Wednesday, November 18, 2009

Quranic Law of Attraction


Apakah yang dimaksudkan dengan Quranic Law of Attraction? Bagaimana doa dapat menerlahkan kuasa tarikan luar biasa dalam mencapai kecemerlangan dalam kerjaya? Benarkah rasa syukur dapat melahirkan kuasa tarikan dalam menjemput kebahagiaan dalam hidup? Bukti solat adalah puncak dalam melahirkan kuasa tarikan secara optimum?

Law of Attraction mengajar kita mengenai kuasa minda.

Apa yang kita fikirkan hari ini menentukan apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Jika kita mahukan masa hadapan yang cemerlang, kita perlu berfikir dan mencipta keinginan ke arah kecemerlangan itu.

Persoalannya, apakah kayu ukur bagi memastikan kuasa tarikan yang kita hasilkan tidak merentasi sempadan nilai? Apakah kayu ukur bagi memastikan tenaga daripada kuasa minda kita kekal dalam kerangka agama?

Jawapannya sudah pasti adalah Quran. Melalui Quran, kuasa tarikan yang terhasil diselarikan dengan petunjuk Tuhan. Fikiran dan tindakan kita juga dibentuk sesuai dengan kehendak Tuhan. Kesannya, terhasillah kuasa tarikan yang luar biasa. Namun, yang paling utama, kuasa tarikan itu menjamin kecemerlangan yang lebih holistik, kecemerlangan dunia dan akhirat.

Penulis: Rusdin S. Rauf
Penerbit: Imtiyaz PTS Millennia Sdn. Bhd.
Bil. mukasurat: 146
Harga: RM13.90 (sem. msia) RM15.90 (sabah/sarawak)

Friday, November 13, 2009

Wednesday, November 11, 2009

Ketika Cinta Bertasbih


Sebuah filem yang puas saya nantikan, akhirnya berjaya juga saya tontoni. Sudah lama saya tidak segirang ini untuk menanti sebuah filem. Ya, saya bukanlah penggemar filem, apatah lagi filem melayu Malaysia atau pun Indonesia. Tetapi buat kali ini, saya mengecualikan filem yang satu ini. Ketika Cinta Bertasbih mendapat tempat dalam hati saya atas beberapa kelebihan berbanding cerita cinta (dan islamik) yang lain.

Jikalau Ayat-ayat Cinta kita disajikan dengan watak Fahri yang sempurna, agamanya, akademiknya, hubungannya, keluarganya, kali ini Habbiburrahman melakukan perubahan dalam watak utama cerita, Khairul Azzam, seorang mahasiswa Universiti Al-Azhar yang serba kekurangan dan hidup kesusahan. Terpaksa bekerja sambil belajar untuk menampung kewangan keluarganya di Indonesia, hingga mengambil masa 9 tahun untuk lulus dari universiti. Lebih lagi, selama itulah dia tidak pulang ke kampung halamannya, hingga adiknya yang paling kecil sudah tidak berapa mengenalinya.

Ini sememangnya cerita cinta, tetapi apa yang Habiburrahman mahu sampaikan adalah lebih daripada hanya hubungan cinta silang jantina. Cinta keluarga, jelas dipaparkan dalam cerita ini berbanding Ayat-ayat Cinta. Husna, adik kepada Azzam begitu menyayangi abangnya, dan merupakan inspirasi kepada semangatnya untuk menulis sastera. Saya sendiri terharu melihat adiknya menangis kegembiraan menyambut abangnya di lapangan terbang setelah 9 tahun tidak ketemui. Ketabahan, kegigihan dan semangat yang kuat Azzam untuk melangsungkan hidupnya itu menjadi pengajaran bagi semua.

Filem Ayat-ayat Cinta yang mendapat kritikan mengenai barisan pelakonnya memutuskan Habbiburrahman sendiri bertindak sebagai pengarah pelakon supaya para pelakon filem Ketika Cinta Bertasbih dimonopoli oleh mereka yang mempunyai fikrah agama. Hasilnya, langsung tidak mendukacitakan. Siapa kata melalui filem kita tidak dapat berdakwah? Siapa kata berlakon semestinya perlu untuk tidak bertudung, perlu berpegangan tangan dan bersentuhan sesama ajnabi? Habbiburrahman berjaya menolak sangkaan itu melalui filem ini.

