Friday, October 09, 2009

Mukabuku Yang Merosakkan


"Kau tengah buat apa?" Ahmad bertanya kepada rakan sebiliknya, Abu.

"Baca buku." Abu menjawab bersahaja.

"Depan laptop?" Ahmad bertanya lagi sambil melihat Abu yang begitu khusyuk mengadap komputer ribanya.

"A'ah..baca buku dalam internet la...apa lagi..." sekali lagi Abu menjawab endah tak endah. Matanya tidak berganjak langsung dari skrin komputer.

"...buku apa yang kau baca khusyuk sangat tu?" Ahmad tidak berpuas hati dengan jawapan Abu lantas beliau bertanya lagi.

"Mukabuku!" Abu masih tetap tidak mengalihkan matanya dari skrin komputer itu, tangannya ligat menaip di papan kekunci dan menggerak-gerakkan tetikus. Sesekali dia tertawa ketika mengadap komputer ribanya.

Ahmad menggeleng-geleng kepala melihat rakannya itu yang sudah kemaruk dengan sistem jaringan sosial Facebook.

Ada apa dengan Facebook?


Facebook adalah sebuah sistem jaringan sosial maya yang paling popular buat masa ini diseluruh dunia, mengatasi laman-laman web yang sejenis dengannya seperti Myspace, Friendster, Tagged, Hi5 dan lain-lain. Ianya dicipta oleh seorang pelajar universiti bernama Mark Zuckerberg yang berbangsa yahudi Amerika dan kini Facebook adalah rangkaian jaringan web sosial nombor satu dunia, diikuti kemudiannya Myspace. Keuntungan yang dicatat pada tahun 2008 sahaja adalah sebanyak 300 million USD.

Salah satu keunikan yang terdapat pada Facebook yang tidak terdapat pada sistem jaringan sosial maya yang lain adalah kebolehan untuk setiap pengguna Facebook untuk membuat aplikasi atau kuiz mereka sendiri dan disebar-sebarkan di dalam Facebook. Aplikasi ini, jika dilihat dari sudut yang positif, ianya memang dapat membantu kita dalam merapatkan ukhwah sesama rakan, dan juga boleh dijadikan sebagai salah satu kaedah pendakwahan kita.

Tetapi malangnya terlalu ramai pengguna yang menyalahgunakannya.

Jikalau kuiz matematik, atau kuiz sejarah tamadun silam, atau kuiz bahasa, tidak ada salahnya bahkan bermanfaat dalam menambah ilmu pengetahuan. Tetapi bagaimana pula dengan kuiz 'kamu mati di mana', kuiz 'siapakah jodoh kamu di masa hadapan', 'nama orang yang sedang jatuh hati dengan kamu', 'siapa kamu 10 tahun akan datang', dan bermacam-macam lagi lambakan kuiz dan aplikasi sebegitu, bukankah ianya jelas menilik nasib, dan menilik nasib itu nyata syirik?

Hukum Bertanya Tukang Tilik


Rasulullah s.a.w jelas melarang umatnya daripada menilik nasib dan bertemu tukang tilik. Banyak hadis yang menjelaskannya antaranya seperti berikut;

"Sesiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya sesuatu kepadanya, maka tidak diterima sembahyang baginya selama empat puluh malam" (Sahih Muslim).

"Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib" (Sahih Muslim).

"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar! Rasulullah menjawab, ia adalah kalimah benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan" (Sahih Muslim)

Terdapat dua kategori orang yang datang berjumpa dengan tukang tilik. Pertama, bertanya akan sesuatu kepada tukang tilik kemudian mempercayainya. Ianya jelas haram dan menyebabkan syirik yang nyata terhadap Allah s.w.t. Kedua, bertanya akan sesuatu kepada tukang tilik kemudian tidak mempercayainya. Walaupun tidak mempercayainya, hukumnya tetap haram, dan mendapat dosa walaupun tidak jatuh hukum syirik secara mutlak.

"Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada siapa yang mengetahui melainkan Dia-lah sahaja" (al-An'am: 59)

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya) (aj-Jin: 26-27).

Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah s.w.t. Apabila seseorang mendakwa dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, maka dia meletakkan dirinya sejajar dengan Allah. Ini adalah satu bentuk kesyirikan yang berat dan dusta.

