Friday, July 31, 2009

Baja Mujahadah



Mujahadah bermaksud "berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu". Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, nabi bersabda, "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah." Mengikut Said Hawa dalam Al-Asas fit Tafsir, "Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara." Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.

Dalam Ihya Ulumuddin Imam Al-Ghazali berkata, "Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah.... Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata, 'Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu'."

Mereka yang sanggup melawan nafsu ialah mereka yang percaya kepada akhirat serta hari pembalasan. Inilah kekuatan yang ada pada umat Islam. Kepercayaan ini menjadikan mereka golongan yang sanggup mengetepikan keseronokan sementara demi mencapai matlamat jangka panjang yang kekal abadi. Denis Waitley dalam Empires of the Mind berkata, "Saya berpendapat, salah satu punca utama yang menyebabkan Amerika bermasalah besar pada hari ini ialah, rakyatnya begitu asyik dan ghairah dengan keseronokan jangka pendek dan melupakan kepentingan jangka panjang." Mereka yang bermujahadah sebenarnya merupakan golongan yang mementingkan kepentingan jangka panjang. Antara perkara yang merangsang mereka untuk mengutamakan kebahagiaan masa depan ialah firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud, "Aku (Allah) telah sediakan bagi hambaKu yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia."


Mujahadah adalah jambatan kepada takwa. Dalam Al-Asas fit Tafsir, Said Hawa berkata, "Takwa adalah hasil daripada hidayah dan hidayah adalah hasil daripada mujahadah. Justeru mujahadah melawan hawa nafsu adalah titik permulaan kepada takwa. Antara amalan yang membantu usaha untuk melawan hawa nafsu ialah bacaan Al-Quran, solat dan zikir. Nabi ketika disoal tentang jalan untuk mencapai syurga telah menjawab, 'Bantulah dirimu dengan banyak bersujud'. Banyak bersujud bermaksud banyak bersolat dan banyak bersolat bermaksud banyak berzikir dan membaca Al-Quran."

Mereka yang bermujahadah akan mendapat beberapa anugerah istimewa daripada Allah berdasarkan firmanNya dalam surah Al-Ankabut ayat 69, "Mereka yang bermujahadah (yakni berjuang secara bersungguh-sungguh) pada jalan Kami akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami." Berhubung dengan ayat ini Imam Ad-Darani berkata, "Mereka yang bermujahadah berdasarkan ilmu yang diketahui, mereka akan ditunjukkan Allah tentang perkara yang belum diketahui." Fudail Iyad berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk mencari ilmu, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan untuk beramal." Junaid Al-Baghdadi pula berkata, "Mereka yang bermujahadah dengan bertaubat, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan keikhlasan." Sahabat Abdullah ibn Abbas pula berkata, "Mereka yang bermujahadah untuk melakukan ketaatan, Allah akan tunjukkan kepada mereka jalan pahala dan ganjaran."

*terima kasih kepada Jilal Quran untuk perkongsian artikel ini

Wednesday, July 29, 2009

ALTERNATIF & Si Buta Cinta



Saya sedang belajar menulis novel. Untuk itu, saya telah merangka dua buah cerita yang berlainan genre untuk ditulis. Masalahnya, masa saya amat terhad, hampir mustahil untuk saya menyiapkan kedua-duanya serentak. ALTERNATIF pernah saya sebut-sebutkan dahulu di dalam blog ini, namun sehingga sekarang saya masih belum berjaya menyiapkannya, hatta satu episod. Sekarang muncul pula idea untuk cerita lain, entahlah. Saya tidak tahu mana hendak mula dulu...antara dua genre ini, mana yang lebih diminati?



Friday, July 24, 2009

Di Sebalik Musibah Sakit



Dalam beberapa hari ini, wabak demam (tidak pasti penyakit apa) menular di kalangan kami, saya dan rakan-rakan.

Demam panas, batuk dan cirit-birit merupakan petandanya. Alhamdulillah, saya kian sembuh, hanya batuk-batuk dan sakit kepala sedikit. Tetapi, makin ramai pula yang menghidapinya. Di surau, di hadapan tabir berbatuk-batuk, di belakang tabir menyahut berbatuk-batuk. Bahaya juga penyakit berjangkit. Nasib baik bukan H1N1.

