Liga Perdana Inggeris sudah pun membuka tirai untuk musim baru 2008/2009. Walaupun bertembung dengan acara Sukan Olimpik, namun peminat-peminat bola sepak, terutamanya Liga Perdana Inggeris atau lebih dikenali sebagai English Premier League (EPL), perlawanan pembukaan minggu pertama adalah satu kemestian untuk ditonton di kaca televisyen. Di sini saya ingin membuat ulasan ringkas terhadap 4 gergasi bola sepak Inggeris dan komen serta kritikan pada perlawanan pertama mereka.
Arsenal
Pada musim lepas, ramai yang menjangkakan merekalah yang akan menjuarai EPL, dengan rekod hanya 1 kekalahan pada akhir tahun 2007, barisan pemain yang bersemangat tinggi,seolah-olah tiada siapa yang mampu menghalang mereka. Namun nasib tidak menyebelahi mereka. Kecederaan serius terhadap Eduardo, kecederaan berpanjangan Rosicky dan Van Persie, dan sedikit ketidaksepakatan pada penghujung musim, menyebabkan mereka jatuh ke tangga ketiga, tewas dengan Manchester United dan Chelsea yang konsisten dalam setiap perlawanan mereka. Pada awal musim ini, Arsene Wenger, pengurus Arsenal, telah melakukan rombakan besar kepada skuadnya. Pemergian tonggak utama Arsenal; Flamini, Hleb, Gilberto Silva dan Jens Lehmann seperti mengurangkan lagi peluang mereka untuk memenangi sebarang kejuaraan musim ini. Namun sejak awal lagi Wenger telah bersedia dengan ‘senjata’ barunya. Kedatangan Samir Nasri, Carlos Vela dan Aaron Remsey mungkin memberi nafas baru dalam skuad The Gunners. Perlawanan pertama menentang West Bromwich Albion (WBA) hanya sekadar 1-0 jaringan awal daripada Samir Nasri. Wenger masih mengekalkan tradisi Arsenal dalam perlawanan pertama musim ini. Arsenal terkenal dengan gaya permainan yang hebat, malah ada yang mengatakan Arsenal lebih mementingkan gaya daripada kemenangan. Short pass dan counter-attack yang cukup tipikal dan klasik memang menjanjikan kepuasan pada setiap peminat Arsenal. Namun, satu risiko besar yang sememangnya menghantui Wenger dari dulu lagi, adalah keterlalubergantungannya terhadap kesebelasan utama skuad. Atau dengan kata lain, kualiti pemain utama dengan pemain simpanan adalah terlalu ketara. Jentera kekuatan Arsenal, Cesc Fabregas, yang merupakan maestro midfielder no 1 dunia ini, jika mengalami kecederaan serius dan tidak dapat beraksi untuk kebanyakan musim ini, maka impian Arsenal untuk menjuarai sebarang pingat musim ini harus ditangguh ke musim hadapan. Setakat ini, tidak nampak lagi siapa yang boleh menggantikan Fabregas, mahupun berganding dengannya di tengah padang. Begitu juga dengan Van Persie, seorang yang hebat dalam menjaringkan gol dari celahan sudut yang sempit, tendangan percuma dan gerak kaki yang pantas, tetapi sentiasa mengalami kecederaan pada setiap musim, menyebabkan Arsenal kurang mengasak gol pihak lawan. Mungkin harapan Arsenal untuk musim ini adalah lebih cerah jika mereka membeli pemain terkenal dan berpengalaman untuk mengisi bahagian tengah dan penyerang.
Manchester United
Musim lalu merupakan satu lagi musim yang membanggakan pada mereka. Juara EPL dan juara Liga Juara-juara (UEFA Champions League) cukup untuk mengiktiraf mereka sebagai skuad bola sepak terkenal di dunia. Malah dengan rekod-rekod sebelum ini, Man Utd seperti tembok besar untuk skuad lain menjuarai EPL. Apa rahsia kejayaan Man Utd? Pengurus Sir Alex Ferguson, berpengalaman selama 22 tahun di Old Trafford, menjadi kunci kejayaan utama skuad Red Devils itu. Letaklah siapa sahaja dalam skuad ini, jika dikendali oleh Alex Ferguson, untuk mencapai kemenangan adalah tidak mustahil. Cara permainan mereka cukup ringkas, pastikan bola berada dalam kawalan, pass kepada pemain yang tidak dijaga, kemudian terus menyerang jika terdapat walaupun sedikit ruang kosong. Taktiknya, bertahan sekuat mungkin, menyerang kepantas mungkin. Hanya seri 1-1 pada perlawanan pertama musim ini dengan melawan Newcastle United, menampakkan satu masalah besar dalam skuad musim ini, kekurangan pemain penyerang. Kondisi Wayne Rooney yang tidak menentu cergasnya, Carlos Tevez yang menghadapi masalah peribadi, Campbell, walaupun menunjukkan potensi yang bagus, namun masih terlalu mentah untuk menghadapi EPL untuk satu musim penuh. Harapan cuma satu, beli penyerang yang profilik untuk mengekalkan kejuaraan pada musim ini. Malah Cristiano Ronaldo yang merupakan tonggak utama skuad Man Utd pada 2 musim lepas kini diragui kecergasannya bermain setelah menjalani pembedahan selepas EURO 2008.