Penceritaan selama 2 jam tampak seperti terlalu singkat, semakin banyak yang diceritakan, semakin banyak yang persoalan yang terkeluar, dan seperti novelnya, filem ini juga dibahagikan kepada 2 bahagian. Bahagian kedua hendaklah ditonton barulah terjawab segala persoalan dan permasalahan yang diajukan dalam cerita ini. Ah, betapa harus ditunggu lagi untuk bahagian kedua.

Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan filem ini. Sinematografinya tidaklah begitu bagus, tetapi tidaklah juga teruk, memadai untuk sebuah cerita cinta yang tipikal. Penataan bunyi dan lagu masuk, plot yang bergerak stabil, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, cuma hanya dalam beberapa babak. Ada sarikata untuk bahasa Arab, tetapi tidak untuk bahasa Indonesia (jadi ada beberapa babak yang diperkatakan dalam filem itu saya tidak fahami kerana saya bukanlah menguasai bahasa Indonesia dengan baik).

Sengaja saya tidak membaca novelnya sebelum menonton filem ini kerana mahu menilai dari sudut pandangan yang lain. Jadi saya tidak dapat mengulas mengenai perbandingan filem dan novel Ketika Cinta Bertasbih. Mungkin selepas ini barulah saya mencari dan membaca buku tersebut. Apa-apa pun, bagi penggemar filem islamik, filem ini wajar untuk anda tontoni, dan bagi mereka yang mahu bertukar angin untuk menonton cerita seperti ini, ianya pasti tidak mengecewakan.

Tuesday, November 10, 2009

Carilah Hatimu


Kau mesti mulakan langkah mujahadah ini sekali lagi. Berbekalkan kata pujangga, kebaikan itu kerapkali perlu dimulakan berkali-kali. Tidak ada istilah putus asa dalam mengharap keampunan dan keredhaan Allah. Walaupun berkali-kali mundur dan terbentur, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti. Berhenti ertinya mati – mati hati dalam mengharapkan cahaya Ilahi. Hakikatnya itu lebih bahaya daripada matinya jasad yang lahir ini.

Ya, kau perlu mulakan sekali lagi. Begitu bisikan ilmu menolak rasa ragu. Selalu. Walaupun terasa diri diselubungi selimut dosa dan kemelut alpa, jangan sekali-kali putus asa. Begitu kata jiwa yang menjerit tanpa suara. Allah tidak akan menutup pintu keampunannya… kunci pintu itu adalah harapan. Selagi ada harapan, selagi itulah ada perjuangan. Tewas dalam satu pertempuran tidak bererti tewas dalam satu peperangan. Begitulah jua dalam peperangan melawan syaitan dan hawa nafsu ini.

Tidak ada jalan lain wahai diri, kecuali bangun dan terus bermujahadah. Hati itu boleh berkarat, pencucinya adalah Al Quran dan ingatkan mati. Begitu panduan yang diberikan oleh Rasul junjungan. Jua teringat pesan Imam Ghazali:

“Carilah hatimu di tiga tempat… Temui hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, kau carilah hatimu ketika duduk tafakkur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!”

Semak-semak dalam kehidupan harianmu. Bagaimana awal pagimu… Telahkah kau buka setiap hari barumu dengan hati yang bersyukur? Telahkah kau ucapkan, segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku daripada kematian yang sebentar dan kepada-Nyalah kami akan dikembalikan? Kemudian mintalah berlindung daripada sifat malas, takut, bakhil dan penguasaan orang lain terhadapmu. Senyum. Dan teruskan bersuci dengan mandi dan wuduk. Basuh wajahmu, fikiranmu, pendenganmu dan penglihatanmu daripada cela dosa dan prasangka. Kemudian dirikan solat Subuh. Pinta hidayah, kesihatan, kekuatan dan kesabaran dalam kalimah-kalimah doa dan munajat itu.


Tidak mengapa sekiranya hati terganggu oleh karenah-karenah manusia atau mainan rasa. Tetapi capai segera al-Quran dan bacalah. Bacalah, itu hakikatnya menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, tidak berguna… Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertenaga dan anggun sekalipun jasad luaran, tanpa al-Quran segalanya tidak berguna.