Kepada sahabat sahabiah yang masih demam, ataupun menghidap apa-apa penyakit sekarang, bersabarlah. Bak kata ayat seorang akak ni, "He is always with us!"

Sakit Sebagai Kifarah Dosa

Terdapat banyak hadith yang menerangkan bahawa kesakitan (ujian) dapat memadamkan kejahatan dan menghapuskan dosa.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Untuk setiap musibah, penyakit, keresahan, kesedihan, atau kesakitan yang menimpa seorang Muslim, hatta luka yang disebabkan tertusuk duri, Allah akan menghapuskan dosa-dosanya."

Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, Dia akan mengujinya dengan kesulitan."

Suhaib bin Sinan r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Betapa ajaibnya seorang Mukmin! Kebaikan itu sentiasa bersamanya, tetapi ianya tidak berlaku pada orang lain kecuali kepada seorang Mukmin. Apabila ia mendapat kebaikan, ia bersyukur kepada Allah dan memperoleh ganjaran, dan apabila ia ditimpa musibah, ia menahannya dengan penuh sabar lalu ia (juga) akan memperoleh ganjarannya.

Hakikat Demam

Sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Omar mengatakan yang maksudnya :

“Demam berasal dari kepanasan api neraka yang mendidih, maka padamkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a dari Rasulullah s.a.w, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Demam adalah dari panas api neraka yang mendidih, dari itu dinginkanlah ia dengan air”. (Hadith riwayat Muslim)

Dalam kitab Umdah Al-Qari menyebutkan bahawa panas yang lahir dari tubuh orang yang demam itu adalah secebis daripada kepanasan api neraka. Allah telah menzahirkannya pada diri orang yang demam itu dengan sebab-sebab yang tertentu agar dia mengambil iktibar daripadanya, sebagaimana Allah telah menzahirkan berbagai jenis kegembiraan dan kenikmatan yang berasal dari nikmat-nikmat syurga untuk menjadi pengajaran dan petunjuk baginya.

Sebahagian ulama berpendapat bahawa apa yang dimaksudkan dengan kepanasan api neraka di sini ialah satu perumpamaan antara panas orang yang demam dengan panas api neraka sebagai peringatan kepada diri manusia betapa panasnya api neraka.

Namun pendapat ini disanggah oleh Ath-Thayyibi dengan mengatakan bahawa ia tidak sesuai untuk dijadikan sebagai perumpamaan, bahkan demam itu memang lahir atau berasal dari kepanasan api neraka sedari mula atau sebahagian dari hembusan api neraka.

Adapun maksud “mendinginkannya dengan air” itu menurut Ibnu Al-Ambari ialah bersedekah dengan air, kerana ada riwayat mengatakan bahawa sedekah yang paling afdhal itu ialah memberi minum air.


Kisah Nabi Ayub Sebagai Iktibar

Dalam al-Quran diceritakan tentang kisah kesabaran Nabi Ayub a.s dalam menempuh penderitaan penyakitnya, penyakit gatal yang dahsyat,sehingga kulitnya koyak dan bernanah-nanah sehingga tiada siapa yang berani mendekatinya, kecuali isterinya. Nabi Ayub tidak pernah mengeluh dengan penyakitnya itu, bahkan dia sentiasa sabar dan tahan menderita. Nabi Ayub hanya bermohon kepada Allah agar mengasihaninya.

"Dan Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku disentuh (ditimpa) penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani." (al-Anbiya:83)

Sabarlah wahai sahabat sekalian, sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih baik daripada yang telah disediakan bagi mereka yang menahan musibah dengan penuh sabar. Syafakumullah

Tuesday, July 21, 2009

Angkasawan Pertama: Realiti Atau Fantasi?


Dari Ibnu Abbas bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:

"Setelah aku melakukan Israk, aku berada di Makkah dengan keadaan khuatir dengan masalahku. Aku tahu orang-orang Makkah akan mendustakan (kejadian yang menimpaku tadi malam). Aku pun duduk sendirian dalam keadaan sedih."

