Sunday, August 30, 2009

Ramadan


Read in abundance the Holy Quran
Abstain from food, drink and cohabitation
Maintain your nightly trips to Masjid for Taraweeh
Absolve yourself from Hellfire through seeking forgiveness
Deeds of good, never too many to have
Attempt to find and utilise the Lailatul Qadr in the nights of the last 10
Never return to the sins you have turned your back on in this month



Wednesday, August 26, 2009

EXCLUSIVE: Madrid Signs New Unknown Player


Real Madrid F.C sekali lagi mengejutkan dunia bola sepak apabila kini mengumumkan pembelian seorang pemain baru ke dalam skuad Galaticos mereka. Ramai yang tertanya-tanya apakah relevannya membeli lagi pemain sedangkan secara teorinya, Real Madrid sudah mempunyai skuad yang lengkap, malah dipenuhi dengan bintang-bintang terkenal bola sepak. Nampaknya mereka masih lagi tidak berpuas dengan skuad yang ada dan menambah lagi seorang pemain baru supaya skuad mereka tampak lebih mantap dan menggerunkan pihak lawan. Atas isu hangat pemain terbaru ini, sQuad Q-riuz telah menemubual secara eksklusif Presiden Real Madrid F.C, Florentino Perez. Ikuti temubual eksklusif ini yang hanya disiarkan di blog ini.

Q: Apa sebenarnya yang anda kehendaki dengan skuad Real Madrid pada musim ini? Rombakan mendadak dan pembelian melampau bintang-bintang bola sepak, apa sebenarnya yang hendak kamu capai?

P: Skuad bola sepak impian (The Football Dream Team) yang diidam-idamkan oleh semua peminat kami. Kami tahu hanya kami yang mampu merealisasikan impian mereka yang menginginkan pemain-pemain terhebat dalam kumpulan kegemaran mereka dan atas sebab itulah era Galaticos ke-2 saya lahirkan pada musim ini, selain cuba untuk merangkul semua kejuaraan yang ada pada musim ini.

Q: Tidak cukupkah dengan pembelian bintang seperti Cristiano Ronaldo, Kaka', Benzema, dan Xabi Alonso?

P: Lagi ramai lagi bagus. Bola sepak adalah sukan berkumpulan dan bukannya sukan individu. Maka untuk meraih kejuaraan kami memerlukan lebih ramai pemain yang hebat. Bagi kebanyakan pihak, pemain terbaik dalam skuad mereka adalah kesebelasan utama, tetapi tidak bagi saya. Bagi saya pemain terbaik dalam skuad Real Madrid adalah kesemua 29 pemain.

Q: Boleh anda memberitahu dengan lebih lanjut tentang siapakah pemain terbaru yang dibeli ini?

P: Dia adalah seorang pemain yang saya lihat, mampu mengubah corak permainan bola sepak ke satu tahap yang lebih tinggi. Cara permainannya unik dan tersendiri. Mungkin terlalu awal untuk saya memujinya tetapi dia adalah harapan terbaru kami. Kami hanya akan mendedahkan lebih lanjut mengenai pemain ini semasa perasmian penyambutan kedatangannya ke Bernebau akhir bulan nanti. Dan maaf ada pembetulan daripada kata-kata anda, kami tidak membelinya, hanya pinjaman sementara (loan) selama dua musim daripada Arsenal.

Q: Anda meminjamnya dari Arsenal? Jadi dia sebelum ini adalah pemain Arsenal?

P: Dia berlatih dalam Skuad Muda Arsenal (Arsenal Youth Squad) dan belum lagi bermain sebagai skuad utama Arsenal. Semua orang tahu Arsenal mempunyai skuad muda yang berpotensi tinggi dan mereka berjaya melatih mereka dengan baik. Kami pada mulanya sememangnya hendak membeli terus daripada Arsenal tetapi di pihak mereka sendiri, mereka juga dapat melihat potensi pemain ini, dan bercadang untuk memasukkan dalam skuad utama mereka suatu hari nanti, maka kami hanya dapat meminjamnya setelah beberapa kali membuat perbincangan dengan mereka.

