Pilihanraya Kampus Universiti Malaysia Sabah sudah berada di kemuncak. Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi pengiraan undi akan berlangsung dan pemenangnya akan diumumkan. Saya menulis di sini untuk mengulas, menilai dan menganalisis serba sedikit suasana pilihanraya kampus di universiti tercinta ini. Sekiranya penulisan ini agak keras dan ada pihak yang tersinggung, saya terlebih dahulu memohon maaf, sama sekali tidak berniat begitu, hanya sedikit ulasan minda kritis.
Tanggal 16 Oktober yang lepas, rasminya pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS dan semenjak hari itu keadaan sudah mula berasa tegang. Nama-nama bakal calon sudah mula disebut bibir ke bibir, gerakan-gerakan kumpulan tertentu sudah mula menyusun strategi. Flyers pilihanraya sudah mula diedar, bunga pilihanraya sudah mula berkembang. Namun terlebih dahulu, apa itu pilihanraya kampus? Dan kenapa ianya diadakan?
Dalam Seksyen 48 Akta Universiti dan Kolej Universiti (pindaan 1975), pihak berkuasa universiti diberi kuasa untuk membentuk satu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih oleh pelajar sendiri. Pemilihan wakil pelajar untuk menduduki MPP ini dilakukan menerusi satu pilihanraya MPP yang biasanya dikenali sebagai pilihanraya kampus. Dengan terbentuknya satu majlis yang mewakili suara mahasiswa, salah satu fungsinya adalah sebagai penghubung dan penyambung suara mahasiswa ke luar kampus tentang pelbagai isu dan masalah sama ada berkenaan universiti mahu pun hal-hal lain (yang sepatutnya didengari pihak kerajaan) kerana mahasiswa adalah pemimpin negara pada masa hadapan, pemikiran dan keintelektualan mahasiswa tidak sepatutnya dipandang rendah. Tetapi apa yang dilihat hari ini kebanyakan MPP universiti hanya berlengar-lengar dalam kampus dan bercerita hal-hal kampus yang remeh, yang langsung tidak menampakkan status kemahasiswaannya. Bila suara MPP tidak kedengaran, dan mahasiswa mula menubuhkan gerakan persatuan sendiri, ianya pula diharamkan?
Proses pilihanraya kampus hampir menyamai pilihanraya umum yang sebenar. Perang poster dan kempen-kempen dibenarkan selama hampir seminggu (di UMS tidak sampai seminggu). Di universiti-universiti yang utama dan “berfikiran terbuka”, kempen-kempen pilihanraya begitu hidup dan sentiasa dinanti-nantikan oleh pelajar serta pengkaji-pengkaji politik kampus. Pengundian dan pengiraan undi dilakukan secara terbuka seperti pilihanraya umum. Keputusannya pula biasanya diumumkan oleh Timbalan Naib Canselor (HEP) sebagai pegawai utama pilihanraya sebaik sahaja selesai pengiraan undi.
Pada malam sesi pengenalan calon dan manifesto di Kolej Kediaman E, saya berdiri memerhatikan ucapan calon-calon MPP dan mendengarnya dari mula hingga habis. Apa yang dapat saya simpulkan, ianya agak mendukacitakan. Generasi mahasiswa kini sudah hilang inteleknya dan kekreatifannya berbanding mahasiswa generasi dahulu. Mana pengganti Anwar Ibrahim yang lantang bersuara dan hebat oratornya? Separuh daripada calon MPP UMS membaca teks semasa berucap. Apa yang panjangnya? Apa yang puitisnya? Ucap sajalah perjuangan kamu yang sepatutnya telah lama ditanam dalam kepala! Malah yang lebih mendukacitakan, atau lebih tepat, lebih layak dipergelakkan, manifesto calon ada yang tidak rasional dan tidak logik! Jelas perjuangannya hanya populariti semata-mata.
Satu sahaja yang saya suka mengenai pilihanraya ini, penyokong. Saya suka melihat penyokong-penyokong calon berkumpul, berteriak, bersorak dan berkompang untuk memeriah dan meraikan calon mereka. Sanggup bersengkang mata menampal dan menggantung poster di setiap pelosok kampus. Tidak kiralah yang berbaju oren atau merah, masing-masing komited dengan perjuangan mereka. Jika tiada mereka pilihanraya ini akan pasti hambar. Namun disebalik semangat yang mereka bawa, ada juga segelintir dari golongan pihak atasan yang tidak berpuas hati. Nampak oren, marah. Nampak oren, benci. Bukan ini negara demokrasi?
Jika ada yang mengatakan suara mahasiswa tidak penting kepada negara, arah pemikiran dan politik mahasiswa mentah dan kebudak-budakan, mari kita mengimbau sejarah. 1955 penggulingan Peron di Argentina, kejatuhan Peren Jimenez di Venezuela pada tahun 1958, penentangan terhadap Diem di Vietnam pada tahun 1963, rusuhan massif melawan Perjanjian Keamanan Jepun-AS di Jepun pada tahun 1963, gerakan anti-Soekarno pada tahun 1966, kejatuhan Ayub Khan di Pakistan pada tahun 1956, Revolusi Hongoria tahun 1956 juga gerakan pembebasan Cekoslavikia pada tahun 1968, memberi kenyataan bahawa politik mahasiswa mampu mencatur perubahan. Dalam negara kita sendiri juga, sejarah politik mahasiswa tahun 60-an dan 70-an yang juga ditandai dengan gerakan dan demostrasi sehingga wujudnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Apa yang dapat saya simpulkan, pilihanraya kampus di Malaysia tidaklah menyaksikan pelajar bertanding sesama pelajar, tetapi ianya adalah perlawanan di antara satu kumpulan pelajar yang serba daif melawan seluruh jentera universiti dan juga Kementerian yang sudah tentulah satu pertembungan yang tidak adil dan seimbang.
Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara. Menara gading yang seharusnya menjadi tapak subur kepada kebebasan berpolitik lagi berilmiah telah bertukar menjadi liang lahad yang menguburkan kebebasan dan hak asasi. Akhir kata, andai tersalah silap sama ada fakta mahu pun kata-kata, harap dimaafkan lagi sekali. Doa saya agar barisan kepimpinan mahasiswa yang baru baik di UMS mahu pun universiti-universiti yang lain, perjuangkanlah apa yang sepatutnya, tegakkan yang benar, amar maaruf nahi mungkar, dan daulatkan agama, bangsa dan negara dengan apa cara sekalipun. Sekian.