Tiba-tiba Abu Jahal datang menghampiri beliau sehingga duduk di samping beliau. Lalu Abu Jahal bertanya dengan nada mengejek, "Ada apa denganmu, ada hal baru?"

Rasulullah menjawab, "Ada."

"Apakah ianya?" Abu Jahal bertanya.

"Aku Israk malam tadi dan Mikraj." jawab Rasulullah.

"Ke mana?" tanya Abu Jahal lagi.

""Ke Baitul Maqdis."

"Kemudian itulah yang membuat kamu berada di hadapanku?" tanya Abu Jahal.

"Benar." jawab Rasulullah.

Pada ketika itu baginda tidak melihat bahawa Abu Jahal mendustakan ceritanya. Lalu Abu Jahal bertanya, "Bagaimana pendapatmu jika aku kumpulkan kaummu, apakah engkau mahu menceritakan seperti apa yang engkau ceritakan kepadaku?"

Rasulullah menjawab, "Ya, mahu."

Lantas Abu Jahal berteriak, "Wahai sekalian Bani Ka'ab bin Luai, berkumpullah kamu semua!"

Orang ramai pun berdatangan dan berkumpul mengelilingi Rasulullah dan Abu Jahal. Abu Jahal lalu berkata, "Ceritakanlah kepada kaummu seperti mana yang engkau ceritakan kepadaku!"

Rasulullah s.a.w pun berkata, "Sesungguhnya malam tadi aku di-isra'kan."

"Ke mana?" tanya orang-orang yang mendengarnya.

"Ke Baitul Maqdis." Jawab baginda.

"Lantas, inilah yang membuatkan kamu mengumpulkan kami di hadapanmu?" orang-orang itu bertanya lagi.

"Benar." jawab Rasulullah.

Di antara orang-orang yang hadir ada yang bertepuk tangan, dan ada yang meletakkan tangan di atas kepala kerana merasa kagum.

"Bolehkah anda menggambarkan masjid itu kepada kami?" mereka bertanya. Sementara ada di kalangan orang-orang yang berada di situ sudah pernah pergi ke negeri tersebut dan melihat masjid yang diperkatakan.

Rasulullah pun menjawab, menggambarkannya dan terus menggambarkannya masjid itu sehingga baginda berasa ragu menggambarkan sebahagian daripadanya, lalu masjid itu diperlihatkan kepada baginda sehingga baginda dapat melihatnya dengan jelas.

Abu Auf berkata, "Orang-orang itu pun akhirnya mengatakan, Demi Allah gambaran masjid itu benar!"

*dipetik daripada hadis berkaitan Israk Mikraj yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Isra':1)

Sunday, July 19, 2009

WANTED - The Arrivals



Pada cuti semester yang lepas, seorang pengunjung blog saya telah menulis sesuatu di shoutbox blog. Beliau menggunakan nama samaran ainul mardhiah dan mencadangkan saya supaya menonton dan mengulas mengenai sebuah filem (dokumentari?) yang bertajuk The Arrivals.

Saya telah cuba mencari video tersebut di internet dan saya menjumpainya di YouTube. Oleh kerana video itu dipotong-potong di dalam YouTube sebanyak lebih kurang 50 episod, maka saya menangguhkan hajat untuk menontonnya (tak mahu muat turun) dan memberitahu si ainul mardhiah supaya memberi video itu kepada saya pada semester ini, memandangkan beliau sendiri mengatakan bahawa beliau ada kesemua video The Arrivals tersebut. Beliau bersetuju.

Tetapi malangnya hingga kini saya tidak menerima apa-apa respon daripada beliau.

Maaf, saya tidak mengenali diri beliau, maka saya hanya boleh menunggu. Maaf, saya juga tidak tahu bagaimana hendak menghubungi beliau, maka saya hanya mampu menulis pengumuman ini di blog saya, mudah-mudahan beliau membaca post saya kali ini dan memberi respon. Mungkin beliau terlupa atau terlalu sibuk...

