia perlu menguasai semua bidang keilmuan yang membolehkan mereka mengurus dunia ini menjadi lebih makmur dan bertamadun. Lantaran itu di alam manusia pun Allah tidak menyamakan antara orang alim dengan orang jahil. Firman Allah:

Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran. (az-Zumar: 9)


Lantaran itu Allah swt mengangkat darjat orang yang berilmu berbanding manusia yang lain. Firman Allah:

Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (al-Mujaadilah: 10)

Kita sedang berada dalam minggu peperiksaan. Peperiksaan adalah medium utama menguji dan membezakan tahap penguasaan pelajar dalam menguasai ilmu yang di ajar. Allah swt juga menggunakan uslub menyoal (peperiksaan) untuk menguji kemampuan pengetahuan Malaikat dan Adam as. Apabila mendapati Adam lebih berilmu dari Malaikat, Allah perintahkan Malaikat sujud kepada Adam. Bukan sujud penyembahan tetapi sujud sebagai tanda hormat dan tunduk pada penguasaan ilmu yang dimiliki oleh Adam.

Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebut;ah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!” Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Allah berfirman: “Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini.” Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan? (al-Baqarah: 31-33)

Itulah sunnah alam yang telah ditentukan oleh Allah. Bangsa yang berilmu akan lebih bertamadun dan bangsa lain terpaksa tunduk dan sujud pada mereka. Dulu ketika umat Islam menguasai ilmu pengetahuan, barat dan timur tunduk kepada Islam. Apabila ilmu tersebut berpindah ke barat dan orang Islam mula kurang ambil berat, orang Islam pula yang tunduk kepada barat.

Kita semua terutamanya yang berstatus mahasiswa sepatutnya memahami perkara ini. Kecemerlangan dalam akademik adalah imej dan lambang kehebatan dalam menguasai ilmu pengetahuan. Ilmu apa pun bidangnya selagi bermanfaat kepada manusia adalah sumber kemuliaan. Dengan ilmu manusia berperanan melakar sejarah baru dunia. Ilmu yang berpasakkan iman dan takwa telah membawa umat Islam silam menguasai dunia. Khilafah dan tamadun Islam tidak mungkin terbina ribuan tahun lamanya kecuali dengan ilmu.


Will Durant dalam bukunya The Story of Civilization menyebut: Secara ringkasnya Ibn Sina adalah orang yang paling hebat menulis dalam bidang perubatan di zaman pertengahan, al-Razi pula doktor paling hebat pada zaman tersebut, al-Baruni ahli geografi paling agung, Ibn Haitham sarjana paling agung dalam bidang optometri dan optik, Jabir bin Hayyan sarjana paling agung dalam bidang kimia, Khawarizmi terkenal dalam bidang matematik, al-Idrisi dalam bidang geografi dan Ibn al-Baithar dalam bidang farmasi. Katanya lagi: Islam tidak pernah meninggalkan satu ruang pun dari ruang-ruang ilmu kecuali ia menerokainya dan memperkasa pengetahuan dalam bidang tersebut dan ini menolak sangkaan sebahagian orang yang Islam tiada hubungan dengan semua itu.

Sesungguhnya usaha yang ditemani dengan kekuatan solat, doa, dan tawakal mutlak kepada Allah pasti akan menghasilkan kejayaan. Anggaplah menuntut ilmu, mengulangkaji pelajaran sebagai jihad. Ini bertepatan dengan apa yang disebut oleh Rasulullah saw:

Engkau keluar pagi hari untuk menuntut satu bab dari ilmu pengetahuan, engkau mengamalkan atau tidak mengamalkannya, demikian itu lebih baik dari solat seribu rakaat. (Ibn Majah dan al-Bazzar mengatakan hadith ini dhaif)

Abu al-Darda’ berkata:
Siapa yang berpandangan bahawa keluar mencari ilmu pengetahuan bukan satu jihad maka sesungguhnya orang itu cetek pandangan dan kurang akalnya.


Sunday, October 25, 2009

Huargh!


