Aku mahu berubah! Aku mahu menjadi baik! Aku mahu bertaubat...rintihan seorang remaja yang kecundang berkali-kali dalam hidupnya. Bukan dia seorang yang ingin berubah, ramai yang ingin berubah menjadi orang baik-baik.
Perubahan untuk melalui jalan hidayah tidak semudah yang diimpikan. Banyak halangan dan cabaran. Cabaran pertama dari dalam diri manusia sendiri, namanya NAFSU. Nafsu sukakan keseronokan dan benci kepayahan. Jalan hidayah pula kurang aksesori, ia memerlukan mujahadah dan pengorbanan. Justeru, ramai yang rebah pada langkah pertama untuk ingin berubah.
Cabaran kedua adalah budaya luaran. Manusia akhir zaman ramai yang rosak. Malangnya mereka sendiri tidak tahu mereka rosak. Jikalau tahu pun buat-buat tidak tahu.
Sememangnya tidak senang untuk menjadi baik. Lantaran itu, ramai yang sudah memulakan perubahan pun, kembali ke dunia asal mereka. Lihat sahaja gelagat artis kita, bertudung setahun dua...kemudian kembali seksi macam zaman remaja.
Hendak berada di atas jalan hidayah memang tidak mudah, bahkan tidak ramai yang benar-benar menginginkannya. Lihat sahaja majlis-majlis agama, percuma pun tidak ramai yang datang. Kalau konsert hiburan, harga yang mencecah ratusan ringgit pun ramai yang sanggup tunggu dari petang. Yang bertudung labuh dibanding dengan yang terdedah urat dan aurat, nisbahnya cukup jauh. Jemaah di masjid dibanding dengan jemaah di pasaraya, juga nisbahnya sangat jauh. Lantaran itu sebenarnya untuk mendapat hidayah bukanlah susah, kerana kita tidak perlu berebut.
Mungkin kerana tidak ramai yang melalui jalan hidayah, melaluinya akan terasa sunyi. Kesunyian menyebabkan orang yang melaluinya berpaling ke belakang, menoleh ke belakang untuk melihat orang ramai yang melalui jalan alpa, jalan yang membuai mereka dengan jutaan irama kenikmatan. Imam al-Fudhail bin ‘Iyaad memberi nasihat:
“Janganlah kamu berasa sunyi melalui jalan hidayah kerana sedikit ahlinya dan janganlah terpedaya dengan ramainya orang binasa (kerana melalui jalan yang sesat).”
Kata Ibn Qayyim: “Setiap kali engkau merasa sunyi kerana bersendirian, maka lihatlah pada rakan-rakanmu yang terdahulu (dikalangan para nabi, siddiqin, syuhada, dan solehin). Berusahalah untuk mengejar mereka. Tutuplah pandangan dari melihat orang lain. Mereka itu tidak mampu menyelamatkan engkau dari seksaan Allah. Andainya mereka menjerit memanggil engkau dalam perjalananmu, jangan palingkan wajahmu pada mereka. Maka andainya engkau berpaling pada mereka, mereka akan menggoda dan menghalangmu.”
Kita adalah seperti seekor kancil yang sedang dikejar oleh seekor harimau buas. Walaupun berbadan kecil, Allah kurniaankan kekuatan larian dan kelajuan yang menyamai kelajuan harimau. Andainya kita berpaling, kelajuan larian akan berkurang, walaupun sesaat! Itu sudah cukup bagi harimau menerkam dan membaham kita.
Jangan pandang ke belakang lagi apabila sudah memulakan perjalanan di atas jalan hidayah. Biarkan sahaja orang ramai di luar sana. Allah swt telah menjanjikan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya di hujung perjalanan. Syurga Firdausi bertemankan kekasih-kekasih Allah di kalangan para nabi, syuhada, siddiqin, dan solehin.
Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu: nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya. (an-Nisa: 69)
Andainya kita terpengaruh walaupun sedikit pada pemikiran, budaya dan cara hidup, mereka akan sesatkan kita.
Dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus. (al-Maidah: 77)
Sebenarnya kita adalah orang terpilih di kalangan jutaan manusia. Allah swt sayangkan kita. Dia campakkan ke dalam hati kita petunjuk-Nya. Sebab itu kita mahu berubah menjadi lebih baik. Andainya kita tinggalkan hidayah yang datang, kita menzalimi diri kita sendiri. Menjadi hujah Allah swt untuk menyeksa kita di hadapan-Nya nanti. Waktu itu kita sudah tidak boleh berkata: “ Ya Allah, aku tidak sedar semua ini! Aku belum terima hidayah darimu!”
Ingat, hidayah Allah itu umpama burung yang hinggap di jendela bilik, andainya kita menghalaunya pergi, tidak mustahil ia langsung meninggalkan kita dan tidak kembali lagi.
Ya Allah kurniakan kami istiqamah dan thabat di atas jalan-Mu...
Tunjuki kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
artikel ini diambil dari blog ABU SYIFA' yang bertajuk Jangan Pandang Belakang kemudian diolah semula oleh saya.
ReplyDeleteteringat mase beratur nak naik roller coaster kat genting highland tahun 2005 dulu....pjg gile beratur...tunggu sampai sejam stengah semate2 utk naik ride yg hanye 3minit.....abah kate "kalau la yg beratur bduyun2 camni sebab nak solat kat masjid"....terase batu besar hempap 1bdn ni pas dengar ayat dr abah tuh~pada hal abah pon ikut kitorang naik roller coaster tuh...same2 muhasabah diri -_-"
ReplyDelete