Sunday, August 24, 2008

Aku Terima Nikahnya


Melihat pada tajuknya saja sudah membuatkan saya termenung panjang di kedai buku. Nama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil terpampang jelas di kulit buku. Buku pertama tulisannya, masakan tidak dibeli? Harga bukunya? RM20.90, harga semenanjung! Susah untuk mendapat buku yang sama harga dengan semenanjung di negeri bawah bayu ini, satu peluang yang tidak sepatutnya saya lepaskan. Tetapi apa yang membuat saya termenung panjang petang itu di Wisma MUIS bukan kerana penulisnya, bukan kerana harganya, tetapi hanya satu sebab, temanya; cinta di alam perkahwinan.

Buku-buku lain sudah berada dalam genggaman. Buku berkenaan al-Quran dan hadis? Sudah ada. Buku sejarah Islam? Ada elok di bilik. Buku akidah? Paling banyak. Buku akhlak islami? Juga telah ada. Cuma kali ini, terasa berat untuk membeli ‘buku yang satu ini’. Tidak pernah saya terfikir untuk membaca buku seperti ini, setidak-tidaknya buat masa sekarang. Saya mengambil buku tersebut dan membaca ringkasannya di bahagian belakang buku. Aduh...pedihnya ulu hati. Saya meletaknya kembali elok di rak, kemudian meninjau-ninjau buku-buku lain yang mungkin lebih penting untuk dibeli. Entah bagaimana, setelah puas berpusing-pusing di setiap penjuru kedai buku tersebut, saya kembali terhenti di tempat tadi juga. Satu keputusan yang berat untuk saya buat. Sahabat sudah lama menanti, hanya tinggal menunggu saya.

“Terima kasih” tuan kedai menghulur beg plastik berisi buku.

“Ya.” Saya menjawab ringkas.

Aku Terima Nikahnya sudah kini kepunyaan saya. Saya akhirnya membeli kerana teringat akan seseorang yang pernah mencadangkan saya buku tersebut.

“Bagus buku ni.” As memberitahu saya.

“Oh....Hehe...tapi bukan ke buku tu pasal...pasal...”

“...cinta. Apa salahnya?” As menjawab mudah.

Ya. Apa salahnya. Cinta itu fitrah. Cinta itu suci. Islam itu sendiri tertanam dalam diri setiap antara kita kerana cinta. Maka inilah alasan terbaik jika ada sahabat yang bertanya tentang kenapa saya membeli buku ini.

Balik, saya tidak terus membacanya, saya hanya letakkannya terang di atas meja. Rakan sebilik sudah terjeling. Begitu juga jiran bilik-bilik sebelah.

“Ooo....Fiq, hehe...nanti jangan lupa jemput aku ye, aku nak makan nasi minyak gak!”

“Haha! Sori la aku dah lama dah dulu. Skang ni tengah nak mengindahkan lagi rumahtangga je, sebab tu beli buku ni.” Gurauan mudah daripada saya.

Kami tertawa.

Seminggu kemudian saya habis membacanya. Seperti yang saya jangkakan, karya Ustaz Hasrizal memang asli. Seperti dalam blognya saifulislam.com dan artikel-artikel dalam majalah i, penulisannya cukup ringkas, jelas dan padat. Penceritaan yang sederhana, tidak terlalu berbunga-bunga, sungguh berkesan pabila dihadam. Seakan-akan saya mengenali beliau sejak dari kecilnya. Buku Aku Terima Nikahnya adalah rakaman pahit manis kehidupan beliau sebelum dan semasa berumahtangga. Masyaallah, indah sungguh cinta dan keluarga yang terbentuk atas nama Islam. Itulah kata-kata yang terkeluar setelah saya selesai membacanya. Saya tidak menjangka sebuah kehidupan yang biasa, pada seseorang yang biasa, mempunyai kisah dan hikmah yang luar biasa. Yang mana, akhirnya dalam setiap perbuatan dan hubungan yang kita buat, akhirnya berkembalikan Yang Maha Kuasa Allah swt. Ya, buku ini mengajar saya fikir itu zikir, dan zikir itu fikir. Subhanallah...

Saya mencadangkan buku ini dibaca bukan sahaja kepada mereka yang sedang bertunang atau sudah berumahtangga, malah kepada para remaja juga, yang masih bujang seperti saya, kerana buku ini, walaupun tidak secara keseluruhannya, mengajar kita tentang apa itu cinta lelaki dan wanita, dalam konteks ajaran Islam itu sendiri. Jika ramai antara kita yang boleh membeli novel-novel cinta dan menghabiskan berjam-jam membacanya, apalah kiranya jikalau membaca buku ini yang hanya setebal 227 mukasurat. Ingin mencari motivasi dalam berumahtangga? Ini bukunya. Ingin memahami cinta suami isteri berlandaskan Islam? Ini juga bukunya. Bukanlah niat untuk mempromosi, tetapi pada hari ini di mana dapat kita lihat suasana couple yang semakin merebak dan tidak dibendung mendatangkan satu fenomena yang kurang sihat baik di mata mahu pun di hati, saya mencadangkan buku ini dibaca, kerana penceritaan yang mudah dan berkesan. Insyaallah sedikit-sebanyak menyedarkan kita dalam erti sebenar percintaan.

Melihat perkahwinan sebagai medan untuk menerima, menjadikan kita sering gelisah dan hidup meminta-minta. Melihat perkahwinan sebagai medan untuk memberi, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal peranan dan bukannya hak yang tidak berkesudahan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"