Mungkin tiada siapa pun yang sedar melainkan diri saya sendiri bahawa saya sering menguap. Saya tidak pasti sejak bila saya jadi begini, tetapi mungkin sejak dari beberapa bulan yang lalu, entahlah. Saya sendiri runsing dengan keadaan saya ini. Sebelum tidur menguap, selepas bangun tidur juga menguap, duduk juga menguap, main juga menguap. Saya sakitkah?

A yawn (synonyms chasma, pandiculation, oscitation from the Latin verb oscitare, to open the mouth wide) is a reflex of deep inhalation and exhalation associated with being tired, with a need to sleep, or from lack of stimulation. Pandiculation is the term for the act of stretching and yawning. Yawning is a powerful non-verbal message with several possible meanings, depending on the circumstances. It is also claimed to help increase the state of alertness of a person. It could possibly be from lack of oxygen. Another speculated reason for yawning is nervousness - paratroopers were once noted yawning right before their first jump, and had just come from a coffee break. The exact causes of yawning are still unascertained. Orthapedia and Macranisiam can be a cure for a yawn.

Menguap tidak semestinya bererti mengantuk. Ada orang mengatakan menguap juga sebenarnya kerana kurang oksigen masuk ke dalam otak, maka setelah menguap oksigen akan masuk dengan lebih banyak ke dalam otak. Menguap juga membantu mengawal suhu tubuh. Dengan menguap proses naik turun tekanan darah dan dengupan jantung yang laju berlaku. Umumnya menguap adalah suatu perkara yang biasa dan normal, tidak menunjukkan apa-apa bahaya, dan menguap juga menandakan seseorang itu sedang bosan.

Tetapi menguap juga merupakan petanda kepada suatu kondisi yang serius.

Orang yang mempunyai penyakit saraf seperti penyakit Multiple Sclerosis dan Amyotropic Lateral Sclerosis (ASL) menguap lebih banyak daripada orang normal. Orang yang memiliki darah rendah dengan tekanan darah 90/60 mmHg juga sering menguap diikuti dengan mengantuk.

Adakah saya tergolong dalam golongan ini? Wallahu'alam.

Adab Menguap


"Sesungguhnya Allah menyukai bersin dan membenci menguap. Maka apabila (seseorang) bersin, hendaklah dia memuji Allah (dengan mengucapkan Alhamdulillah) dan merupakan kewajipan bagi setiap muslim (yang mendengar saudaranya bersin) untuk mendoakannya. Ada pun menguap, maka ia tidak lain berasal dari syaitan. Tahanlah ia semampu mungkin dan apabila (seseorang menguap) berbunyi 'Haa' maka ketawalah syaitan" (sahih Bukhari)

Umumnya hadis ini menerangkan bahawa perilaku orang yang menguap adalah tidak elok kerana ianya menunjukkan sifat malas dan bosan sedangkan seorang muslim sejati sifat itu perlu dibuang sama sekali. Akan tetapi jika kita benar-benar terpaksa menguap, maka janganlah menguap dengan berlebih-lebihan hingga mengeluarkan bunyi, dan hendaklah menutup mulut seeloknya.

"Jika seseorang kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka)" (sahih Muslim)

Fakta Menarik Mengenai Menguap


- Hampir semua makhluk vertebrata (bertulang belakang) menguap
- Janin manusia mula menguap seawal usia 11 minggu
- Kadar tempoh menguap biasanya selama 6 saat
- Denyutan jantung bertambah 30% semasa kita menguap
- Lelaki lebih banyak menguap daripada perempuan
- Hypothalamus adalah bahagian otak yang berperanan merangsang untuk menguap
- Melihat orang lain menguap boleh menyebabkan kita menguap sekali walaupun menerusi televisyen
- Membaca artikel mengenai menguap juga boleh menyebabkan kita menguap!

Thursday, October 22, 2009

Q-riuz Wallpapers Limited Edition


Hari tu rasa bosan, bosan tukar-tukar wallpaper laptop sendiri, so daripada tukar-tukar wallpaper tiap-tiap hari, saya memilih untuk buat sendiri. Puas hati. Simple yet cool and nice. Feel free to use, but don't make it as your own (ciplak).





