Tuesday, October 13, 2009

Wo Ai Ni Allah


Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan sosial? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi.

Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruannya itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhirnya dia bertemu apa itu Tuhan.

Wo Ai Ni, Allah...aku cinta Allah...tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

Friday, October 09, 2009

Mukabuku Yang Merosakkan


"Kau tengah buat apa?" Ahmad bertanya kepada rakan sebiliknya, Abu.

"Baca buku." Abu menjawab bersahaja.

"Depan laptop?" Ahmad bertanya lagi sambil melihat Abu yang begitu khusyuk mengadap komputer ribanya.

"A'ah..baca buku dalam internet la...apa lagi..." sekali lagi Abu menjawab endah tak endah. Matanya tidak berganjak langsung dari skrin komputer.

"...buku apa yang kau baca khusyuk sangat tu?" Ahmad tidak berpuas hati dengan jawapan Abu lantas beliau bertanya lagi.

"Mukabuku!" Abu masih tetap tidak mengalihkan matanya dari skrin komputer itu, tangannya ligat menaip di papan kekunci dan menggerak-gerakkan tetikus. Sesekali dia tertawa ketika mengadap komputer ribanya.

Ahmad menggeleng-geleng kepala melihat rakannya itu yang sudah kemaruk dengan sistem jaringan sosial Facebook.

Ada apa dengan Facebook?


Facebook adalah sebuah sistem jaringan sosial maya yang paling popular buat masa ini diseluruh dunia, mengatasi laman-laman web yang sejenis dengannya seperti Myspace, Friendster, Tagged, Hi5 dan lain-lain. Ianya dicipta oleh seorang pelajar universiti bernama Mark Zuckerberg yang berbangsa yahudi Amerika dan kini Facebook adalah rangkaian jaringan web sosial nombor satu dunia, diikuti kemudiannya Myspace. Keuntungan yang dicatat pada tahun 2008 sahaja adalah sebanyak 300 million USD.

Salah satu keunikan yang terdapat pada Facebook yang tidak terdapat pada sistem jaringan sosial maya yang lain adalah kebolehan untuk setiap pengguna Facebook untuk membuat aplikasi atau kuiz mereka sendiri dan disebar-sebarkan di dalam Facebook. Aplikasi ini, jika dilihat dari sudut yang positif, ianya memang dapat membantu kita dalam merapatkan ukhwah sesama rakan, dan juga boleh dijadikan sebagai salah satu kaedah pendakwahan kita.

Tetapi malangnya terlalu ramai pengguna yang menyalahgunakannya.

Jikalau kuiz matematik, atau kuiz sejarah tamadun silam, atau kuiz bahasa, tidak ada salahnya bahkan bermanfaat dalam menambah ilmu pengetahuan. Tetapi bagaimana pula dengan kuiz 'kamu mati di mana', kuiz 'siapakah jodoh kamu di masa hadapan', 'nama orang yang sedang jatuh hati dengan kamu', 'siapa kamu 10 tahun akan datang', dan bermacam-macam lagi lambakan kuiz dan aplikasi sebegitu, bukankah ianya jelas menilik nasib, dan menilik nasib itu nyata syirik?

Hukum Bertanya Tukang Tilik


Rasulullah s.a.w jelas melarang umatnya daripada menilik nasib dan bertemu tukang tilik. Banyak hadis yang menjelaskannya antaranya seperti berikut;

"Sesiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam" (Sahih Muslim).

"Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib" (Sahih Muslim).

"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar! Rasulullah menjawab, ia adalah kalimah benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan" (Sahih Muslim)

Terdapat dua kategori orang yang datang berjumpa dengan tukang tilik. Pertama, bertanya akan sesuatu kepada tukang tilik kemudian mempercayainya. Ianya jelas haram dan menyebabkan syirik yang nyata terhadap Allah s.w.t. Kedua, bertanya akan sesuatu kepada tukang tilik kemudian tidak mempercayainya. Walaupun tidak mempercayainya, hukumnya tetap haram, dan mendapat dosa walaupun tidak jatuh hukum syirik secara mutlak.

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahui melainkan Dia-lah sahaja" (al-An'am: 59)

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya) (aj-Jin: 26-27).

Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah s.w.t. Apabila seseorang mendakwa dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, maka dia meletakkan dirinya sejajar dengan Allah. Ini adalah satu bentuk kesyirikan yang berat dan dusta.

Apabila seorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui ilmu ghaib. Walaupun dia tidak mempercayai tilikan ramalan tersebut, tetapi jika khabar ramalan yang dinyatakan itu benar, sedikit-sedikit seseorang itu akan mula mempercayainya walaupun pada mulanya tidak.