Q: Pemain ini bermain pada posisi apa?

P: Dia adalah pemain serba boleh. Dia dapat adaptasi dengan baik pada banyak posisi. kebiasaannya dia bermain di posisi tengah (midfield) tetapi boleh juga bermain di sayap kanan atau kiri, dan juga boleh bermain sebagai penyerang tengah (attacking midfield). Saya suka dengan pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi kerana ianya memudahkan kami menyusun strategi dan taktik semasa perlawanan.

Q: Lagi pemain penyerang? Tidakkah anda nampak skuad anda ini terlalu ramai penyerang? Bagaimana dengan bahagian pertahanan?

P: Ramai yang berkata sedemikian. Tetapi tidak bagi kami. Skuad kami seimbang dari segi penyerangan dan pertahanan. Kedua-duanya sama-sama mantap. Anda boleh lihat melalui perlawanan-perlawanan persahabatan kami, berapa banyak gol yang kami bolos, sedikit.

Q: Jadi, apakah nombor jersi pemain ini?

P: Dia akan mendapat nombor khas yang tidak pernah dipakai oleh mana-mana pemain lagi. Malah nombor ini juga tidak pernah dipakai oleh mana-mana pemain bola sepak. Ianya nombor 0.

Q: Anda rasa pemain baru ini sehebat pemain mana? Ronaldo? Messi?

P: Ronaldo dan Messi kedua-duanya adalah pemain yang hebat dan mempunyai gaya yang tersendiri. Seperti mana yang saya katakan tadi, terlalu awal untuk memujinya. Tetapi tidak dinafikan saya dapat melihat potensi yang ada pada dirinya. Mungkin dua tiga tahun lagi, atau mungkin juga pada tahun ini sendiri, dia, pemain baru ini, akan menonjolkan bakatnya yang sebenar di hadapan semua. Siapa tahu?

Q: Melihat kepada ramainya pemain dan kesemuanya mampu untuk masuk dalam kesebelasan utama, jadi berapa kerapkah mungkin pemain baru ini dapat bermain nanti?

P: Sebenarnya, saya meletakkan kebebasan sepenuhnya kepada pemain ini untuk memilih waktu perlawanan yang hendak dimainnya. Dia masih lagi meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di Malaysia, dan sedang sibuk terutamanya kini dia sedang berada pada tahun akhirnya. Dengar kata dia sekarang sedang bertungkus-lumus mengkaji katak? Lebih kurang begitulah. Kami tidak mahu menghalang dia dari meneruskan pengajian akademiknya, tetapi kalau boleh kami berharap sangat agar pemain ini dapat bermain dalam setiap perlawanan penting.

Q: Terima kasih atas kelapangan untuk temubual ini. Kami doakan semoga skuad anda berjaya pada musim ini. Hala Madrid!

P: Sama-sama. Hala Madrid!


Berpuasa Dengan Katak



"Suda masuk ka?" Radzi bertanya.

"Belum, dua minit lagi." saya menjawab, sambil melihat jam di telefon bimbit.

Tepat jam 6.21, masuklah waktu berbuka di daerah Tawau bahagian zon barat. Kami berdua membuka puasa. Hari pertama berpuasa, kami hanya berbuka dengan nasi yang kami tanak sendiri, berlaukkan ayam rendang segera di dalam tin. Alhamdulillah, saya berasa lega selamat sudah berpuasa pada hari yang pertama. Sekurang-kurangnya kami masih dapat menjamah makanan yang elok jika dibandingkan dengan saudara-saudara kita yang menderita kesusahan di tempat lain.

Pertama kali saya berpuasa di dalam hutan.

Kami hanya tiga orang yang menjalankan penyelidikan katak di sana, saya, Radzi dan Yong. Maka hanya saya dan Radzi yang berpuasa. Selama 10 hari di sana, 4 hari terakhir adalah jatuh pada hari puasa. Berpuasa di sana tidaklah seteruk yang saya jangkakan pada awal sebelum sampai di sana. Kami tinggal di resort, jadi tiada masalah air dan elektrik. Mungkin hanya timbul rasa sunyi kerana tiada orang di situ, dan tidak terasa kemeriahan Ramadhannya.

