Sunday, December 07, 2008

Adab Menyambut Aidiladha


  1. Sabda Rasulullah saw, "Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak akan mati tatkala matinya hati-hati orang lain." (hadis riwayat Ubadah Samit). Menghidupkan malam ertinya melakukan pelbagai jenis ibadat, bertakbir, istighfar dan memuji Allah pada malam tersebut.
  2. Solat sunat hari raya yang dilakukan secara berjemaah amat digalakkan sehingga wanita-wanita turut diminta menghadirinya walaupun dalam keadaan haid untuk membesarkan syariat Islam dan mendengar khutbah yang disampaikan. Daripada Ummi Athiyah, beliau berkata bahawa mereka disuruh oleh Rasulullah saw pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha supaya mengeluarkan perempuan remaja, perempuan haid dan perempuan yang menutup muka. Akan tetapi perempuan haid hendaklah mereka menjauhi solat mereka dan mereka mendengar kebaikan (khutbah dan nasihat) dan panggilan kaum muslimin. (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
  3. Daripada Hassan bin Ali, kami telah diperintahkan oleh Rasulullah saw pada dua hari raya supaya memakai pakaian yang sebaik-baiknya yang kami (mampu) perolehi, supaya kami berharum-haruman dengan haruman yang sebaik-baiknya yang kami (mampu) perolehi dan supaya kami berkorban dengan segemuk-gemuknya binatang yang kami (mampu) perolehi. (hadis riwayat Ibnu Majah dan Hakim)
  4. Disunatkan mandi dan membersihkan diri pada pagi hari raya sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas, bahawasanya Rasulullah saw mandi pada hari Arafah, Hari Raya Aidilfitri dan pada Hari Raya Adha (Nahar).
  5. Daripada Buraidah, beliau berkata bahawa Rasulullah saw tidaklah keluar untuk solat Hari Raya Aidilfitri sebelum ia makan terlebih dahulu dan pada Hari Raya Aidiladha tidaklah ia makan sebelum ia kembali dari solat, lalu dimakannya daging korbannya. (hadis riwayat Ahmad dan Tarmizi)
  6. Membaca takbir sama ada di rumah-rumah, jalan-jalan, masjid, surau dan pasar mulai dari terbenam matahari malam hari raya sehingga selepas Asar hari Tasyrik. Dari Jabir r.a bahawasanya Rasulullah saw pernah membaca takbir sesudah solat Subuh pada hari Arafah dan dilanjutkan takbir itu hingga waktu Asar di akhir hari Tasyrik (hadis riwayat Baihaqi)
Dari Abu Said al-Khudri, bahawasanya Rasulullah saw pernah berkata kepada Fatimah r.a, "Bangunlah, saksikanlah korbanmu itu, sesungguhnya titil pertama dari darahnya yang menitis itu diampuni bagimu dosamu yang telah lalu" (hadis riwayat Baihaqi)

Dari Aisyah r.a dari Rasulullah saw bersabda ia, "Berkorbanlah kamu dengan hati yang rela, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihnya ke arah kiblat, maka darahnya, kotornya dan bulunya itu adalah kebajikan dan baktu kepada timbangannya pada hari Kiamat." (hadis riwayat Baihaqi)
Dari Ibni Abbas r.a berkata ia bersabda Rasulullah saw, "Adapun wang perak yang dibelanjakan pada sesuatu tiada yang lebih utama daripada penyembelihan (berkorban) pada hari raya." (hadis riwayat Baihaqi)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"