Hanya Untuk Merehatkan Minda dan Suka-suka


Ini adalah alasan yang paling banyak dilafazkan oleh penagih-penagih Facebook, main kuiz saja untuk suka-suka dan main-main menenangkan fikiran. Tetapi sedarlah, adakah akidah itu boleh dimain-mainkan? Bukankah kita telah dididik dengan rukun iman yang enam? Berimankah kita dengan qada' dan qadar Allah? Iman kita yang mengakui hanya Allah sahajalah yang mengetahui perkara ghaib hendak dimain-mainkan? Tepuk dada tanya iman.

Perlu diketahui bahawa mempercayai zodiak horoskop juga adalah suatu bentuk tilikan nasib, dan hukumnya sama haram. Mempercayai nombor-nombor dan abjad-abjad tertentu pada nama kita membawa sesuatu nasib, mempercayai tahi lalat di muka membawa maksud-maksud yang tertentu, dan lain-lain yang seumpamanya juga adalah sama haramnya.

Tetapi tidak untuk sebahagian perkara. Warna mempengaruhi personaliti, ianya bukan ramalan, ianya fakta. Kedudukan dalam bilangan adik-beradik mempengaruhi perwatakan, ianya fakta. Ilmu psikologi telah dijalankan dan menjawab persoalan-persoalan sebegini dengan ilmiah dan saintifik, tetapi bahkan perlu diingat ianya juga tidak mutlak kepada setiap manusia bahawa warna, kedudukan adik-beradik, mempengaruhi personaliti 100%. Personaliti mengikut bulan kelahiran, ianya saintifik, tetapi ianya tidak mutlak, kerana manusia dipengaruhi oleh pelbagai perkara seumur hidupnya dan benda ini boleh berubah dari semasa ke semasa. Saintis hanya dapat menjumpai secubit kesamaan antara manusia yang lahir pada bulan yang sama, itu pun mereka sendiri mengakui bahawa ianya adalah teori semata-mata (mereka sendiri tidak mempercayainya 100%). Perlu dibezakan antara ramalan dan kajian.

Mengapa perlu kita menilik nasib, atau cuba-cuba menilik nasib, bertanya kepada manusia yang juga makhluk Allah yang serba kekurangan, dan kemudian mempercayainya? Mengapa tidak kita meminta dan bertanya terus kepada Tuhan sekalian makhluk yang Maha Esa? Yang tidak pernah berdusta dan sentiasa menggotakan janji-Nya?

Jika pengguna masih lagi berkata bahawa main kuiz itu hanya untuk menenangkan fikiran, di sini saya ada alternatif yang jelas dan nyata;

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang" (ar-Ra'd: 13)

Saya Juga Pengguna Facebook


Saya menulis ini juga sebagai seorang pengguna Facebook yang aktif. Saya membukanya hampir saban hari. Jadi janganlah dipertikaikan bahawa kononnya saya tidak mengalami apa yang orang lain alami, kononnya saya tidak ketagih dengan Facebook. Malah, ya, saya dahulu juga bermain aplikasi-aplikasi dan kuiz-kuiz seperti ini, saya akui saya seronok bermainnya.

Tetapi akal hendaklah merajai nafsu sebelum nafsu menjajah diri.

Alhamdulillah, sejak beberapa minggu berhenti bermain kuiz-kuiz sebegitu, saya tidak rasa apa-apa masalah. Saya masih aktif di dalam Facebook memberi komen status kawan-kawan, melihat gambar-gambar mereka, membaca berita dan lain-lain yang bermanfaat. Bergurau-senda sesama rakan-rakan, merapatkan ukhwah. Bukankah ianya boleh tanpa kuiz-kuiz merosakkan itu?

Ada rakan-rakan saya yang berhenti daripada menggunakan Facebook kerana khuatir leka dengannya, dan juga kerana ada isu bahawa keuntungan Facebook ini disumbangkan kepada zionis Israel. Terpulang kepada individu, hak masing-masing. Selagi saya tidak menjumpai bukti kukuh bahawa Facebook sememangnya menyumbang kepada kemusnahan Palestin, saya tidak akan membuangnya. Malah, sebagai seorang pengguna internet yang tegar, menguasai jaringan internet adalah perlu. Dan saya rasa jika saya tidak meneroka Facebook dan laman-laman web popular lain seperti YouTube, Twitter dan Blogger, saya rasa ketinggalan dan rugi dalam mengejar dunia arus perdana kini. Untuk maju, umat Islam perlu mencari ilmu, hatta daripada orang bukan muslim. Memboikot teknologi bukanlah suatu langkah yang bijak, malah menyebabkan umat Islam jauh ketinggalan.

Setelah lenguh menaip dan duduk di atas kerusi, Abu baru terperasan kertas-kertas assignmentnya bertimbun di sebelah komputer ribanya. Dia mula meneliti satu per satu sambil menggaru-garu kepala. Keluhan mula keluar perlahan dari hujung bibirnya.