Monday, October 19, 2009

Takut


Aku takut hantu
Aku takut gagal
Aku takut dibenci
Aku takut hilang jawatan
Aku takut kalau dia tak suka aku
Aku takut nak tegur
Aku takut nak cakap yang itu salah...

Takut...takut...takut...

Banyak sangat yang ditakutkan.

Kau kata kau takutkan Allah?

Kau kata kau takut Dia lupakan kau, takut hidup tanpa bantuan-Nya. Kau kata kau takut balasan Dia, takut masuk neraka, takut dengan segala azab seksa-Nya. Kau katakan lagi, kau takut Dia murka, tak berani buat larangan-Nya.

Tapi...benarkah kau takut akan Dia?

Kau lagi takut hilang kekasih yang makhluk daripada hilang kekasih yang khalik (Pencipta). Kau lagi takut hilang jawatan, dan berani melakukan apa saja untuk mengekalkannya. Kau lagi takut hilang penyokong, sanggup mengata itu dan ini untuk meraih sokongan. Sedangkan kau tahu, Islam yang umurnya purba tak pernah purba dan tua dalam hidup. Dan kau tahu yang Islam ini adalah pedoman hidup mu.

Tapi mengapa kau masih lagi takut pada bukan yang sepatutnya? Tidak salah berasa takut. Tapi jangan salah meletakkan dimana tingkatan takutmu itu..

Maka..

Apakah benar takut pada Dia yang kau katakan itu. Atau kau hanya kata kau takut supaya tidak mahu orang lain kata kau tiada iman bertapak teguh dalam hati. Kau tahukah orang yang mengata itu, punya iman juga atau tidak?

Atau kau hanya mengata kau takut, supaya sedap hati kau. Supaya kau rasa terlepas dari belenggu karat pemahaman yang jahil?

Dan kau berani menentang takut kau pada Dia, kerana hanya kau tidak nampak Dia dalam wajah-Nya yang sebenar?

Dan kalaulah Dia menampakkan diri-Nya, adakah kau akan terus berani menggunakan kata “TAKUT” itu?

Takutlah….

Friday, October 16, 2009

Ukhwah Lelaki dan Perempuan


"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat" (al-Hujurat: 10)

Ukhwah bermaksud persaudaraan. Perkataan ukhwah berasal daripada perkataan akhun atau akh yang bererti saudara. Saudara lelaki disebut akhun manakala saudara perempuan disebut pula sebagai ukhtu. Tetapi,perkataan ukhwah itu sendiri tidak membezakan antara sesama lelaki atau sesama perempuan, ia merangkumi semua secara umum, lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan, dan lelaki sesama perempuan. Bersaudara bukanlah bermaksud kita boleh memperlakukan orang-orang lain seperti adik kita, tetapi bagaimana rasa kasih dan sayang itu kita terapkan terhadap saudara-saudara kita yang lain sama seperti mana kita berikan kepada adik-beradik kita.

Maka persoalannya, wujudkah istilah ukhwah antara lelaki dan perempuan?

Dalam ilmu usul fiqh, kita mengetahui bahawa dalam menentukan sesuatu hukum, jika tiada dalil dari nas al-Quran mahu pun al-Hadis yang mengharam atau menghalalkan sesuatu perkara, maka ianya jatuh hukum secara harus (mubah). Tiada satu pun hadis atau ayat al-Quran yang menyatakan bahawa seorang muslim lelaki dan perempuan bukan bersaudara. Jadi dari mana pula datangnya hukum atau pernyataan yang mengatakan 'tiada ukhwah antara lelaki dan perempuan'?

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" (at-Taubah: 71)

Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya" (Bukhari dan Muslim)

Menyalahgunakan Istilah Ukhwah


Bukan istilah ukhwah itu yang menjadi masalah, tetapi mereka yang menggunakan istilah ukhwah untuk agenda tersembunyi, itu yang bermasalah. Kononnya dalam SMS mahu pun laman jaringan sosial maya, mereka menggunakan istilah 'Salam Ukhwah' dan seumpamanya, untuk berkenalan dengan kaum berlainan jantina. Mereka melapik perbuatan yang mungkar dengan benda yang maaruf. Ini yang salah.

