Tuesday, October 28, 2008

UPS Yang Tidak Akan DOWNS


Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh- sungguh) beriman. (ali-Imran: 139)
Saya masih lagi ingat akan petikan ayat ini. Ayat inilah yang ditulis dalam nota resolusi kecil Unit Pengurusan Surau (UPS) pada awal mula-mula saya masuk ke dalam organisasi ini. Ayat yang memberi khabar gembira kepada mujahid mujahidah yang berjuang pada jalan Allah. Dan sungguh, kertas kecil ini masih lagi saya simpan sampai sekarang, dan sentiasa terlekat di softboard almari saya sejak sekian lamanya. Seperti tidak percaya betapa pantasnya masa berlalu, tampuk kepimpinan UPS telah pun secara rasminya bertukar tangan pada tanggal Isnin 28 Oktober 2008 yang lalu.
Satu perjalanan yang panjang, sempit lagi tirus yang dilalui setiap ahli UPS sepanjang setahun bergerak menjalankan pelbagai jenis aktiviti. Bukan sedikit program yang dijalankan oleh ahli jawatankuasa sesi 2007/2008 yang lalu, dan bukan mudah mereka bergerak menjayakan program-program tersebut. Pelbagai ujian dan tribulasi yang mereka hadapi, dan semuanya dapat diharungi dengan jayanya. Benarlah firman Allah swt, "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya". (ali-Imran: 104)
Pada Muktamar Unit Pengurusan Surau Nur E-man yang baru sahaja diadakan pada 28 Oktober lalu, tampuk kepimpinan yang lama telah membentangkan laporan organisasi, kewangan, aktiviti dan program yang diadakan sepanjang berada di bawah kepimpinan mereka. Laporan yang baik, jujur lagi tulus pada hemat saya kerana tiada sebarang keraguan dapat dilihat semasa perbentangan, cuma sedikit salah faham dan penjelasan tentang keserabutan tugas antara EKSAH dan UPS.
Sepanjang muktamar tersebut, saya berada di bahagian teknikal, mengadap komputer riba di ruang hadapan muktamar dan saya sememangnya dapat melihat dengan jelas kesemua hadirin yang hadir, baik muslimin mahu pun muslimat. Alhamdulillah, ramai yang hadir. Mungkin tidak semua, tetapi memadai sebagai suara majoriti. Penyertaan daripada ahli UPS tahun 1 yang baru cukup membanggakan. Malah respon dan soalan yang diajukan oleh mereka cukup bernas sekali.
Muktamar tersebut menyebabkan saya menggamit kembali kenangan saat mulanya saya berada dalam UPS semasa tahun 1. Musyawarah pertama yang diadakan semasa saya di tahun 1, dengan abang Izwan sebagai pengerusinya, saya berfikir sejauh mana organisasi ini dapat pergi. Dengan status UPS itu sendiri adalah tidak sah, saya berfikir apa saja program yang boleh kita buat? Dapatkah kita peruntukan daripada HEP dan Unit Hal Ehwal Islam dan Masjid? Alhamdulillah sebenarnya UPS ini berada di bawah EKSAH, maka segala urusan rasmi dikendalikan EKSAH. Tidak saya jangka pada awalnya betapa aktifnya UPS.
Saya bangga menjadi ahli UPS, saya bangga dengan Surau Nur E-man. Ramai dikalangan sahabat mengakui seronok solat berjemaah di surau, ramai dan terasa imarahnya. Malah sahabat dari kolej kediaman yang lain sekali-sekala turut bersolat di sini. Ceramah dan tazkirah sentiasa memenuhi ruang masa antara maghrib dan isyak. Dengan sebab itu, saya berasa agak kesal kerana ramai lagi dikalangan sahabat yang tidak ke surau, yang masih tidak merasai nikmat berjemaah sedangkan bilangan muslim di Kampung E ramai.
Daripada Ibnu Umar r.a Rasulullah saw bersabda: “Sembahyang berjemaah itu lebih afdhal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dulu teknikal, sekarang setiausaha. Dua portfolio yang amat berbeza tetapi dipegang oleh orang yang sama. Saya sama sekali tidak pernah menjawat jawatan setiausaha sebelum ini tetapi jika itu yang diharapkan oleh sahabat untuk saya memegang jawatan tersebut, boleh saja saya belajar. Tetapi memang sukar bagi saya untuk melepaskan lajnah teknikal. Walaupun pelapis tahun 1 boleh diharap untuk menggantikan saya, namun keseronokan mengendalikan barang teknikal sukar untuk dibendung.
Kepada ahli UPS yang lama, terima kasih atas perjuangan anda semua selama ini. Allah swt sajalah yang dapat membalas jasa baik kalian. Dan kepada ahli UPS dan tampuk kepimpinan yang baru pula, teruskan perjuangan ini. Jangan kerana sedikit halangan dan ujian membantutkan anda. Perjuangan Islam masih banyak dan panjang. Kekasih pilihan Allah dihadiahi dugaan tanda kasih-Nya, tak dibiar terlena dalam dakapan harta dunia, tetapi dihidangkan keperitan, susah dan payah yang tiada noktahnya. Takbir!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"