"Ahmad! Macam mana nak jawab soalan yang ini ha?" giliran Abu bertanya kepada Ahmad pula.

"Oh, yang ini, aku pun baru dapat sumber dari kawan aku dekat seberang sana nun pasal topik ni. Senang je ni, aku rujuk buku." kata Ahmad.

"Buku apa?" Abu mengkehendaki kepastian.

"Mukabuku!" jelas Ahmad sambil tersenyum.

Wednesday, October 07, 2009

Madu Yang Pahit



-Afiq, semua orang lelaki suka kahwin banyak ke? Kenapa lelaki tak boleh setia pada seorang isteri? Ada seorang ni, dia kata dia berkenan, tapi dia tanya lagi, rela dimadukan tak? Tak tahu la nak jawab apa-

Begitulah lebih kurang ayatnya SMS yang saya terima beberapa hari yang lalu. Saya mengerut dahi membacanya, apa dia ingat saya sudah berkahwin?Malah berbini ramai? Saya berasa tidak layak untuk membicarakan tentang perkara ini kerana tiada pengalaman dan pengetahuan yang ada hanyalah sedikit.

-Panjang tu kena explain. Nantilah insyaallah kalau ada ruang saya jawab, dalam blog-

Saya membalas SMS tersebut ringkas. Sambil itu tergelak sendirian di dalam hati. Dia ni nak kahwin dengan suami orang ke? (no offence)

Poligami Dalam Islam


Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Syarat poligami adalah, berkemampuan untuk memberi nafkah kepada isteri-isteri dan anak-anak, dan yang paling utama, adil. Adil dalam memberi kasih sayang, nafkah, perhatian dan lain-lain terhadap isteri-isteri dan anak-anak.

"Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim" (an-Nisa': 3)

Poligami Dengan Siapa Elok?


"Kalau kita nikah dengan orang yang kuat agama, walaupun kita dimadukan, tapi kita pasti dia akan menjaga semuanya dengan baik dan adil, sebab dia ada agama, iman dia kuat!"

Kebanyakan dikalangan masyarakat sekarang mempunyai pemikiran yang sama seperti yang ditulis di atas. Anggapannya, orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, imannya kuat, dan dengan itu, berkahwin dengannya tidak akan timbul masalah rumahtangga meskipun bermadu.

Benarkah penyataan ini?

Ya dan tidak. Berkahwin dengan si ustaz, berkahwin dengan si penasyid, berkahwin dengan orang yang aktif berdakwah, tidak menjamin kebahagiaan rumahtangga 100%. Ingat, mereka juga manusia, manusia biasa, hamba Allah yang serba kekurangan. Hati dan imannya juga boleh dibolak-balikkan. Bukannya tidak ada kes, malah tidak kurang banyaknya kes-kes di mahkamah yang melibatkan hal rumahtangga orang yang mempunyai tahap pendidikan agama yang tinggi.

Memang benar, dalam mencari pasangan, kita carilah yang beragama, itu yang terbaik, saya tidak nafikan. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah, untuk berlaku adil itu tidak mudah, lebih-lebih lagi dalam memberi kasih sayang, ianya bukanlah seperti wang yang boleh dihitung dan kemudiannya dibahagi-bahagikan. Ianya adalah suatu sifat yang tidak dapat dianggar apatah lagi diberi sama rata. Katakanlah, sang suami menetapkan syarat bahawa satu hari untuk isteri ini, satu hari untuk isteri yang satu lagi. Dari perkiraan hari, ianya memanglah adil, tetapi bagaimana pula dengan kasih sayang? Adilkah dia dengan isterinya pada hari tersebut? Beri perhatiankah dia dengan isterinya pada hari tersebut berbanding isteri di hari lain?

Timbul pula rasa cemburu dikalangan isteri-isteri. Silap-silap bergaduh, dan akhirnya membawa kepada penceraian yang boleh memutuskan silaturrahim sesama mereka. Peristiwa ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, walaupun mereka itu adalah ustaz, pendakwah, artis, ahli akademik, atau orang biasa.

Saya tidak mahu memberi jawapan atau kesimpulan mengenai hal ini, eloklah kiranya para pembaca budiman berfikir sendiri, dan mencari ilmu mengenainya. Saya hanya ingin memberi anjakan pemikiran kepada pembaca semua tentang hakikat kehidupan dan rumahtangga yang mungkin dan tidak mustahil untuk berlaku kepada kita semua.

Pandangan Peribadi

Saya tak mahu berpoligami. Saya tak mahu kahwin lebih dari satu kali. Malah jika ditakdirkan isteri saya pergi dahulu sebelum saya, saya tidak rasa saya mahukan pengganti untuknya. Saya tidak mahu kahwin paksa. Saya tidak mahu berkahwin kerana orang itu menyintai saya tetapi saya tidak. Saya tidak mahu berkahwin atas rasa simpati kepada si dia. Saya, hanya akan berkahwin dengan perempuan yang betul-betul saya kehendaki, dengan tatacara yang betul dan berlandaskan syariat Allah. Itu sahaja.

