Pagi 6hb Oktober, aku gegas bersiap mengemas diri. Jadual penerbangan pada pukul 9.30 pagi, dan berikutan kediamanku yang jauh dari LCCT, aku bertolak seawal pagi. Hari itu aku tidak menjangkakan apa-apa yang berlaku. Aku hanya berfikir, moga selamat sampai ke UMS dan terus nanti menyiapkan tugasan-tugasan bertimbun yang tidak aku bawa semasa cuti Aidilfitri. Ah, kembali ke takuk lama...
Setibanya aku di LCCT, aku berjumpa dengan Faiz yang juga menaiki penerbangan yang sama denganku. Dengan berpakaian segak berkot, Faiz berkata kepadaku.
“...serius?” aku bertanya kembali, kerana si Faiz terkenal dengan lawaknya yang kadang-kadang agak keterlaluan.
“Ko tak tau ke? Takde orang mesej ko bagitau?” Faiz bertanya pula, dia kelihatan serius.
“Takde pun...” melihat raut wajahnya aku kini pasti Faiz tidak bergurau.
“Siapa?” aku bertanya lagi, ingin tahu.
“Budak bawah aku, Exco Ekonomi, sekali dengan ko la, ko kenal...muslimat...Aisyah..” Faiz menjawab perlahan.
Aku cuba mengingati wajah-wajah muslimat ISEUMS Exco Ekonomi, tetapi aku tidak berapa dapat, kerana sudah lama aku tinggalkan Exco tersebut. Aku cuba bertanya lagi.
“Budak Kampung E?”
“A’ah”
“SPTA tu ke?” aku cuba meneka.
“Bukan...SSMP la...ala...tak ingat ke?” Faiz cuba mengingatkan aku kembali.
Aku mengomel sendirian. Yang mana ya? Jikalau budak SSMP, mesti geng Nad kan? Yang mana satu ya? Lama aku berfikir memerah memori di situ.
“Subuh tadi meninggal. Accident malam tadi on the way balik ke UMS, jatuh gaung. Dengan sedara dia, naik kereta.” Faiz menerangkan serba sedikit apa yang dia ketahui, sementara aku masih memerah otak mencari jawapan.
Sebaik sahaja aku duduk di dalam kapal terbang, entah bagaimana, terlintas di fikiranku wajah seorang gadis yang aku rasa aku kenal. Ya, berwajah baik, berketinggian sederhana, nampak pendiam, penuh dengan sopan santun.
“Dia!?” reaksi spontan aku apabila akhirnya mengingati wajahnya. Innalilah...aku terpaku seketika. Jiwaku tiba-tiba kosong. Faiz yang duduk disebelahku sedar aku sudah teringat.
“Tak pakai cermin mata kan? Kurus-kurus kan? Yang pendiam tu kan?” kali ini pertanyaanku lebih yakin.
“A’ah. Ingat dah?” jawab Faiz.
“Em...ingat...”
Aku berasa bersalah kerana tidak mengenali namanya, hanya pernah melihat wajahnya, itupun jarang-jarang, kerana memang aku sama sekali tidak pernah bekerja bersamanya, apatah lagi menegurnya. Tapi aku sedar, banyak jasanya pada UPS dan ISEUMS. Walaupun orangnya low-profile, tapi memang aku pasti, pemergiannya ini ditangisi ramai sahabat.
Setibanya aku di UMS, aku bergegas ke bilik Sallehin, namun kosong, begitu juga sahabat-sahabat yang lain. Dan Faiz berkata tadi, bahawa jenazah si arwah telah diterbangkan ke Tawau untuk dikebumikan di sana semasa aku dan Faiz baru turun ke bumi Sabah. Dalam hati aku berkata, mungkin sahabat-sahabat yang lain telah menziarahinya. Dan petang itu juga, aku memperoleh Borneo Post yang dibeli oleh rakan, seperti yang aku jangka, berita kematian (kemalangan) pelajar dan staf UMS terpapar di akhbar. Ya Allah...seram ngeri apabila aku melihat gambar kereta yang terbabas itu. Jiwaku kecut. Ya Allah, Engkaulah yang Maha Berkuasa Maha Menentukan. Engkaulah yang menghidup dan mematikan. Kepada Engkau jualah kita kembali.
Selepas solat maghrib, diadakan bacaan tahlil untuk si mati. Ramainya orang, terutamanya di bahagian muslimat sehingga dipanjangkan tirai di surau. Sedikit-sedikit aku terdengar seduan dan tangisan di sebalik tabir surau. Pemergian seorang sahabat bagi mereka sememangnya syahdu. Aku makin terasa hiba.
Selepas bacaan tahlil dan solat jenazah ghaib, diadakan juga derma kilat, dan diumumkan juga blog khas Aisyah. Aku hanya berdoa, semoga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang beriman insyaallah.
Al-fatihah dan salam takziah kepada keluarga Siti Aisyah Bakri dan sahabat-sahabatnya
(hanyalah nukilan ringkas daripada orang yang tidak dikenali kepada orang yang tidak dikenali. Wallahua’lam)