Pukul 7 malam kami bersiap untuk pergi memburu katak (frogging). Frogging ini mudah, hanya perlukan lebih penumpuan pada mata, tidak perlu kecekapan untuk menangkapnya. Ramai yang bertanya bagaimana caranya untuk menangkap katak, pakai jeratkah, pakai saukkah, tetapi sebenarnya ianya memerlukan alatan yang lebih mudah, yakni tangan. Pergi sahaja berjalan di dalam hutan dan di sepanjang sungai, terlihat katak, tangkap. Mudah, lebih mudah daripada memukul nyamuk yang hinggap di badan.

"Pakai tangan je?" pernah rakan sebilik saya bertanya.

"A'ah"

"Pakai sarung tangan la?" dia bertanya lagi.

"Em...ikut la. Kalau nak pakai, pakai la. Tapi saya dengan yang lain-lain tak pakai sarung tangan pun." saya menjawab.

"Tak geli ke? Tak bahaya ke kalau yang ada racun?"

"Hehe, tak geli pun. Lembut je badan katak, kodok menggerutu sikit badan dia. Racun katak tak berbahaya, yang ada dekat Borneo la. Lepas pegang katak tu balik basuh la tangan dengan sabun. Kalau ada yang melekit-lekit atau racun tu lepas basuh hilang la. Tapi kalau makan lepas tangkap katak tak basuh tangan, ha yang tu cari maut." saya menerangkan.

Lebih kurang pukul 9 lebih atau 10, kami pulang ke resort setelah selesai frogging pada malam itu. Penat. Balik sahaja terus mandi. Manakala Radzi pula menyambung makan, saya lebih suka untuk berehat. Pukul 11 lebih kurang, saya sudah pun tertidur kepenatan.

Terawih? Sahur? Dalam mimpi.

Keadaan yang lebih kurang sama pada hari-hari berikutnya.

Sekurang-kurangnya, kesunyian suasana Ramadhan di hutan terubat juga pada hari terakhir kami frogging kerana dapat menangkap antara dua spesies katak yang cantik dan susah didapati, iaitu Mallice's Tree Frog (Flying Frog) dan Horned Frog.

Salam Ramadhan untuk semua.


Sunday, August 16, 2009

Muhasabah Ramadhan


Alhamdulillah, pujian ketidakterhinggaan hanya kepada-Nya, kerana hanya dengan limpah kurnia-Nya sajalah yang membolehkan diri ini menghirup nafas segar di alam ini. Dan hanya kerana-Nyalah diri ini dapat berjumpa semula dengan tetamu agung kita, yang hanya datang setahun sekali, jarang, tetapi penuh berkah dan kemuliaan.

Selamat datang wahai Ramadhan al-Mubaraq.

Saya rasa sudah lengkap segala aspek mengenai Ramadhan mulia ini saya nukilkan di blog pada setahun yang lepas, semasa blog ini masih lagi mentah. Namun mungkin ada sesetengah daripada pembaca yang terlepas atau tidak pernah membaca artikel-artikel saya setahun yang lepas. Maka dalam ruang ini, saya ingin membawa pembaca semua (yang masih belum) membaca artikel-artikel saya (dan juga yang dipetik daripada sumber-sumber lain). Moga dengan sedikit pembacaan yang ringkas ini dapat membuatkan kita bermuhasabah kembali bagaimana layaknya kita menyambut dan meraikan Ramadhan ini. Insyaallah.