Semua lelaki suka kahwin banyak? Bergantung kepada individu, jangan dipermudah untuk dilabelkan semua lelaki sebegitu. Begitu juga dengan bab kesetiaan, ianya bukan masalah lelaki jenis yang tidak setia atau apa-apa, ianya bergantung kepada individu juga. Jangan disamakan antara satu individu dengan satu individu yang lain. Adakah semua perempuan mulut murai? Mungkin pada pandangan mata kaum lelaki kesemunya begitu, tetapi hakikatnya tidak. Kenapa terlalu mudah untuk kita melabelkan sesuatu, seperti semua lelaki begini...semua perempuan begitu...orang melayu begini...orang Islam begitu...dan lain-lain. Mentaliti yang salah mengakibatkan perlakuan yang salah.

Kalau perempuan hendak berkahwin dengan suami orang (bermadu), kahwinlah. Tapi ramai lagi lelaki yang bujang yang memerlukan belaian seorang isteri. Kalau yang lelaki hendak menambah isteri, tambahlah. Tapi duit itu bermanfaat juga digunakan untuk sedekah atau kerja-kerja amal. Kalau tidak mahu kahwin langsung pun tidak apalah, jangan nanti menyesal di hari tua sudah. Pendek kata, tiada justifikasi mutlak dalam memilih teman hidup, asalkan tidak melanggar syariat.

Sebelum membuat sesuatu keputusan, hendaklah sepatutnya kita meminta petunjuk daripada-Nya kerana Dia sahajalah yang Maha Mengetahui tentang segala-galanya. Semoga kita tidak termasuk golongan yang rugi yang tidak meletakkan-Nya yang paling utama dalam setiap keputusan kita dan semoga kita semua hidup bahagia dengan pasangan kita insyaallah.


Sunday, October 04, 2009

Soal Jawab Isu-isu Mencabar Dalam Islam


Penulis: Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat & Ustaz Abdul Ghani Samsudin
Harga: Sem. Malaysia RM23.00 Sabah/Sarawak RM26.00 (330 mukasurat)
Penerbit: Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Sebuah buku yang menjawab persoalan-persoalan kontemporari mengenai Islam dan isu-isu masa kini, baik persoalan akidah, ibadah, syariah, muamalat mahupun siasah. Ditulis oleh dua orang tokoh ilmuan agama yang tidak asing lagi di negara kita. Antara persoalan yang dikupas dalam buku ini adalah seperti benarkah PAS seperti Taliban, hukum yoga, amalan-amalan Nifsu Syaaban, antara jemaah Tabligh dan Jemaah Islam lainnya, benarkah kekeliruan berhubung tindakan angkat sumpah Saiful Bukhari, non-Muslim dalam program dakwah masjid, keliru dengan kegiatan demonstrasi, konsert Hari Raya, lelaki naluri wanita, penjelasan mengenai konsep Hibah, pandangan Islam terhadap kegiatan bedah siasat mayat, tinggal serumah dengan ibu bapa selepas kahwin, dan bermacam-macam lagi persoalan yang menarik untuk kita semua selami bersama (50 isu soal jawab).



Thursday, October 01, 2009

Kita Manusia Biasa


Kita bukannya pandai untuk cakap orang lain bodoh
Kita bukannya kaya untuk cakap orang lain miskin
Kita bukannya kacak untuk cakap orang lain hodoh
Kita bukannya cantik untuk cakap orang lain tak cantik
Kita bukannya baik untuk cakap orang lain jahat
Kita bukannya alim untuk cakap orang lain lupa sembahyang
Kita bukannya kuat untuk cakap orang lain lemah
Kita bukannya berani untuk cakap orang lain penakut

Tapi...

Kita adalah pandai jikalau kita sebarkan ilmu itu kepada orang lain
Kita adalah kaya jikalau kita manfaatkan kekayaan kita kepada jalan kebaikan
Kita adalah kacak jikalau kita tak meninggi diri
Kita adalah cantik jikalau kita sentiasa memuji orang lain
Kita adalah baik jikalau kita mengajak orang lain kearah kebaikan dan menjadi contoh dan teladan orang lain
Kita adalah alim jikalau kita memperuntukkan sebahagian rutin seharian kita kepada-Nya dengan seikhlas hati
Kita adalah kuat jika kita sentiasa membantu orang yang lemah
Kita adalah berani jikalau kita sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan agama

Ingatlah! kita bukannya manusia yang hebat untuk mencaci dan mengutuk ciptaan-Nya. Dia Maha Mengetahui. Setiap apa yang diciptakannya mempunyai hikmah yang tersendiri.

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"