-Maaf Afiq, aku ada hal lain petang ni, tak dapat pergi.-
Aku tutup mesej tersebut. Sedikit mengeluh, sebab aku akan pergi ke sana keseorangan lagi. Aku terus menuju ke bilikku, bersiap. Penat menghadiri kuliah yang berterusan dari pagi membawa ke tengahari tidak mematahkan semangatku. Memang jika diikutkan hati, hendak saja merebahkan tubuh di tilam empuk aku, tetapi dek kerana tanggungjawab dan amanah yang aku pikul, berehat bukanlah sesuatu yang wajar pada waktu itu. Mandi? tidak mungkin sempat. Makan? Ah, dalam perjalanan bisa. Aku bersiap ala kadar, maksimumkan kekemasan minimumkan masa.
KRING~
Pantas aku menekan punat telefon bimbitku.
“Afiq, kau ada dekat mana sekarang? Aku nak jumpa kau sekejap petang ni.” suara di telefon.
“Oh...sorry...tak boleh. Aku ada hal. Malam la, boleh? Tak pun esok?” aku membalas.
“Erm...oklah...” suaranya sedikit sayu. Tapi maaflah, memang tak boleh.
Sebaik sahaja solat Zohor, aku turun dari blok kolej kediaman ke perhentian bas. Memandangkan aku keseorangan, maka bas sahajalah pilihan aku. Sementara menunggu bas, air soya botol menjadi pengisi perut yang sedang lapar.
Aku sepatutnya berada di sana dalam pukul 2 petang. Sekarang jam menunjukkan pukul 1 petang. Memang mengikut perkiraan, aku akan sampai 10 minit sebelum pukul 2. Harap-harap tiada masalah baik bas mahu pun aku di sepanjang perjalanan, insyaallah.
Alhamdulillah, bas sampai tepat pada masanya ke Kolej Kediaman E. Selepas ini aku akan turun di perpustakaan dan tukar menaiki bas ke Kolej Kediaman Indah Permai yang terletak di luar UMS. Waktu-waktu sebegini tidak ramai yang menaiki bas. Maka aku duduk senang di dalam bas, tidur-tidur ayam merehatkan badan.
“Afiq, dakwah itu luas. Dakwah bukan setakat memberi ceramah, atau menghadiri usrah dan halaqah. Bukan setakat membaca dan menulis, ianya lebih lagi. Menegur itu dakwah. Berniaga itu dakwah. Mengajar itu juga dakwah. Setiap yang melafaz syahadah itu adalah da’ie, dan kamu Afiq adalah da’ie, dan kamu ada tanggungjawab yang besar di dunia ini. Bukan kamu saja, kita semua. Dan kita tidak mahu, apabila di akhirat kelak, kita tidak dapat menjawab apa tugas yang kita telah lakukan sebagai da’ie. Bukankah begitu?”
Aku sentiasa teringat kata-kata itu bila pergi ke sana. Kata-kata daripada abang senior semasa pertama kali aku ke sana.
Ya, benar kata-katanya. Dan jalan dakwah ini adalah jalan yang sukar, penuh liku-liku. Pelbagai mehnah yang perlu ditempuhi. Semuanya adalah untuk menguji siapa di antara kita yang benar-benar beriman kepada-Nya. Aku bermuhasabah sendirian.
Sebaik sahaja sampai ke Indah Permai, perjalanan aku tidak sampai ke penghujungnya lagi. Aku kemudiannya berjalan kaki menuju ke sana. Kira-kira 15 minit berjalan kaki aku sampai. Alhamdulillah, cuaca yang redup dan tenang nampaknya tidak melambatkan perjalananku. Aku berjalan di tepi jalan besar. Kadangkala asap ekzos kenderaan yang keluar memaksa aku menutup hidung. Kadangkala juga lori-lori gergasi berlalu melalui jalan besar ini dan aku dapat terasa gegarannya di tepi jalan. Ah, pedulikan. Alah bisa tegal biasa.