Kekhususan dan Keistimewaan Bulan Ramadhan
Selamat Datang Tamu Agung
Khas Ramadhan: Apa Kata Anda? (Bahagian 1)
Andai Kau Tahu Ini Ramadhan Terakhir
Ganjaran Istimewa Untuk Mujahid Di Bulan Ramadhan
Khas Ramadhan: Apa Kata Anda? (Bahagian 2)

Friday, August 14, 2009

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul


Selesai solat Jumaat tengahari tadi, saya seperti kebiasaannya singgah sebentar melihat-lihat gerai buku di koridor kanan masjid. Saya tidak pernah membawa dompet ketika solat Jumaat, maka saya datang hanya mencuci mata melihat buku-buku yang dijual. Geram melihat begitu banyak buku yang menarik.

Kebanyakannya adalah buku yang sama pada minggu-minggu lepas. Kalau diikutkan hati hendak sahaja membeli semuanya. Tetapi untuk hari ini saya ternampak sebuah buku yang baru, bukanlah baru di pasaran, tetapi baru dijual di situ. Sebuah buku yang pernah seorang sahabat saya perkatakan.

"Eh, bang. Ada duit tak? Pinjam." tiba-tiba saya berkata kepada Abang Nuar yang kebetulan di sebelah.

"Ha, nak beli apa?" Abang Nuar bertanya.

"Ni!" saya memegang buku tersebut.

"Berapa?"

"RM14.00, harga Sabah."

Tanpa berlengah dia mengeluarkan dompetnya dan membayarkan untuk saya.

Terima kasih bang, nanti saya bayar balik.

Hai, Afiq. Kata tak layak?

Ulasan Buku

Buat adik-adik remaja yang baru hendak mengenali cinta, ketahuilah bingkisan ini ingin membenihkan sebuah impian padamu agar memelihara kesuciannya cinta yang kerap teruji di alam remaja, dengarilah pesananku, cintailah Allah, nescaya cinta pasangan soleh turut kau miliki.

Buat bakal-bakal pengantin baru, ketahuilah bingkisan ini ingin memberikan gambaran kepadamu tentang hari-hari awal pernikahan supaya kau lebih bersedia membuat persiapan.

Buat pengantin baru, ketahuilah bingkisan ini ingin membuktikan padamu bahawa kebahagiaan itu bermula apabila kau menjaga keberkatan pertunanganmu.

Buat para suami, ketahuilah bingkisan ini menyingkap tip untuk memenangi hati isterimu.

Buat para isteri, ketahuilah bingkisan ini akan memotivasikan suamimu untuk lebih kreatif dalam membahagiakanmu dan mencuit kebijaksanaanmu untuk membahagiakannya.

Buat ibubapa, ketahuilah bingkisan ini berguna untuk menyemarakkan cintamu di alam rumah tangga dan berguna untuk anak-anakmu membina paradigma baru agar tak tertipu mengejar cinta sebelum kahwin.

Pemilik Cintaku

1. Allah s.w.t
2. Rasulullah s.a.w
3. Ibu
4. Ayah
5. Isteri
6. Anak
7. Adik-beradik
8. Sahabat
9. Jiran
10. Masyarakat
11. Diri sendiri

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis mu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (ar-Rum: 21)

Sunday, August 09, 2009

Sangka-sangka...Tabiat Manusia


Manusia hari ini suka sangka-sangka
Ada sangkaan baik...
Ada sangkaan buruk...

Orang beribadah disangka riak
Orang yang berehat disangka malas
Orang yang pakai baju baru disangka menunjuk
Orang yang pakai baju buruk disangka hina
Orang makan banyak disangka pelahap
Orang makan sikit disangka diet
Orang baik disangka buruk
Orang buruk disangka baik
Orang senyum disangka mengejek
Orang masam disangka merajuk
Orang bermuzakarah disangka mengumpat
Orang diam disangka menyendiri
Orang menawan disangka pakai susuk
Orang nampak ceria disangka mem'bela'

Mana tahu yang diam itu kerana berzikir kepada Allah
Mana tahu yang senyum itu kerana bersedekah
Mana tahu yang masam itu kerana mengenangkan dosa
Mana tahu yang menawan itu kerana bersih hati dan mindanya
Mana tahu yang ceria itu kerana cergas cerdasnya

Jauhi sikap suka bersangka-sangka kerana ia bakal
memusnahkan ukhwah seperti musnahnya kayu dimakan api...