Jangan mendaki puncak hanya untuk meninggikan tempat jatuh. Jangan memburu fatamorgana kemewahan dunia hanya untuk ditipu olehnya. Ingat wahai diri, janji kesibukan yang tanpa henti, kelesuan yang tiada penghujung, kejemuan yang senantiasa mencengkam, kebimbangan tanpa kesudahan, buat pemburu-pemburu dunia yang bagaikan anjing rakus memburu bangkai. Sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Sebaik-baik perlindungan adalah al-Quran. Mereka yang begini sahaja mampu ‘menukar’ bangkai dunia menjadi baja dalam kehidupan.

Burulah kehidupan dengan semangat orang yang bersedia untuk mati. Jadilah insan bijaksana yang menghayati pesanan Rasulullah agar sentiasa mengingati mati dan bersedia untuk menghadapinya. Jadilah umpama para sahabat Rasulullah s.a.w yang hidup bahagia, tenang dan aman walaupun dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan. Jangan jadi Namrud, Firaun dan Haman yang mengurus dunia penuh dengan ketamakan dan kezaliman. Nanti kau diburu oleh resah, gelisah, kesibukan, kejemuan, kemarahan yang tiada berkesudahan.

Ingatlah wahai orang yang bermujadahah… tidak mengapa sekiranya engkau tidak sampai di hujung jalan, cukup sekadar kau telah menempuh jalan. Justeru ketenangan dan kebahagiaan itu bukan hanya ada di hujung jalan, tetapi ada di sepanjang jalan…Genggam al-Quran, ingat mati dan berangkatlah. Jalan mujahadah itu susah tapi indah!

Saturday, November 07, 2009

Ikhlas


Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama. (Az-Zumar: 11)

Iblis menjawab, Demi kekuasaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka. (Sad: 82-83)


Ikhlas. Apa keistimewaan ikhlas sehinggakan orang yang memiliki ciri-ciri itu mendapat keredhaan dan kebaikan dunia akhirat. Perkataan ikhlas selalunya digunakan ketika kita sedang memberi sesuatu dengan suka dan rela hati, kerana cinta kepada penerimanya. Tanpa kita sedari, maksud ikhlas itu jauh lebih mendalam. Ada ikhlas di dalam ikhlas dan ada ikhlas lagi di dalamnya. Sejauh mana tahap keikhlasan kita - apakah niat kita yang baik pada mulanya semata-mata mendapat keredhaan Allah tapi kemudiannya dipengaruhi syaitan supaya riak itu juga dikira tidak ikhlas.

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda tentang seseorang yang keluar (dari rumahnya) untuk berjihad di jalan Allah, dia ingin mencari pahala dan populariti sebagai seorang yang berani". Apa yang ia perolehi Nabi menjawab, "Tidak ada apa-apa". Walaupun ditanya beberapa kali, jawapan Rasulullah tetap juga sama. Kemudian Nabi bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak menerima segala amal, kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas dan untuk mencari keredhaan Allah" (HR An-Nasa'i)

Cuba bayangkan amalan-amalan kita selama ini, apakah ianya benar-benar ikhlas kerana Allah. Apakah anda muslimah memakai jilbab yang labuh supaya kamu dipuji orang ramai dan seronok dengannya? Pernahkah anda gembira jika anda dipuji orang-orang tua apabila anda ke masjid?

Na'uzubillah.

Lantas, oleh kerana keikhlasan berubah-ubah bersama niat, kita perlu menetapkan niat sebelum melakukan sesuatu perkara. Sebelum keluar ke universiti, tetapkan apa niat kita belajar. Kita tidak sanggup melihat kafirun dan jahiliyyah lagi yang memegang pemerintahan negara. Kita mahu menegakkan agama Islam. Kita tidak mahu digelar orang beragama yang tidak berilmu, orang dakwah yang hanya cakap pandai. Inilah sebabnya kita pergi menuntut ilmu. Semuanya lillahitaala.


Bila anda mula gembira jika dipuji, berhati-hatilah kerana riak hampir saja timbul lalu memadamkan segala niat awal anda yang ikhlas kerana Allah.

"Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia" (Al-Ikhlas: 4)

Apakah kita sedangkan menyamakan Allah dengan puji-pujian manusia? Anda selalu solat di masjid namun lama-kelamaan ia semakin pudar dengan riak dalam hati. Rugilah anda. Bukanlah mengatakan solat di masjid itu riak. Cuma kita perlu berhati-hati antara ikhlas, teladan kepada orang lain atau riak. Tepuk dada tanya hati.