Semakin aku sampai ke sana, semakin aku jelas melihat susuk kecil di tepian jalan. Empat atau lima tubuh kecil dapat aku lihat di hujung jalan sana, di tempat yang aku tuju. Dan semakin jelaslah juga suara yang aku dengari.
“Cikgu! Cikgu! Cikgu datang! Cikgu Afiq datang!”
Mereka semua menjadi tidak tentu arah. Ada yang melompat kegembiraan, ada yang melarikan diri, ada yang cuba berlagak bersahaja. Aku cuma tersenyum melihat mereka.
Kampung Lokub. Inilah tempat yang aku tuju. Tujuanku hanya satu. Mengajar anak-anak pinggiran ini ilmu agama, mengaji dan solat. Suasana kampung yang permai itu begitu mendamaikan jiwa. Hilang sudah kepenatan dan kelaparan berjalan ke sini. Sambil itu aku terus sahaja berjalan menuju ke surau Kampung Lokub yang terletak beberapa langkah sahaja di tepi jalan besar.
“Cikgu! Cikgu! Hari ini belajar apa, cikgu?” Norisma, salah seorang budak yang belajar denganku bertanya. Tidak sabar sungguh dia mahu belajar.
“Apa yang ko mau? Ngaji ka solat?” aku membalas.
“Solat la cikgu. Hari tu ngaji suda kan?” Norisma cuba memastikan dia tidak silap.
Aku hanya tersenyum sambil mengangguk. Sementara budak-budak lain berlari menuju ke surau.
“Azlan! Biar betul kau ni...mana kau pakai seluar pendek dengan pakai songkok? Pergi tukar!” aku menegur Azlan yang kelihatan terlalu selekeh dengan pakaiannya.
“Ya, cikgu!” pantas dia patuh lalu berlari balik ke rumahnya.
Cukup lima minit, kira-kira 30 orang kanak-kanak Kampung Lokub sudah duduk di dalam surau. Bising. Yang lelakinya ada yang bermain guli, ada yang berlari kejar-mengejar, ada yang duduk diam juga. Yang perempuannya pula sibuk memperbetulkan tudung mereka, ada yang bergurau senda sesama mereka, dan ada juga yang menyapu membersihkan lantai surau, bagusnya.
Walaupun melihat akan keadaan mereka yang serba daif, dan kehidupan yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang, namun wajah mereka sama sekali tidak menunjukkan perasaan sedih atau hiba dengan kehidupan mereka, jauh sekali mengeluh.
Mereka budak-budak yang hebat. Ada yang baru berusia 3 tahun tetapi sudah pandai menyusun kasut di tepi sebelum masuk ke surau. Ada yang baru berusia 5 tahun tetapi sudah pandai menjaga, malah membawa adiknya turut sama belajar denganku. Yang lelaki, nakal itu pasti. Tetapi disebalik kenakalan itu terdapat satu kelembutan di mana mereka patuh untuk mendengar. Maha suci Allah yang menjadikan mereka sebagai petunjuk kekuasaan-Mu.
“Okay, assalamualaikum semua!” aku memulakan sesi pembelajaran. Semua mereka duduk bersila dalam bulatan di hadapanku. Lelaki di kanan dan perempuan di kiri.
“Waalaikumsalam~” bergema surau itu seketika. Kuat dan bertenaga sekali suara mereka semua. Kemudian saya memulakan dengan membaca al-Fatihah dan doa penerang hati.
“Okay, sebelum tu cikgu nak tanya dulu. Kamu datang sini untuk apa?” saya mulakan dengan sedikit brain-storming untuk mereka.
“Belajar, cikgu”
“Untuk apa?”
“Untuk belajar, cikgu”
“Sebab apa?”
“Kami mau belajar, cikgu!”