Satu benda yang kita lihat, macam-macam kesimpulan yang
boleh kita buat. Semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya.

wallahu'alam.

Wednesday, August 05, 2009

Katak Oh Katak



"Kau buat apa untuk tesis?" seorang sahabat bertanya kepada saya.

"Katak!" jawab saya mudah, sambil tersenyum.

Pelbagai reaksi saya terima apabila ditanya sebegitu. Ada yang terdiam, ada yang terkejut, ada yang menggangguk-angguk, dan yang paling ramai, menunjukkan 'kegelian' apabila mendengarnya.

"Kau tak rasa geli ke mengadap katak?"

"Eii...jijiknya...katak..."

"Katak? Hahaha..."

Saya tidak menganggap reaksi mereka semua adalah hinaan. Itu hanyalah reaksi normal manusia yang tidak menceburkan diri dalam bidang seperti saya. Rata-rata rakan seprogram tidak hairan mendengarnya. Malah mereka juga, ada yang membuat tesis mengenai buaya, gajah, orang utan dan sebagainya. Dan untuk pengetahuan, mengkaji katak adalah jauh lebih mudah.

Mengapa Katak?


Katak adalah haiwan amfibia (dua alam) yang termasuk dalam order Anuran. Anuran berasal daripada dua perkataan Greek, iaitu an yang bermaksud 'tanpa' dan oura yang bermaksud 'ekor', menjadikan maksud perkataan anuran adalah 'tanpa ekor'. Anuran yang juga lebih dikenali sebagai katak (dan kodok) merupakan amfibia yang paling mudah dijumpai dan mampu hidup dalam pelbagai kondisi habitat dan keadaan.

Katak memainkan peranan yang penting dalam ekosistem Bumi. Katak merupakan pengawal biologi (biological control) dan juga penanda biologi (biological indicator). Malah katak juga mengawal limpahan serangga dan membantu mengekalkan ekosistem dalam keadaan seimbang. Manusia menggunakan katak sebagai penanda cuaca. Misalnya, katak pokok yang diletakkan di dalam balang yang tinggi. Jika katak tersebut duduk di bahagian atas balang, ia menunjukkan cuaca baik manakala jika katak tersebut duduk di bahagian bawah balang, ia menunjukkan tanda-tanda hujan. Katak mempunyai kulit yang telap, menjadikan ia sensitif dengan perubahan suhu persekitaran. Jika alam semulajadi mengalami pencemaran, populasi katak akan berkurang, kitar reproduksi dan kitar makanan akan terganggu dan sekaligus merosakkan sistem jaringan makanan dalam ekosistem secara umumnya.

Oleh yang demikian, kepelbagaian dan kelimpahan spesies katak di sesuatu tempat menunjukkan kawasan tersebut kaya dengan habitat flora dan faunanya, dan kebarangkalian untuk menemui spesies baru juga adalah tinggi.

Katak Juga Makhluk Tuhan


Katak, dan begitu juga haiwan-haiwan yang lain yang terdapat di muka bumi ini tidak lain adalah makhluk ciptaan Allah jua. Mereka berzikir dan bertasbih mengikut cara mereka yang Allah s.a.w berikan. Maha Suci Tuhan yang menciptakan makhluk-Nya dengan penuh hikmah.

"Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di Bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)" (Hud:6)

"Dan pada penciptaan dirimu dan pada makhluk bergerak yang bernyawa yang bertebaran (di Bumi) terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) untuk kaum yang meyakini" (al-Jasiyah:4)

"Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya). Sungguh, Tuhanku di jalan yang lurus (adil)" (Hud:56)

"Dan tidak ada seekor binatang pun yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan semuanya merupakan umat-umat (juga) seperti kamu. Tidak ada sesuatu pun yang Kami luputkan di dalam kitab, kemudian kepada Tuhan mereka dikumpulkan" (al-An'am:38)


Dan kesimpulannya, semua ini adalah "Untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir" (al-Mukmin:54)



© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"