Pada 24hb Januari yang lepas, saya bersama-sama dengan sahabat-sahabat yang lain telah pergi ke Wisma MUIS untuk sama-sama menjayakan program Malam Bersamamu Palestin. Program yang dianjurkan oleh JAKIM Sabah dengan kerjasama JAHIENS dan dibantu oleh badan-badan lain seperti Unit Amal itu alhamdulillah mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai pihak. Tahniah.
Walaupun pada hari tersebut jadual saya agak sarat, paginya bermesyuarat panjang, tengaharinya keluar mengajar di Lokub, petangnya berusrah, dan hampir-hampir saja pada malamnya gagal mendapatkan kenderaan untuk ke MUIS, namun kuasa Allah itu maha besar, Dia menjadikan apa yang Dia kehendaki. Kami peroleh kereta daripada Abang Mat yang kebetulan membatalkan temujanjinya pada malam itu. Walaupun boleh sahaja menaiki bas UMS untuk ke MUIS, tapi dek kerana majoriti yang menaiki bas adalah kaum hawa, dan khuatir dengan kesesakan dan kelajakan masa, menaiki kereta menjadi pilihan utama kami.
Kami solat Isyak terlebih dahulu sebaik sahaja sampai di sana. Dan kemudian kami meneruskan perjalanan masuk ke Dewan Saadah MUIS. Di luar dewan itu dipenuhi dengan jualan barang-barang yang diniagakan oleh saudara kita, seperti makanan dan minuman, kismis, air tin Zam-zam Cola, buku-buku agama dan seumpamanya. Masa itu hadirin sudah mulai kunjung sesak. Kami tidak berhenti singgah di gerai-gerai untuk masa yang lama, cukup sekadar melihat-melihat dan membeli sebarang dua kerana takut jika tidak mendapat tempat duduk yang baik jika tidak masuk awal.
Program bermula lewat daripada tentatif yang diedar. Tidak ada masalah bagi saya, masa yang terluang diisi dengan membaca risalah-risalah yang diedar di setiap tempat duduk. Dan sambil-sambil itu, gembira juga melihat telatah anak-anak kecil yang bermain-main disekitar kawasan tempat duduk saya.
Sebaik sahaja dewan itu penuh, majlis dengan serta-merta dimulakan. Ucap alu-aluan dan perasmian oleh wakil yang berkenaan berjalan dengan lancar. Kata-kata yang diberi, walaupun tipikal, namun tetap ada impaknya jika dihayati dan diselami dengan bersungguh-sungguh. Kemudian, seperti yang saya jangkakan, persembahan nasyid oleh Faiz dan rakan-rakannya. Tetapi malam itu terdapat kelainan, Faiz tidak bersama-sama dengan kumpulan E-voicenya tetapi berkolaberasi dengan kumpulan nasyid Kg. CD. Saya tidak ingat akan tajuk lagunya tetapi persembahan mereka itu cukup untuk memeriahkan suasana dengan suatu bentuk hiburan yang penuh keinsafan dan mengingati ilahi.
Seterusnya ditayangkan pula video Palestin. Terlalu panjang jika saya ceritakan satu per satu isi tayangan tersebut. Namun, apa yang pasti, penderitaan-penindasan-kezaliman itu jelas. Bumi Palestin sentiasa bermandi darah, darah para mujahid yang akan terus mengalir demi mempertahankan tanah suci tercinta umat Islam. Al-Fatihah buat semua mujahid mulia penegak agama.
Persembahan yang paling menambat hati saya pada malam itu adalah persembahan daripada anak-anak PASTI. Sajak yang dideklamasi oleh si gadis cilik dan rakan-rakannya menambat hati semua penonton di dewan tersebut. Bait-bait sajak yang cukup mendalam (saya khuatir adik yang mendeklamasinya tidak memahami apa yang dia sendiri katakan) namun berkesan untuk dihadam penonton. Ada babak-babak yang saya kira lucu, iaitu semasa mereka membaling ‘batu’ seperti rakyat Palestin ke arah VIP, membuat saya tertanya “Kenakah VIP?”. Tidak mengapa, mereka hanya anak kecil 5-6 tahun. Persembahan yang sangat mantap oleh mereka pada malam itu. Two thumbs-up!
Sedang acara sedang berada di puncak, Hadlan yang berada di sebelah menyentuh bahu saya. Masa untuk kita beransur katanya. Abang Mat hendak menggunakan kereta untuk sedikit urusan dan kami terpaksa akur. Jam baru menunjukkan pukul 9.30 malam, persembahan Mu’adz masih belum, dan entah apa lagi yang belum dilangsungkan untuk program malam itu, tetapi saya tetap bersyukur dan memadailah saya datang meraikan program itu untuk seberapa ketika, daripada tiada langsung. Sekurang-kurangnya ada sedikit input berguna yang saya peroleh pada malam itu.
Maaf jika artikel kali ini kurang isinya jika dibandingkann dengan artikel-artikel sebelum ini. Saya menulis ini pun, atas permintaan seorang sahabat. Pada mulanya saya tidak berasa untuk menulis berkenaan program tersebut, sudahlah hanya di sana sebentar, malah tiada gambar untuk ditayangkan, tetapi apabila difikirkan kembali, tidak salah kiranya saya menulis. Pengalaman itu ilmu, dan ilmu itu hak semua, perlu disebar dan dikongsi. Walaupun sedikit, namun insyaallah manfaatnya banyak. Sekali lagi saya meminta maaf jika terdapat sebarang kesalahan fakta dalam penulisan saya ini.
Aku Cemburu Pada Mujahidin Palestin
Aku amat mencemburuimu Mujahidin Palestin
Kamu dipilih ALLAH mempertahan tanah suci
Kamu terpilih mempertahan masjid suci
Kamu dipilih ALLAH mempertahan tanah suci
Kamu terpilih mempertahan masjid suci
Bau syurga dapat kau rasai
Kamu mati tapi sebenarnya kamu masih hidup
Mati syahid cita-cita tertinggi kamu
Apakan daya aku hanya mampu berdoa
Aku hanya mampu menghulurkan derma
Aku sekadar mampu memboikot
Aku hanya mampu menghulurkan derma
Aku sekadar mampu memboikot
Jika kamu di ambang syurga
Doakan kami dapat bersamamu
Doakan kami dapat bersamamu
Islam akan tetap terpelihara
ALLAH akan memelihara Islam dan Al-Quran
Tapi diri kita, kita sendiri yang menentukan
Baik atau buruk, syurga atau neraka
ALLAH akan memelihara Islam dan Al-Quran
Tapi diri kita, kita sendiri yang menentukan
Baik atau buruk, syurga atau neraka