Subhanallah. Sama ada mereka faham atau tidak apa yang mereka ucapkan itu, ianya sangat membuatkan aku terharu. Manakan tidak, mereka golongan miskin yang hanya duduk setinggan, rata-rata mereka tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah sebenar, begitu bersemangat sekali untuk mengatakan niat mereka untuk belajar. Semangat untuk belajar mereka yang begitu kuat membuatkan aku berasa benar-benar kagum. Sedangkan kanak-kanak di sekolah kini ramai yang malas belajar, aku benar-benar mengharapkan mereka semua ini, yang belajar bersamaku, untuk berada di sekolah. Mereka yang mahu menuntut ilmu sahaja selayaknya berada di sekolah, seperti mereka.
“Okay...sekarang, cikgu mau kamu semua beratur lurus, dalam saf. Sebab kita hari ni mau belajar solat. Boleh?”
“Yea!”
Berdentam-dentum lantai kayu surau itu dek larian budak-budak lelaki menuju ke luar untuk mengambil wudhu’, sementara yang perempuannya ada yang bersiap memakai telekung, dan ada yang menyusun sejadah. Seronoknya mereka.
Tetapi...
Ini kisah 6 bulan yang lalu...
Cuti semester yang panjang, ditambah dengan kerja-kerja dan aktiviti-aktiviti yang bertimbun tinggi seperti bukit, membuatkan aku tidak dapat pergi ke Kampung Lokub untuk satu jangka masa yang lama. Bukannya aku tidak mahu untuk pergi ke sana, tetapi terlalu banyak perkara yang membantutkan usaha aku untuk mengajar lagi di sana. Dahulu boleh saja untuk aku menolak hal-hal lain yang bertindih dengan masa aku ke Kampung Lokub, tetapi atas sebab jawatan, kini, aku tidak dapat. Tetapi aku cuba, untuk tidak meninggalkan terus pengajian budak-budak itu dengan menyuruh sahabat-sahabat yang lain untuk pergi mengajar menggantikanku. Tetapi apakah daya, masing-masing ada komitmennya yang tersendiri.
Pernah, bukan sekali, bahkan banyak kali, sebaik sahaja aku mahu pergi ke sana, aku dihalang dengan pelbagai masalah, kelas ganti, mesyuarat, program, masalah cuaca dan sebagainya. Ya Allah, kadang-kadang memang sedih aku terasa. Takut budak-budak itu sudah lupa apa yang dipelajari, takut mereka sudah tidak mahu belajar lagi, takut mereka membesar tanpa sebarang ilmu agama. Takut sungguh aku, ya Allah...
Tetapi hari ini, aku nekad. Apa-apa halangan dan musibah tidak dapat menghalang aku. Sudah terlalu lama aku tidak ke sana, dan tidak ke sana bermaksud aku tidak menjalankan tugas dan amanahku. Untuk hari ini, kalaulah, tidak dapat mengajar mereka sekali pun, cukuplah dengan melihat keadaan mereka di sana. Sungguh tidak bertanggungjawab kalau aku membiarkan mereka begitu sahaja berbulan-bulan sedangkan mereka begitu hendak sekali untuk belajar. Sungguh.
Aku akhirnya tiba di sana. Tetapi keadaannya kali ini lain daripada sebelumnya. Tiada lagi budak-budak itu menunggu aku. Ya, sudah lama aku tidak ke sini, mustahil mereka masih tetap menunggu aku seperti sebelumnya. Jam menunjukkan pukul 2 petang, dan aku tepat berada di surau Kampung Lokub ketika ini.
Kosong.
Sepi.
Aku duduk di dalam surau ini, melihat keadaan sekeliling, ada perubahan. Bahagian luar surau sudah diletak tile, sistem PA baru, banyak sejadah dan al-Quran baru. Alhamdulillah ada perubahan positif oleh penduduk kampung ini untuk surau mereka yang sebelum ini agak usang. Aku kecewa kerana budak-budak itu tiada di surau sekarang, tetapi ini bukan salah mereka, aku yang bersalah meninggalkan mereka. Aku cuba menghilangkan duka di dalam surau dengan cuba untuk melelapkan mata sebentar. Perjalanan yang hampa memang memenatkan.
Tiba-tiba aku terdengar bunyi tapak kaki melangkah, laju.