Ya Allah, apakah amalanku yang selama ini ku anggap ikhlas kerana-Mu telah dikaburi riak. Ya Allah, jauhkanlah aku dengan syirik yang nyata dan yang tidak nyata.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Mohonlah perlindungan kepada Allah dari Jubbil Huzn. Mereka bertanya, Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi s.a.w menjawab, Suatu lembah di Neraka Jahanam, di mana setiap hari, Jahanam sendiri berlindung darinya sebanyak empat ratus kali. Mereka bertanya, untuk siapakah ini disiapkan, wahai Rasulullah? Jawab Nabi, Disiapkan untuk para qari' (pembaca Al-Quran) yang riak dengan amalan mereka" (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Betapa bahayanya riak ke atas diri kita. Halus dan tidak nyata tapi mengubah keikhlasan kita dalam melakukan pekerjaan. Manusia mengadili hanya dengan deria mereka. Namun, amal semua manusia hanya Allah yang mengetahui.

Tanda-tanda ikhlas dapat disimpulkan seperti berikut:

1. Menuduh diri berasa kurang sempurna dalam melaksanakan kewajiban kepada Allah.
2. Merasa keikhlasan dalam diri itu tiada dan selalu mempertanya keikhlasan diri sendiri.
3. Tidak terpengaruh dengan ujian atau celaan, tetapi tetap istiqamah.
4. Tidak berubah walaupun manusia berubah dalam hal ketaatan atau kemaksiatan.
5. Niat menjadi pusat pemerhatian dalam kehidupan.
6. Berusaha merahsiakan amal kebaikan kecuali ketika memberi teladan kepada orang lain.

Mungkin, orang yang menangis ketika beribadah di khalayak ramai itu lebih ikhlas daripada orang yang beribadah di dalam bilik seorang diri (yang riak).

Sunday, November 01, 2009

Empat Tabiat Menghadapi Peperiksaan


Peperiksaan kita hadapi sekarang ini sebenarnya menuntut kita supaya mempunyai 4 sikap utama ketika melakukan pelbagai perkara atau kerja. (Pre-Exam to Exam) Pertamanya adalah berikhtiar atau berusaha yang bersungguh-sungguh dan keduanya iaitu selepas itu, adalah bertawakkal. Islam tidak mengajar umatnya hanya dengan duduk diam tidak berusaha apapun dalam menyelesaikan sesuatu perkara.

Usahalah dulu bersungguh-sungguh, doa banyak-banyak kemudian, barulah bertawakkal kepadaNya iaitu menyerahkan segala kesudahan itu kepada ALLAH SWT. Sikap yang kita lakukan ini akan dapat mengusir prasangka buruk terhadap apa yang bakal kita temui nanti. Sesuatu yang buruk berlaku itu tak semestinya tak baik untuk kita, dan sesuatu yang baik itu tak semestinya baik untuk kita. Fikirkanlah... kerana hanya Allah lah yang tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

“Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkannya” (At-thalaq:3)

Maka, hati orang yang bertawakal kepada Allah ini insyaallah akan kuat. Ia tidak dapat dipengaruhi bermacam prasangka buruk, dan juga tidak dapat digoncang oleh pelbagai peristiwa yang terjadi. Apa-apa yang berlaku dia redha dan terima. Dia yakin Allah akan menjamin sepenuhnya orang yang telah bertawakal kepada-Nya dan yakin akan janji-Nya. Dengan sikap ini akan hilanglah kegusaran dan kegelisahan. Sesuatu kesulitan berubah menjadi kemudahan, yang berasa takut akan menjadi aman dan yang kesedihan menjadi kegembiraan. Insyaallah... "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan" (Al-Insyrah: 5-6)

Namun, USAHA yang SUNGGUH-SUNGGUH dulu adalah penting sebelum kita mahu bertawakkal menyerahkan penentuan kepada Allah. Tanpa usaha itu, janganlah nak mengharap Allah akan menentukan kejayaan kepada kita hasil usaha yang tak seberapa itu. Kadang-kadang kita kata kita dah usaha betul-betul tapi masih tak dapat markah yang baik. Betulkah?