Chelsea
Selepas pemergian pengurus “The One”, Jose Mourinho, Chelsea seperti hilang arah dan tiada masa depan. Diganti dengan Avant Grant, bukan seorang pengurus yang berpengalaman, tetapi tetap memberi ancaman besar kepada skuad-skuad yang lain. Hal ini kerana kualiti yang sedia ada pada setiap pemain Chelsea yang telah dididik sepenuh jiwa oleh Mourinho. Boleh dikatakan pemergian Mourinho sebagai kehilangan besar, lebih besar daripada kehilangan semua pemain Chelsea. Walaubagaimana pun, pemilik kelab Chelsea sama sekali tidak mahu skuadnya jatuh. Maka pada musim ini, seorang pengurus yang cukup terkenal dan digeruni mengambil alih ke atas pasukan Chelsea. Beliau adalah Luiz Felipe Scholari, bekas jurulatih skuad Brazil yang menjuarai Piala Dunia pada tahun 2004 dan jurulatih pasukan Portugal sehingga EURO 2008. Menggemari cara bermain menyerang, dengan keutamaan pada corak permainan sisi dan pengawalan midfield. Ditambah pula dengan kehadiran Deco, bekas pemain tengah Barcelona dan Portugal, menguatkan lagi skuad The Blues ini. Apa yang dapat dilihat, kesemua 22 pemain Chelsea mempunyai kredibiliti sebagai pemain utama skuad, dan rasa-rasanya Scholari tidak akan gusar jika terdapat seorang dua pemain utamanya yang cedera, kerana pemain-pemain simpanan bersedia untuk mengisi tempat mereka. Kemenangan besar 4-0 pada perlawanan pertama menentang juara Piala FA, Portsmouth seakan-akan menjadi ancaman besar kepada skuad lain dalam merebut kejuaraan. Antara pemain yang perlu diambil perhatian dalam skuad The Blues ini adalah Deco, Ballack, Lampard, Joe Cole dan Drogba.
Liverpool
Walaupun Liverpool adalah di antara 4 gergasi terbesar, dan 6 kali dinobatkan Juara Eropah (Liga Juara-juara) namun kegagalan untuk menjuarai EPL selama lebih 20 tahun tetap menghantui, baik pemain, pengurus mahupun peminat. Sudah terlalu lama mereka mendambakan piala EPL. Musim lepas mereka mengharapkan dengan ayam tambatan yang baru dibeli, Fernando Torres, dan sememangnya Torres tidak mengecewakan. Menjaringkan lebih 30 gol pada musim lalu, menjadikan beliau sebagai senjata nombor 1 Liverpool. Pada musim ini pula, skuad The Reds ini dimantapkan lagi dengan kemunculan Robbie Keane yang dibeli daripada Tottenham Hotspurs. Skuad The Reds diyakini dapat meledakkan banyak jaringan musim ini dengan gabungan dua penyerang berkarisma tinggi ini, Keane dan Torres. Secara keseluruhan skuad Liverpool musim ini terdiri daripada pemain-pemain bertaraf dunia. Steven Gerrard walaupun nampak seperti sudah kurang berbisa di depan pintu gol, namun peranannya di kawasan tengah masih gah seperti dulu. Rafa Benitez, pengurus Liverpool, mengamalkan corak permainan yang agak berbeza daripada yang lain. Lebih mementingkan bahagian pertahanan dan mengamalkan taktik ‘cover all ground’ untuk menguasai permainan. Perlawanan pertama dengan kemenangan 1-0 ke atas Sunderland, atas jaringan lewat Fernando Torres, masih tidak menampakkan impak mereka dalam musim ini. Selalu ketinggalan dalam 2-3 musim yang lalu pada awal musim tetapi dapat mengekalkan tangga keempat pada hujung musim. Untuk mencapai kejuaraan pada musim ini, Liverpool harus menjadi lebih konsisten dalam setiap perlawanan baik menentang pasukan kuat mahupun pasukan lemah.