Dipetik dari buku Koleksi Kisah Ceria Pengasuh Akhlak Mulia tulisan Ghafarullahhuddin Din
Episod Imam Bergaya
Di sebuah surau tempat perhentian bas awam, ahli jemaah saling tolak-menolak antara satu sama lain untuk mengimami sembahyang maghrib. Maklumlah, surau seperti itu biasanya tiada imam tetap. Kebetulan di kalangan mereka ada seorang yang berjanggut dan memakai jubah. Semua seolah sepakat orang inilah yang sesuai untuk menjadi imam.
“Aku tak boleh jadi imam.” jelas orang berkenaan ikhlas.
Orang lain masih berkeras. “Tidak, antara kita tuanlah yang paling layak...you’re the nearest!” kata mereka.
Orang ini masih menegaskan, “Aku tak boleh jadi imam.” Namun, setelah didesak berkali-kali, akhirnya dia pun terus bertakbir.
“Allahu Akbar!” Para makmum pun ikut segera bertakbir. Semua lega kerana masing-masing sekadar menjadi makmum.
Namun kelegaan seketika ini bertukar menjadi cemas apabila imam itu diam membisu hampir setengah jam! Setelah sekian lama berdiri kaku, imam ini lalu berpusing ke belakang dan berkata, “Aku dah kata...aku tak boleh jadi imam!”
Begitulah...dilema pemilihan imam berterusan lagi dalam keadaan sebahagian besar daripada waktu maghrib sudah pun berlalu.
Pengajaran: Hiasan diri berhubung dengan janggut dan jubah amat bagus, namun untuk menjadi imam, perlu kepada ilmu khusus! Walau bagaimanapun, semangat ahli jemaah di atas mendirikan solat serta dilaksanakan pula secara berjemaah perlu diteladani kerana solat menduduki tempat yang amat penting dalam ibadat muslim.
Episod Imam Separuh Jalan
Pengganti imam seterusnya dipilih. Selepas bertakbir dan seterusnya membaca surah al-Fatihah, imam pun iringi dengan bacaan surah an-Nas. Para makmum betul-betul selesa bermakmumkan imam ini. Rakaat pertama nampaknya hampir selesai dan berjalan lancar.
Namun, tiba-tiba, ada perkara aneh berlaku. Tatkala melaksanakan sujud yang kedua di rakaat pertama, terasa oleh mereka bagai dahi hendak pecah kerana terlalu lama bersujud. Makmum yang lokasinya betul-betul di belakang imam, lantaran sudah tidak tahan, terus mengangkat kepala dan...lalu terkejut besar...kerana dilihatnya...imam sudah tiada!
Bila dia menoleh ke belakang, rupa-rupanya imam berkenaan sedang bersandar di dinding surau.
“Kenapa engkau berhenti mengejut?” tanya si makmum.
“Aku dah baca surah an-Nas, itukan surah terakhir, jadi pada rakaat kedua aku nak baca surah apa pula?” jelas imam ikhlas.
Pengajaran: Lengkapkan diri dengan ilmu-ilmu asas berhubung dengan solat, mungkin suatu hari nanti, kita pula terpilih untuk memimpin solat berjemaah sebagai imam!
Episod Imam Bacaan Sempurna
Seorang imam dipilih lagi daripada kalangan makmum yang berpotensi buat mengimami solat maghrib. Pemilihan ini terpaksa dibuat gara-gara imam yang tidak qualified sebelumnya.
Imam yang dipilih ini nampaknya berjaya melaksanakan tugasnya dengan baik. Setiap rakaat berjalan lancar. Setiap makmum khusyuk berdoa agar solat mereka dapat ditamatkan dengan tanpa masalah kerana jika imam ini tidak qualified juga pemilihan imam baru terpaksa dibuat. Imam yang dipilih ini nampaknya okay. Solat telah dapat dilaksanakan hingga selesai tiga rakaat.
Selepas sahaja memberi salam, dia terus menoleh ke arah para makmum dan bertanya, “Macam mana bacaan dalam solat tadi...okay ke?”
“Kira okaylah...engkau mempunyai potensi untuk menjadi imam tetap.” sahut salah seorang makmum.
“Itu...aku belum ambil wuduk lagi, kalau aku ambil wuduk tentu lagi sedap!”
Tercengang kaku semua makmum mendengar kata-kata imam ini. Imam bersolat dengan tidak berwuduk! Dalam kecengangan itu, proses mencari imam baru bermula lagi.
Pengajaran: Imam janganlah sekadar suara sedap saja! Apapun, semangat ahli jemaah di atas bersungguh dalam mendirikan solat berjemaah perlu diteladani.
Sesungguhnya tali penghubung antara seseorang dengan syirik dan kafir ialah meninggalkan solat. (hadis riwayat Muslim)
Apabila kamu melihat seseorang selalu (istiqamah) ke masjid, maka bersaksilah keimanannya kerana Allah berfirman (dalam surah at-Tawbah ayat 18) yang bermaksud; Hanyalah yang memakmurkan masijd-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat...(hadis riwayat at-Tirmizi)
Akan datang suatu zaman, orang ramai berdiri tegak beberapa masa. Mereka tidak dapat memulakan solat berjemaah kerana tidak mendapati orang yang boleh menjadi imam. (hadis riwayat Ibn Majah)