Saturday, November 01, 2008

Cintakan Ilmu


“Assalamualaikum, good morning. How are you today?” En Azhar, guru English for Science and Technology (EST) kami memulakan kelas dengan gaya cerianya seperti biasa. Saya masa itu masih di tingkatan 5.

“Well...well...look at you all...tired and sleepy?” pandangannya sedikit hampa melihat kami, yang nyata tampak tidak bermaya. Entah kenapa, tetapi kami sekelas pada hari itu langsung tiada mood untuk belajar, dari awal pagi hinggalah ke puncak tengahari. Rata-rata kami diam membatu, seperti mayat hidup.

“Urgh...do we really look like that? I mean, sleepy?” Syauqi cuba menafikan.

“Hah! You can’t even smile a bit!” jawab En Azhar.

“Let me guess...studying too hard for the upcoming exam last night, maybe?”

Satu kelas diam. Tidak perlu jawapan lisan, mata-mata yang kemerahan dan muka pucat pada setiap pelajar sudah nyata mengiyakan pertanyaan En Azhar tadi. Peperiksaan pada minggu hadapan seperti hukuman gantung yang pasti dikenakan kepada semua, menanti salah, melarikan diri pun salah.

“Alright, never mind that. How about a story, perhaps?” En Azhar cuba merangsang kami.

“Afiq, okay?” sapa En Azhar kepada saya. Sebagai pelajar meja hadapan memang senang nama saya dipanggil. Bukan sahaja dia, hampir setiap guru kelas 5 Brilliant pernah memanggil nama saya. Memang ini selalunya nasib si duduk depan dan si duduk belakang, selalu diperhati guru. Saya ringkas mengangkat thumbs up, dan mengukir sedikit senyuman. Apa-apalah asalkan ianya tidak membebankan diri. Rungut saya sendirian.

“Well, let me start with...oklah, cakap melayulah, kamu semua bukan faham pun kalau saya speaking. Saya nak bagitau tentang pengalaman saya semasa belajar di Manchester dulu...” En Azhar mula membuka cerita. Kelihatan Syauqi sudah semakin bulat matanya. Yang lain masih diawang-awangan. Saya mula cuba fokus, duduk dengan lebih tegak.

“Masa tu saya baru habis kuliah, nak balik rumah. So saya tunggu la bas, sebaik saja bas sampai, saya naik, dan dalam tu memang dah penuh, so saya berdiri je la dekat dalam bas, dekat dengan pemandunya. Bila bas nak bergerak balik, bas tu bergegar mengejut sikit, bas lama la katakan, buku yang saya pegang jatuh dekat peha pemandu tu.”

Sedikit demi sedikit saya cuba menahan mata daripada tertutup. Rasa rugi jika tidak mendengarnya sampai habis.

“Kemudian pemandu bas tu kata, “Nice book, Engineering Today and Tomorrow...why not to try Arthur’s book, The New Era of Engineering? To me it’s better, and Prof. Sherrigham admire it too”. Dan masa tu saya agak terkejut, dia kenal pensyarah dan buku yang diajar. Saya pun mula bertanya pemandu tu, mereka bersaudara ke? Dan kamu nak tau apa yang menariknya?” En Azhar mula bermain teka-meneka dengan kami.

“Driver tu student dia dulu kan?” Meor meneka memecah kesunyian.

“Exactly.” Jawab En Azhar.

“So maksudnya Sir nak ceritakan kepada kami tentang bagaimana seseorang yang malas belajar akan berakhir dengan begitu dalam hidupnya, daripada seorang yang cemerlang menjadi seorang yang teruk?” Syauqi cuba membuat kesimpulan awal sekaligus cuba menggulung cerita En Azhar.

“Let me finish my story first...” En Azhar cuma tersenyum. Syauqi akur dan menanti En Azhar menyambung ceritanya.

“Mula-mulanya itu la yang saya fikirkan juga, tetapi setelah saya bersembang dengan pemandu bas tersebut, tau apa dia kata? Dia lulusan University of Manchester dalam bidang Kejuruteraan Kimia, dan dia bekerja sebagai pemandu bas sebaik saja tamat belajar.” Terang En Azhar.

“Dan dia sudah pun habis Master dalam bidang tu” tambah En Azhar. Kami terpaku mendengar.

“Saya pun bertanya kepada dia, kenapa hanya memandu bas? Dia jawab mudah;

“ I learned in the university because I love it. And I drive the bus because...well, I love it!”

Saya mula memahami persoalan yang En Azhar cuba bawakan kepada kami, begitu juga dengan yang lain. Sejak hari itu tiada lagi study hingga lewat malam, alhamdulillah rata-ratanya kami cemerlang dalam SPM. Terima kasih kepada En Azhar yang membuatkan kami terfikir, kita belajar kerana apa? Kerana cita? Kerana cinta? Atau lebih lagi dari itu?

Generasi cintakan ilmu


Di Malaysia, jarang-jarang kita mendengar seorang pemandu bas adalah lulusan pascasiswazah dalam sesuatu bidang. Tetapi tidak di Eropah, status orang sebegitu agak ramai bilangannya. Mereka belajar dalam sesuatu bidang profesional tetapi tidak meneruskan pengajiannya sebagai kerjaya hidup, malah lebih senang bekerja di kelas bawahan. Apa yang penting bagi mereka adalah ilmu yang mereka peroleh itu mereka bangga dengannya, dan apa yang mereka kerjakan, juga mereka bangga dengannya. Hal ini mungkin juga disebabkan faktor persekitaran, di mana Eropah taraf hidupnya adalah tinggi, maka tiada masalah kewangan yang melampau jika pendapatan bulanan adalah sedikit. Tetapi apa yang hendak saya tekankan di sini adalah tentang bezanya seseorang yang cintakan ilmu dan seseorang yang cintakan hidup. Kerana kebanyakan daripada kita belajar hanya kerana cita-cita bukan kerana ilmu itu sendiri. Dan disebabkan itulah, kita sering berasa tertekan dan malas semasa belajar.