Cuba cermin balik diri tu, betulkah kita dah berusaha? Dah faham dan hafal betul-betul? Dah hadam dengan baik-baik? Kalau betul-betul dah, kenapa masih mahu meragui tawakal kita pada-Nya?....Jangan sampai ujian yang beberapa hari ini saja akan menghapus syukur kita atas nikmat Allah selama ini, itu sebuah kesalahan besar, perbanyak istighfar, mudah-mudahan Allah memaafkan dan memberi jalan keluar kepada kamu.... (Post-Exam)


Kemudian, yang ketiga dan keempat adalah sabar dan syukur. Inilah senjata utama setiap muslim dalam hidupnya. Sebahagian hidupnya mestilah diisi dengan rasa sabar terhadap pelbagai dugaan, cabaran dan masalah yang menimpanya dan selebihnya diisi dengan rasa syukur apabila datang nikmat daripada-Nya. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sungguh luar biasa urusan seorang mukmin itu, sesungguhnya setiap urusannya itu akan mendatangkan kebaikan untuknya. Bila ia mendapatkan kesenangan, dia bersyukur dan itu adalah kebaikan untuknya. Bila ia mendapatkan musibah, dia bersabar dan itu adalah kebaikan untuknya. Hal itu tidak diberikan untuk sesiapa pun kecuali untuk seorang mukmin.” (Muslim)

Kita sering merungut apabila kita tidak dapat markah yang yang baik dalam peperiksaan. "Soalan ni tak pernah dengar pun...!!" "Susah gila soalan tadi..!!" "Kalau la aku study banyak sikit semalam..." Itulah antara ayat-ayat yang terpacul daripada mulut kita selepas sesuatu peperiksaan. Ada pula... "Laa.. taklah susah sangat.." "Wah... sebijik apa yang aku hafal semalam.." "Cikgu tu baiklah..." "Nasib baik aku tak kena soalan bab tu..." Sabar boleh dibahagikan kepada 3; pertamanya dalam menghadapi musibah, misalnya dengan tidak meratap dan berkeluh kesah. Kedua, sabar dalam menjalankan ketaatan terhadap Allah s.w.t dan akhir sekali, adalah sabar dalam menjauhi kemaksiatan. Manakala, syukur pula bukanlah dengan hanya dengan mengucapkan hamdallah sahaja, namun dengan mengunakan jiwa raga dan nikmat-nikmat untuk mewujudkan ketaatan kepada Allah s.w.t. Satu musibah itu mestilah disyukuri juga, sebab asasnya musibah diturunkan itu adalah sebagai ujian terhadap seorang hamba atau sebagai hukuman yang disegerakan di dunia. Mengapa Allah kita selalu persalahkan? "Aku dah Usaha, Aku dah tawakkal... tapi, still tak dpt... huh..," inilah kadang-kadang perasaan menegeluh yang tercetus dalam hati kita. Walaupun tak diluahkan, tapi mesti ada juga sedikit kan rasa ketiadakpuasan hati itu...?


Ujian kita tak dapat markah penuh ini adalah antara ujian-ujian yang Allah berikan kepada kita. Allah menguji kerana cintakan hamba-Nya. Sesiapa yang redha, ia akan mendapat redha dari Allah pula. Boleh jadi, ia juga sebagai hukuman segera di dunia ini atas kesalahan kita lakukan iaitu sebagai penghapus dosa-dosa dan pengurang seksaan di akhirat nanti. Sebenarnya, hal ini membawa diri kita berfikir balik, adakah betul kita dah berusaha habis-habisan dan bertawakal kepada-Nya? Mungkin ada sedikit sahaja bahagian lagi yang kita tak 'complete'kan untuk membolehkan kita dapat markah itu.

Mungkin dengan ujian ini, kita dapat renung dan kaji balik mana-mana yang silap dan mesti diperbetulkan untuk masa hadapan. Kalau asyik dapat perfect saja, kita kadang-kadang tu takkan tahu di mana titik kelemahan kita, dimana kesilapan kita. Secara tak langsung, ia dapat mentarbiyahkan diri kita menjadi seorang yang tidak mudah takbur dan berbesar diri hingga boleh lupa akan nikmat kurniaan-Nya. Oleh sebab itu lah, ketika nikmat datang, seorang hamba juga seharusnya bersabar, berwaspada dan bersyukurlah! Bersabarlah untuk tidak mudah mabuk dan alpa dalam kesenangan itu kerana nikmat yang diberikan juga boleh menyebabkan kita terseleweng dari jalan yang benar. Usaha, Tawakkal, Sabar dan Syukur serta Ikhlas dan Husnudhan (sangka baik) merupakan kata kunci yang insyaallah akan menghantar kita untuk mencapai redha-Nya, amiin.

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"