Berdasarkan melalui pencarian dan pembacaan saya di internet, apa yang saya ketahui The Arrivals adalah sebuah filem (dokumentari?) yang mendedahkan mukjizat agama-agama besar dunia seperti kedatangan Dajal, Imam Mahdi, kelahiran Jesus kedua dan sebagainya. Hasil karya HashemFilms dan diambil terus melalui isi-isi yang terkandung di dalam Quran, Bible, Torah (Taurat) dan seumpamanya.

Hmm....

Isu yang menarik, malah mendalam. Saya sendiri tertanya-tanya apakah saya boleh memahami segala isi-isi yang mungkin ada dalam video tersebut. Serba sedikit saya teruja.



Sementara masih lagi di awal semester, dan sementara saya masih sempat untuk menonton sebarang satu dua video, adalah amat saya harapkan supaya beliau (ainul mardhiah) memberi salinan video tersebut kepada saya, atau sesiapa sahaja, jika tidak keberatan. Saya tidak kisah siapa, yang penting ilmu dan manfaat yang diperoleh melalui perkongsian ini, insyaallah.

"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." (ar-Rum: 30)

*beliau (ainul mardhiah) atau sesiapa sahaja yang mempunyai video The Arrivals bolehlah menghubungi 013-8855974 (mesej sahaja) atau qriuz0@yahoo.com

Monday, July 13, 2009

"KENAPA KAU PUKUL DIA!!"


Petang itu, sepertimana petang-petang Ahad yang lain, saya ke Kampung Lokub, mengajar. Cuaca yang cukup baik, suasana yang cukup damai, dan anak-anak yang ramai datang pada petang itu seolah-olah menjanjikan petang yang aman, sungguh.

Seperti kebiasaannya, budak-budak itu semua dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil yang diajar oleh cikgu masing-masing. Saya sengaja tidak mahu mengambil sebahagian daripada budak-budak itu untuk diajar, al-maklumlah ada dua orang cikgu baru pada hari itu, Cikgu Erney dan kawannya Cikgu Afnie. Biar mereka berdua tahu susah senang hendak mengajar budak-budak kampung ini, terutamanya budak lelaki.

Saya hanya duduk di sudut dan memerhatikan mereka semua, belajar dan diajar.

Sambil di tangan saya memegang erat rotan yang panjang.

Dengan tidak semena, sedang saya duduk memerhatikan mereka semua, muncul sesusuk tubuh berdiri di hadapan beranda surau, seorang tua yang sememangnya dikenali oleh penduduk kampung tersebut, termasuk saya sendiri yang sudah lebih dua tahun mengajar di situ, ketua kampung.

Dengan wajah yang bengis seperti selalu, ketua kampung itu memandang saya.

"Apa yang kau buat tadi?" ketua kampung itu bertanya kepada saya.

Saya terpaku seketika, mencari-cari sebab apa dan kenapa dia bertanya sedemikian.

"Kenapa kau pukul dia!?" suaranya keras.

Oh, itu rupa-rupanya maksud dia.

"Sebab dia bising, tak mahu belajar!" saya menjawab.

"KENAPA KAU PUKUL DIA!!" suaranya semakin tinggi.Jelas, dia sedang memarahi saya.

"Dia bising! Dia tak dengar kata! Dia mengganggu orang lain belajar!" kali ini saya berdiri di hadapannya, dan hampir meninggikan suara.

"SIAPA KAU MAHU PUKUL DIA!? DIA BUKAN ANAK KAU!!"

Suasana menjadi sunyi tetapi tegang. Cikgu-cikgu dan budak-budak kesemuanya senyap memerhatikan kami.

"DIA BUKAN ANAK KAU, MANA BOLEH KAU PUKUL DIA! SENANG-SENANG SAJA KAU MAHU PUKUL ANAK ORANG! AKU TAK PANGGIL KAU PUN DATANG KE SINI! HUH, DATANG SINI PUKUL-PUKUL BUDAK! SAMPAI BERBEKAS PULA, AKU SENDIRI PUN TAK PERNAH PUKUL BUDAK!"

"SUDAH, PERGI BALIK! JANGAN DATANG SINI LAGI! TAK GUNA BETUL...MACAM SYAITAN!!"

Saya hanya mampu diam mengetap gigi, sambil memandang tepat ke dalam matanya. Lalu ketua kampung tersebut berlalu meninggalkan kami semua di situ diam terpaku.