Makin lama makin banyak dan kuat.
Aku membuka mata dan menuju ke luar surau untuk melihat siapa yang datang.
“Cikgu!”
Aku terkesima. Mereka semua sedang berada di hadapanku.
“Lamanya cikgu tak datang!” salah seorang daripada mereka berkata.
“Iya...mana tau cikgu ada di sini sekarang?” aku bertanya.
“Kami nampak cikgu dari jauh dari rumah.” kata Rahmat.
Untuk seketika aku berasa amat bersyukur. Mereka masih lagi mengingatiku walau sudah lama aku meninggalkan mereka. Sangat terharu.
“Dulu kami ada tunggu cikgu, tapi cikgu ndak datang-datang.” mereka memberitahu.
“Iya? Sori la cikgu ada banyak hal...” aku cuba menjawab sebaik mungkin.
“Blaja ka hari ni cikgu?” Rahmat bertanya pula.
“Mau?” aku membalas.
“Mau!” mereka semua menjawab.
“Sebab apa mau?”
“Kami mau belajar, cikgu!”
Aku tidak mampu membalas. Hanya senyuman terharu dapat aku tunjukkan. Mereka semua girang, girang untuk belajar, menimba ilmu.
Terima kasih semua wahai anak muridku
Maafkan cikgu selama ini menginggalkan kamu
Kamu benih kecil yang terbaik di bumi bayu
Kelak insyaallah menjadi pohon besar berbuah lebat
Memberi manfaat kepada semua masyarakat
Salam... Tears drop...
ReplyDeleteApa masih boleh istiqamah??(InsyaALLah)
Ana paling khuatir tentang keadaan mereka tambahan lagi mereka menginjak remaja. Pelbagai cabaran lagi yang perlu mereka hadapi.. Banyak yang perlu diajar kepada mereka. Yang paling pentng fahamkan mereka tentang asas Islam. Walaupun nampak kecil bagi sesetengah pihak, tapi bagi daie ini perkara besar.
salam akhie. teruskan mendidik mereka akhie.
ReplyDeletemereka cintakan ilmu.
terus terang ana katakan, ana menangis, sebak membaca kisah ini.
ana berharap agar ana juga punya kesempatan utk ke kpg lokup mendidik mereka kelak.
moga kita dipertemukan akhie, isnya Allah.
benar kata TheNextSyahid itu akhie. Asas2 agama ini pntg bg mereka.
ReplyDeleteTeruskan akhie. ana sanggup demi Allah dan demi agama ini utk turun ke sabah bersama akhie kita mendidik mereka, insya Allah
salam dik,
ReplyDeleteterharu nye akak baca crite afiq ni
teruskan mendidik mereka afiq
siapa tahu, anak didik afiq bakal jadi pemimpin satu hari nanti...
wasalam
ReplyDeleteterima kasih semua atas sokongan yang diberikan
Bagusnya... Sungguh saya terharu...
ReplyDeleteKalau saya diizinkan Allah untuk ke Sabah dalam ms enam tahun..InsyaAllah saya akan pergi...untuk melihat adik2 Kg Lokub......HArap Syai'in jadi budak baik..
Owh ya... Ramai2la turun Sabah..Banyak kerja untuk antum dalam dakwah di bumi Sabah.. Ramai ikhwah wa akhawat yang mengalu-alukan kedatangan anda sekalian..
ReplyDeletesubhanallah..ubhanallah..subhanallah..
ReplyDeletepengalamn itu sungguh berharga..
anak2 itu lebih berhrga dr seluruh isi dunia..
itu hartamu afiq!!
teruskan mendidik mereka..
betapa mengharainya mereka terhdap ilmumu..curahkanah ilmu beserta kasih syg yg sungguh2..
Allah hughoyatuna.
Salam Alayk...alhamdulillah brkesempatan jugak bae artikel ni da lame cari...syukran d ats ur effort ntuk smpikan kisah mereka sbg pedoman...semoga Allah memberi kebaikan di atas usaha yg dilakukan...Insya Allah
ReplyDelete