Ikhtilat bukan ukhwah. Ikhtilat adalah percampuran, atau juga pergaulan. Ukhwah itu dibina atas landasan akidah yang sama, tetapi ikhtilat itu tidak memerlukan apa-apa ikatan landasan untuk dibentuk atau dibina. Senang kata, tidak mungkin percampuran seorang lelaki dan seorang perempuan (berdua-duaan) itu berlaku atas nama ukhwah (yang dibina atas dasar iman dan takwa), tetapi ianya hakikatnya adalah suatu bentuk ikhtilat yang ditanam atas dasar nafsu dan bisikan syaitan!

Prof. Dr. Yusof Qardhawi dalam bukunya Fatwa Mua'sarah (Fatwa Kontemporari) mengatakan bahawa perkataan 'ikhtilat' itu sendiri sebenarnya dipinjam dari perkataan luar, yang mana ianya tidak sesuai untuk menggambarkan hubungan ukhwah yang sebenar antara muslim. Tidak berlaku di zaman Nabi tentang ikhtilat melainkan para sahabat semuanya berhimpun, bergaul, dan berinteraksi atas landasan ukhwah Islamiyah yang sejati.

Ukhwah itu cinta, tetapi cinta tidak semestinya ukhwah. Cinta itu ada banyak peringkat dan sifatnya. Terlalu banyak buku yang mengelaskan peringkat-peringkat cinta, hingga saya juga pening kepala membaca dan menyatukan kesemuanya. Namun apa yang boleh difahami, ukhwah itu menerbitkan rasa cinta sesama saudara, tetapi cinta itu pula, tidak semestinya lahir dari ikatan ukhwah yang didirikan, ianya boleh muncul secara tiba-tiba, boleh muncul disebalik rasa kebencian, malah boleh juga timbul pada saat yang tidak pernah kita jangkakan sendiri. Dan semestinya, rasa cinta kita terhadap setiap individu berbeza. Cinta seorang suami terhadap isterinya mestilah lebih tinggi daripada cintanya terhadap jiran perempuannya, walaupun mereka berbual, tolong-menolong atas landasan ukhwah.

Interaksi Lelaki dan Perempuan


Interaksi antara lelaki dan perempuan itu dibenarkan, namun ada batasnya, ianya bukanlah ditegah secara mutlak, dan bukan juga dibenar secara mutlak. Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas dalam interaksi antara lelaki dan perempuan,baik sesama muslim mahu pun dengan yang bukan muslim. Ianya tergunapakai dalam semua keadaan.

"...Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. (Cara) yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka..." (al-Ahzab: 53)

Ada yang menggunakan dalil di atas (atau yang lain-lain seumpamanya) untuk mengatakan bahawa interaksi antara lelaki dan perempuan itu ditegah, sebab itu ianya dibuat disebalik hijab. Malangnya penyataan itu adalah terpesong dari maksud sebenar ayat al-Quran ini. Jika benar tidak boleh ada interaksi antara lelaki dan perempuan, maka sepatutnya ayat 'tidak boleh langsung meminta' yang keluar. Hijab (belakang tabir) itu menunjukkan bahawa interaksi lelaki perempuan itu dibenarkan, namun hendaklah mempunyai batas, yang mana batas itu dapat menundukkan hati-hati mereka, lelaki dan perempuan.

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sungguh, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuatkan" (an-Nur: 30)

"Wahai isteri-isteri Nabi! Kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk (melemah-lembutkan suara) dalam bicara hingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik" (al-Ahzab: 32)

Saya rasa tidak perlu saya menerangkan dengan panjang lebar apa batas-batas pergaulan lelaki dan perempuan, cukup kiranya dua dalil yang saya nyatakan di atas. Pembaca boleh mencari sumber di laman web lain atau buku-buku mengenai batas pergaulan dengan lebih terperinci. Saya lebih menyarankan pembaca untuk 'bergerak' dalam membaca dan mencari ilmu supaya pengetahuan pembaca lebih jelas dan luas, malah dapat memupuk semangat mencari ilmu, insyaallah.