Apabila seorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui ilmu ghaib. Walaupun dia tidak mempercayai tilikan ramalan tersebut, tetapi jika khabar ramalan yang dinyatakan itu benar, sedikit-sedikit seseorang itu akan mula mempercayainya walaupun pada mulanya tidak.

Hanya Untuk Merehatkan Minda dan Suka-suka


Ini adalah alasan yang paling banyak dilafazkan oleh penagih-penagih Facebook, main kuiz saja untuk suka-suka dan main-main menenangkan fikiran. Tetapi sedarlah, adakah akidah itu boleh dimain-mainkan? Bukankah kita telah dididik dengan rukun iman yang enam? Berimankah kita dengan qada' dan qadar Allah? Iman kita yang mengakui hanya Allah sahajalah yang mengetahui perkara ghaib hendak dimain-mainkan? Tepuk dada tanya iman.

Perlu diketahui bahawa mempercayai zodiak horoskop juga adalah suatu bentuk tilikan nasib, dan hukumnya sama haram. Mempercayai nombor-nombor dan abjad-abjad tertentu pada nama kita membawa sesuatu nasib, mempercayai tahi lalat di muka membawa maksud-maksud yang tertentu, dan lain-lain yang seumpamanya juga adalah sama haramnya.

Tetapi tidak untuk sebahagian perkara. Warna mempengaruhi personaliti, ianya bukan ramalan, ianya fakta. Kedudukan dalam bilangan adik-beradik mempengaruhi perwatakan, ianya fakta. Ilmu psikologi telah dijalankan dan menjawab persoalan-persoalan sebegini dengan ilmiah dan saintifik, tetapi bahkan perlu diingat ianya juga tidak mutlak kepada setiap manusia bahawa warna, kedudukan adik-beradik, mempengaruhi personaliti 100%. Personaliti mengikut bulan kelahiran, ianya saintifik, tetapi ianya tidak mutlak, kerana manusia dipengaruhi oleh pelbagai perkara seumur hidupnya dan benda ini boleh berubah dari semasa ke semasa. Saintis hanya dapat menjumpai secubit kesamaan antara manusia yang lahir pada bulan yang sama, itu pun mereka sendiri mengakui bahawa ianya adalah teori semata-mata (mereka sendiri tidak mempercayainya 100%). Perlu dibezakan antara ramalan dan kajian.

Mengapa perlu kita menilik nasib, atau cuba-cuba menilik nasib, bertanya kepada manusia yang juga makhluk Allah yang serba kekurangan, dan kemudian mempercayainya? Mengapa tidak kita meminta dan bertanya terus kepada Tuhan sekalian makhluk yang Maha Esa? Yang tidak pernah berdusta dan sentiasa menggotakan janji-Nya?

Jika pengguna masih lagi berkata bahawa main kuiz itu hanya untuk menenangkan fikiran, di sini saya ada alternatif yang jelas dan nyata;

"Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang" (ar-Ra'd: 13)

Saya Juga Pengguna Facebook


Saya menulis ini juga sebagai seorang pengguna Facebook yang aktif. Saya membukanya hampir saban hari. Jadi janganlah dipertikaikan bahawa kononnya saya tidak mengalami apa yang orang lain alami, kononnya saya tidak ketagih dengan Facebook. Malah, ya, saya dahulu juga bermain aplikasi-aplikasi dan kuiz-kuiz seperti ini, saya akui saya seronok bermainnya.

Tetapi akal hendaklah merajai nafsu sebelum nafsu menjajah diri.

Alhamdulillah, sejak beberapa minggu berhenti bermain kuiz-kuiz sebegitu, saya tidak rasa apa-apa masalah. Saya masih aktif di dalam Facebook memberi komen status kawan-kawan, melihat gambar-gambar mereka, membaca berita dan lain-lain yang bermanfaat. Bergurau-senda sesama rakan-rakan, merapatkan ukhwah. Bukankah ianya boleh tanpa kuiz-kuiz merosakkan itu?