Orang yang cintakan hidup, matlamat akhirnya adalah kehidupan yang selesa dan mewah tanpa sebarang masalah. Orang yang cintakan ilmu, matlamat akhirnya adalah ilmu yang banyak, dan diamal serta disebarkan kepada orang lain tanpa terikat dengan kehidupannya walau susah atau senang.

Prof. Diraja Ungku Aziz pernah berkata, “Apabila muncul suatu generasi yang tidak lagi minat membaca, maka bersedialah, negara tersebut akan hancur.”

Pentingnya ilmu melebihi pentingnya hidup. Maka cintakan ilmu sepatutnya melebihi cintakan kehidupan. Maka sejauh mana kita cintakan ilmu? Mari kita renungkan kata-kata berikut;

Dari Hassan al-Basri, beliau berkata: “Sungguh aku mempelajari satu bab dari ilmu lalu aku mengajarkannya kepada seorang muslim di jalan Allah (iaitu mempelajarinya dan mengajarkannya kerana Allah semata-mata) lebih aku cintai daripada aku mempunyai dunia seluruhnya.” (al-Majmuu’ Syarh al-Muhadzdzab karya Imam Nawawi, 1/21)

Berkata Abud Darda’ radhiyallahu ‘anhu: “Sungguh aku mempelajari satu masalah dari ilmu lebih aku cintai daripada solat malam.” Bukan bererti kita meninggalkan solat malam, akan tetapi ini menunjukkan bahawa mempelajari ilmu itu sangat besar keutamaannya dan manfaat bagi umat.

Dari Umar Ibnu Khathab radhiyallahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya seseorang keluar dari rumahnya dalam keadaan dia mempunyai dosa-dosa seperti gunung Tihamah, akan tetapi apabila dia mendengar ilmu (iaitu mempelajari ilmu dengan menghadiri majlis ilmu), kemudian dia menjadi takut, kembali kepada Rabbnya dan bertaubat, maka dia pulang ke rumahnya dalam keadaan tidak mempunyai dosa. Oleh kerana itu, janganlah kalian meninggalkan majlis para ulama.” (Miftaah Daaris Sa’aadah, karya Imam Ibnu Qayyim, 1/77)

Dari Ali bin Abi Thalib radiyallahu ‘anhu berkata: “Ilmu itu lebih baik daripada harta, ilmu akan menjagamu sedangkan kamulah yang akan menjaga harta. Ilmu itu hakim (yang memutuskan berbagai perkara) sedangkan harta adalah yang dihakimi. Telah mati para penyimpan harta dan tersisalah para pemilik ilmu, walaupun diri-diri mereka telah tiada akan tetapi peribadi-peribadi mereka tetap ada pada hati-hati manusia.” (Adabud Dunyaa wad Diin, hal 48)

Islam dahulunya dibentuk oleh ilmu, tersebar kerana ilmu, dan di kemuncaknya juga kerana ilmu. Maka dalam impian kita untuk melahirkan kembali daulah islamiyyah, ilmu perlu dipenuhi dalam diri kita. Bukan sahaja ilmu ukhrawi, tetapi besertakan ilmu duniawi supaya ilmu itu sempurna diamalkan.

Menduduki peperiksaan


Maka sahabatku sekalian, janganlah gusar dalam menempuhi peperiksaan yang bakal tiba. Usahakan sehabis baik. Doa dan berserah kepada-Nya insyaallah balasan yang akan kita peroleh setimpal dengan apa yang kita usahakan. Jika sungguh kita tidak mendapat keputusan yang baik setelah puas berusaha dan berdoa, maka Allah lebih mengetahui apa yang lebih baik untuk kita. Cintailah ilmu kerana Allah, kerana hanya kerana Allah ilmu itu ada.

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmulah tempat kembali untuk menerima balasan. (al-Alaq: 1-8)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. Assalamu'alaikum.crita yg menarik dan isi yang ada ruhnya. ilmu i2 menjadi panduan dlm diri, jika tiada ilmu manusia i2 d umpamakan lalang, tiada prinsip..Allah mengangkat org berilmu dan dgn mencintai ilmu menjadikan kita faqih dlm bidang kt ceburi..klu jasad ada ruhnya, maka otak mesti ada ilmunya..(mantan ydp e)

    ReplyDelete
  2. ya betul. tp still sy baca2 balik rasa artikel ni kurang mantap lg. apa yg kurang ek? minta komen semua pembaca

    ReplyDelete
  3. salam..ramai yang risau atau lebih tepat lagi takut untuk menulis kerana alasannya tulisan tidak menarik or x puitis..
    tp sebenarnya tulisan itu jadi menarik apabila ditulis dari kata hati..
    insyaAllah apa yang lahir dari hati akan lebih mudah menyentuh hati-hati diluar sana...

    ReplyDelete
  4. salam ^.^

    fes of all, i'll give u 2 thumbs up for dis quite great story.
    agak tekena msg yg nak dsampaikan *dush~* xP

    nwy, keep it up! n' hav a route to my blog. heheh xD

    wsalam.

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"