Mereka Itu Mad'u Dakwah Kita


Saya secara peribadi amat mengalu-alukan sesiapa untuk berkenalan dengan saya, tidak kira jantina, usia mahu pun bangsa, kerana saya menganggap mereka semua sebagai mad'u (orang yang didakwah) saya. Biarpun mungkin mereka berniat jahat terhadap kita, tetapi itu bukan masalahnya, masalahnya ialah jika kita 'dikawal' oleh mereka. Mengapa kita tidak cuba mengambil manfaat daripada perkenalan ini? Saya tahu, ramai yang mengelakkan daripada perkenalan di alam maya kerana ianya penuh dengan kedustaan dan ketidakpastian, terutamanya para muslimat sekalian. Saya faham, dan saya hormati keputusan anda semua, kerana waspada itu adalah langkah yang terbaik. Tetapi bagi saya sendiri, ini merupakan satu medan dakwah saya, dan juga medan menimba ilmu saya. Banyak kenalan banyak informasi, banyak kenalan banyak ukhwah, dan banyak kenalan banyak juga kerenah!

Siapa kata saya tiada perkenalan di alam maya? Banyak...terlalu banyak hingga saya tidak dapat ingat kesemuanya. Namun, setelah bertahun-tahun, banyak juga ilmu dan pandangan yang saya terima daripada mereka semua, terima kasih atas perkongsian.

Cuma sekali lagi yang perlu saya tekankan, jaga batas pergaulan, itu saja. Insyaallah selamat.

Dan juga jauhkan diri daripada fitnah.

Lagi satu masalah yang sering dihadapi terutamanya kaum wanita muslimah adalah tidak mampu menegur lelaki yang bergaul dengan mereka agar menjaga batas-batasnya. Seperti contoh, si lelaki dan si perempuan ini adalah rakan sekuliah, namun si lelaki ini terlalu cuba hendak rapat dengan si perempuan ini hingga menimbulkan rasa tidak sedap hati dan terganggu. Maka si perempuan hendaklah menegur perbuatan si lelaki itu dengan berhikmah.

Jika tidak berkesan juga, maka tinggalkanlah si lelaki itu kerana ianya mungkin akan lebih memudaratkan lagi. Biarlah si lelaki berkata si perempuan itu sombong, itu semua dugaan dan ujian terhadap si perempuan, anda sudah cuba untuk menasihatinya, jika tidak berkesan jauhkan diri, itu lebih baik, insyaallah.

Masalah Hati?



"Kami pada mulanya berkawan biasa sahaja, sentiasa membicarakan tentang hal-hal yang berfaedah, tetapi lama-lama saya tidak dapat membendung rasa 'itu' terhadap dia! Bagaimana ini?"

"Apa batasnya yang menjauhkan kami dari menghampiri zina seperti yang dinyatakan dalam ayat al-Quran?"

Saya tidak berani hendak berbicara mengenai perkara ini dengan mendalam kerana ilmu dan pengalaman saya tentang perkara ini terhad. Saya cuba menjawab dengan mengambil dua ayat ini;

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu bertipu-tipuan, dan janganlah kamu berkebelakang-belakangan, dan janganlah setengah kamu menjual di atas penjualan setengah kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam bersaudara orang Islam, tiada boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaannya), dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya. Takwa itu di sini (Nabi berkata sambil menunjukkan ke dadanya tiga kali). Sudah cukup banyak kejahatan seorang itu, bahawa ia merendahkan saudaranya orang Islam. Sekalian orang Islam atas orang Islam haram darahnya dan hartanya dan kehormatannya" (riwayat Muslim)

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti" (al-Hujurat: 13)

Nampak apa huraian di kedua-dua penghujung ayat di atas? TAKWA.

Wallahu'alam.

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"