Ada rakan-rakan saya yang berhenti daripada menggunakan Facebook kerana khuatir leka dengannya, dan juga kerana ada isu bahawa keuntungan Facebook ini disumbangkan kepada zionis Israel. Terpulang kepada individu, hak masing-masing. Selagi saya tidak menjumpai bukti kukuh bahawa Facebook sememangnya menyumbang kepada kemusnahan Palestin, saya tidak akan membuangnya. Malah, sebagai seorang pengguna internet yang tegar, menguasai jaringan internet adalah perlu. Dan saya rasa jika saya tidak meneroka Facebook dan laman-laman web popular lain seperti YouTube, Twitter dan Blogger, saya rasa ketinggalan dan rugi dalam mengejar dunia arus perdana kini. Untuk maju, umat Islam perlu mencari ilmu, hatta daripada orang bukan muslim. Memboikot teknologi bukanlah suatu langkah yang bijak, malah menyebabkan umat Islam jauh ketinggalan.

Setelah lenguh menaip dan duduk di atas kerusi, Abu baru terperasan kertas-kertas assignmentnya bertimbun di sebelah komputer ribanya. Dia mula meneliti satu per satu sambil menggaru-garu kepala. Keluhan mula keluar perlahan dari hujung bibirnya.

"Ahmad! Macam mana nak jawab soalan yang ini ha?" giliran Abu bertanya kepada Ahmad pula.

"Oh, yang ini, aku pun baru dapat sumber dari kawan aku dekat seberang sana nun pasal topik ni. Senang je ni, aku rujuk buku." kata Ahmad.

"Buku apa?" Abu mengkehendaki kepastian.

"Mukabuku!" jelas Ahmad sambil tersenyum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

9 comments:

  1. nk ng comment sbb d paksa bg comment haha

    sesiapa yg ada akaun fb delet la cpt2 jgn buag masa

    tgk mcm LUn ni hahaa

    (masuk bakul angkat sendiri laaa)

    ReplyDelete
  2. sy mmg x maen mukabuku
    mmg xde akaun ni walo
    disuruh bkali2 oleh kawan2
    tuk buka satu..
    bukan ape, sy tgk my rumate
    ari2 ngadap bnd tu n dari
    pengamatan hamba, byk quiz2
    yg x mdatangkn faedah ~no offence~

    mgkin ianye bleh mdekatkan jarak
    atr kwn2, namun jika dilihat pd
    kacamata sy yg x bape tebal ni,
    sy tdk akan mbuka 1 akaun d fb
    sy pun bukan rajin mengunjungi jaringan sosial mcm ni..haha

    * sy pun mcm Lun, kna komen kt die
    well like dis post :)

    ReplyDelete
  3. It depends on people..
    Bad side:
    pasal lambakan kuiz2 tu- banyak berunsur tilikan nasib
    walaupun memang sah sekadar main2 dan tidak menjana minda, rata2 memang suka main..
    tak nafikan saya kadang2 wat tanpa saya sedar yang itu semua salah,
    halus sungguh namun sebenarnya memeberi impak pada amal saya..

    Good side:
    Saya start bermukabuku ketika cari kawan keluarga yang sudah lama terpisah about belasan tahun.
    Facebook yang menemukan kami balik..
    macam mudah..
    dalam satu masa je saya dah boleh kumpulkan semua yang kenal kami, and further more.. boleh chat dalam facebook.. so simple and easy..
    like a family gathering secara online..

    However, if facebook really menyumbang kepada kemusnahan Palestine.. Better stop..and asking the frens to contact dengan cara lain..

    ReplyDelete
  4. salam...
    'merosakkan'

    emm...sib baik xde akaun...
    ^-^


    jaga kalau ada unsur m.e.l.a.l.a.i.k.a.n dan m.e.m.b.u.a.n.g m.a.s.a apatah lagi s.y.i.r.i.k

    kalau orang tul2 jaga, dia akn elak kan....jauuuuhkan diri... ^_^

    ReplyDelete
  5. tak dinafikan..
    mmg melalaikan...
    tmbh2 games addicted...=.=

    ReplyDelete
  6. hmmm...
    semua ini bergantung pada pengguna fB..
    Untuk pengguna facebook..
    stop answring silly quizzes,
    baca horoscope,
    gunalah dengan sebaiknya...

    ReplyDelete
  7. kalau ada masa teringin nak tulis pasal Nostramadus. "Nostramadus: Tekaan atau Tilikan" lagi pasal tilik2 ni

    ReplyDelete
  8. kalau pndai guna, ianya tidak akn merosakkan.. pandai2 la bawak diri dlm arus kemodenan ini.. tnpa 'mukabuku' ni jugak, ahklah manusia pun boleh rosak.. pesanan utk semua dan juga utk diri sya jugak...

    ReplyDelete
  9. salam..mohon utk share about fb ni..

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"