Wednesday, August 05, 2009

Katak Oh Katak



"Kau buat apa untuk tesis?" seorang sahabat bertanya kepada saya.

"Katak!" jawab saya mudah, sambil tersenyum.

Pelbagai reaksi saya terima apabila ditanya sebegitu. Ada yang terdiam, ada yang terkejut, ada yang menggangguk-angguk, dan yang paling ramai, menunjukkan 'kegelian' apabila mendengarnya.

"Kau tak rasa geli ke mengadap katak?"

"Eii...jijiknya...katak..."

"Katak? Hahaha..."

Saya tidak menganggap reaksi mereka semua adalah hinaan. Itu hanyalah reaksi normal manusia yang tidak menceburkan diri dalam bidang seperti saya. Rata-rata rakan seprogram tidak hairan mendengarnya. Malah mereka juga, ada yang membuat tesis mengenai buaya, gajah, orang utan dan sebagainya. Dan untuk pengetahuan, mengkaji katak adalah jauh lebih mudah.

Mengapa Katak?


Katak adalah haiwan amfibia (dua alam) yang termasuk dalam order Anuran. Anuran berasal daripada dua perkataan Greek, iaitu an yang bermaksud 'tanpa' dan oura yang bermaksud 'ekor', menjadikan maksud perkataan anuran adalah 'tanpa ekor'. Anuran yang juga lebih dikenali sebagai katak (dan kodok) merupakan amfibia yang paling mudah dijumpai dan mampu hidup dalam pelbagai kondisi habitat dan keadaan.

Katak memainkan peranan yang penting dalam ekosistem Bumi. Katak merupakan pengawal biologi (biological control) dan juga penanda biologi (biological indicator). Malah katak juga mengawal limpahan serangga dan membantu mengekalkan ekosistem dalam keadaan seimbang. Manusia menggunakan katak sebagai penanda cuaca. Misalnya, katak pokok yang diletakkan di dalam balang yang tinggi. Jika katak tersebut duduk di bahagian atas balang, ia menunjukkan cuaca baik manakala jika katak tersebut duduk di bahagian bawah balang, ia menunjukkan tanda-tanda hujan. Katak mempunyai kulit yang telap, menjadikan ia sensitif dengan perubahan suhu persekitaran. Jika alam semulajadi mengalami pencemaran, populasi katak akan berkurang, kitar reproduksi dan kitar makanan akan terganggu dan sekaligus merosakkan sistem jaringan makanan dalam ekosistem secara umumnya.

Oleh yang demikian, kepelbagaian dan kelimpahan spesies katak di sesuatu tempat menunjukkan kawasan tersebut kaya dengan habitat flora dan faunanya, dan kebarangkalian untuk menemui spesies baru juga adalah tinggi.

Katak Juga Makhluk Tuhan


Katak, dan begitu juga haiwan-haiwan yang lain yang terdapat di muka bumi ini tidak lain adalah makhluk ciptaan Allah jua. Mereka berzikir dan bertasbih mengikut cara mereka yang Allah s.a.w berikan. Maha Suci Tuhan yang menciptakan makhluk-Nya dengan penuh hikmah.

"Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di Bumi melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua (tertulis) dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)" (Hud:6)

"Dan pada penciptaan dirimu dan pada makhluk bergerak yang bernyawa yang bertebaran (di Bumi) terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) untuk kaum yang meyakini" (al-Jasiyah:4)

"Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa) melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya (menguasainya). Sungguh, Tuhanku di jalan yang lurus (adil)" (Hud:56)

"Dan tidak ada seekor binatang pun yang ada di bumi dan burung-burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan semuanya merupakan umat-umat (juga) seperti kamu. Tidak ada sesuatu pun yang Kami luputkan di dalam kitab, kemudian kepada Tuhan mereka dikumpulkan" (al-An'am:38)


Dan kesimpulannya, semua ini adalah "Untuk menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berfikir" (al-Mukmin:54)



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"