Tuesday, August 19, 2008

Kita Sibuk Untuk Apa Sebenarnya?


Alhamdulillah... satu lafaz yang cukup melegakan seluruh jiwa dan raga keluar dari mulut saya. Dua minggu yang memenatkan telah berlalu pergi. Sekarang minggu cuti, sempena Pesta Konvo Tamu Gadang ke-10 UMS. Tiada program, tiada kerja, tiada masalah. Oh, bahagianya!

Dua minggu sebelum, saya seolah-olah tokoh korporat, atau mungkin juga artis terkenal, dek kerana kesibukan yang melampau yang tidak pernah dialami sebelum ini, cukup untuk membuatkan saya terlupa rutin harian saya. Hari Keluarga Program Biologi Pemuliharaan dan Delegasi Amal Kemerdekaan @ E di mana saya merupakan ahli jawatankuasa dalam kedua-dua program tersebut, dan kedua-duanya berlangsung pada hari yang sama, menyebabkan saya berharap hendak menjadi seperti Naruto. Kagen Bushi no Jutsu!

“Afiq aa...bila mau siapkan itu LPO aa...kasi siap cepat lor...” Chee Ting mendesak.

“Nanti lor...itu LPO satu hari boleh siap ma...ada satu minggu lagi don’t rush-rush la...” saya menjawab mudah.

“Banner bila nak naik? Dah lambat dah ni...” Ilham bertanya.

“Tau, tapi aku sekarang tengah lab, lepas ni ada meeting BioPem pula, esok la kita angkat banner.” Satu lagi jawapan yang memang tidak disukai pendengarnya.

“Bah, bila bole siap laptopnya? Habis cuci suda?” seorang pelanggan bertanya.

“Insyaallah, 1-2 hari lagi siap la aku repair, kuat virus tu, kasi aku masa lagi sikit ek”.

“So plan kita petang ni jadi tak? Ke Kampung Lokub?” Mukhlis bertanya untuk kepastian.

“Boleh insyaallah. Camne pun kite gi jugak petang ni.” tapi akhirnya cita-cita menjadi mimpi. Masa petang itu dipenuhi dengan duduk di kerusi biru HEP kerana menunggu borang LPO yang sepatutnya siap pagi tadi.

“Minggu depan Midterm.” tiga patah perkataan yang dapat mematahkan hati kepada tiga. Lab report yang kena disiap dan dihantar setiap hari sudah cukup menyebabkan penderitaan, ditambah dengan midterm yang dianggap bencana alam semesta, jawapannya maut!

Sepanjang dua minggu tersebut, sebaik sahaja setelah solat, mahu pun sebelum tidur, yang berlengar-lengar dalam fikiran saya hanyalah, “untuk apa aku sibuk?”. Supaya dikenali ramai kemudian menjadi popular? Supaya mendapat tempat tinggal tetap di Kampung E lagi untuk tahun hadapan? Untuk mengisi masa lapang? Atau sebagai alasan mudah untuk tidak menyiapkan tugasan-tugasan pelajaran? Atau atas sebab-sebab yang lain? 

Kadangkala dalam kesibukan harian kita, kita tidak sempat melakukan perkara-perkara fardu, atau mungkin lambat. Hal ini dapat saya perhatikan sendiri melalui rakan-rakan malah diri saya sendiri. Di hati kecil pernah terdetik, alangkah bagusnya jika tidak sibuk, boleh study dengan aman, main game sekali-sekala, tengok movie, dan lain-lain. Tiada stress. Tetapi saya teringat akan satu fakta yang pernah saya baca; “Tekanan kerana bosan tidak berbuat apa-apa adalah sama dengan tekanan kerana sibuk bekerja”. Jadi, mana satu lebih bagus?

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.” (surah al-asr; ayat 1-3)

Kata-kata yang cukup ringkas daripada Allah kepada hambaNya. Ada ahli tafsir yang mengatakan cukup hanya tiga ayat ini, untuk menjelaskan segalanya tentang kehidupan. Kita akan sentiasa rugi, walau dengan apa benda sekalipun, jika apa yang kita buat itu, tidak kerana Allah swt. Kita rugi, jika segala yang apa kita pelajari di kuliah hanyalah semata-mata untuk menduduki peperiksaan, bukan kerana Allah swt. Kita rugi jika tidur kita ini hanyalah tidur kosong untuk melelapkan mata, bukan untuk berehat kemudian berniat agar sihat setelah bangun untuk kembali berjuang menegakkan syiar Islam. Kita akan rugi 24 jam sehari 7 kali seminggu jika semua perkara yang dilakukan langsung tanpa bertuntaskan Islam bertunjangkan iman dan berpandukan syariat. Sibuk? Nah, rugilah kamu andai kesibukan itu bukannya kerana Allah. 

Semoga diri kita ini tidak termasuk antara golongan mereka yang rugi...Amin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"