Dan rotan panjang itu masih tergenggam kemas di tangan saya.

Segalanya kerana insiden yang berlaku kurang dari seminit pada awal waktu mengajar tadi. Salah seorang budak lelaki bising dan bermain-main malah mengganggu budak-budak yang lain sedang belajar, terlalu tidak boleh dikawal malah sudah disuruh duduk dan diam. Hanya dengan satu ayunan pukulan rotan yang ringkas singgah di belakang badannya, barulah dia turut mendengar kata. Pukulan rotan yang ringkas, tidak berbunyi, dan mustahil berbekas. Dan budak itu kemudiannya lari pulang meninggalkan kami di situ.

Adakah hanya kerana itu saya diherdik dan dimarahi? Malah dihalau?

"...Jom!" saya berkata perlahan kepada Azizul (cikgu) yang datang menaiki motor bersama saya, supaya pulang. Saya mengambil topi keledar di sebelah saya.

"Cikgu! Mau balik suda?" salah seorang daripada budak-budak itu bersuara, manakala yang lain kedengaran seperti berbisik-bisik.

Saya hanya mengangguk.

"Dengar! Lain kali, jangan buat cikgu marah, dengar kata cikgu. Cikgu pun tak mahu marah kamu. Kamu semua ni yang kadang-kadang degil dan nakal sangat, cikgu terpaksa pukul. Cikgu pukul pun...sebab cikgu...bukan marah...tapi..." kata-kata terakhir itu tersekat di hujung kerongkong saya, sebelum saya melangkah keluar dari surau itu. Ya, cikgu pukul bukan sebab benci atau marahkan kamu, tapi sebab cikgu sayang kamu semua, sayang sangat sangat.

"Cikgu!!"

Budak-budak itu semuanya berlari ke arah saya, berebut-rebut hendak bersalam dan mencium tangan saya. Saya hanya mampu menahan sebak, mata berkaca-kaca.

Saya tidak berasa sedih kerana dimarah, ditengking, dihina, dan dicerca, tetapi apa yang amat menyedihkan saya adalah saya dihalau, dihalau dari datang ke situ lagi sepenuhnya, ke Kampung Lokub, setelah lebih 2 tahun mengajar di situ.

"Cikgu! Kau datang lagi minggu depan?" budak-budak itu bertanya.

Saya hanya membalas dengan senyuman sambil menahan-nahan air mata mengalir keluar. Jawapan itu bukan pada cikgu, tapi pada kamu, kamu yang tentukan, anak didik cikgu.

Mereka semua melambai-lambai dari dalam sambil diperhati oleh cikgu-cikgu yang lain, dan saya pula melangkah pulang meninggalkan tempat itu, mungkin untuk selama-lamanya.

Saturday, July 11, 2009

Ippen Shinde Miru?


Pada suatu hari, diceritakan bahawa sebuah bas sesak dipenuhi penumpang. Pemandu bas itu selalu menoleh ke kiri dan ke kanan, dan secara tiba-tiba pemandu bas itu menghentikan bas tersebut. Para penumpang pun bertanya, "Kenapa berhenti?". Pemandu itu menjawab, "Saya berhenti untuk menghampiri orang tua yang melambai-lambaikan tangannya hendak menaiki bas ini."

Para penumpang berasa hairan dan bertanya-tanya sesama mereka, "Kami tidak melihat sesiapa pun!" Tetapi pemandu bas itu melihatnya, "Lihat, itu dia!" sambil menundingkan jarinya.

Pemandu itu kemudiannya berkata, "Sekarang orang tua ini datang menaiki bas ini dengan kita". Semua penumpang di dalam bas itu berkata, "Demi Allah, kami tidak melihat siapa-siapa pun yang naik ke dalam bas ini."

Dan secara tiba-tiba, pemandu bas itu mati terduduk di tempat duduknya.

Maka, apabila telah datang waktunya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak (pula) dapat memajukannya. (al-A'raf: 34)

Sakitnya Mati


Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangan-Nya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah.

Pada suatu hari malaikat maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa Nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga.

Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah. Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: "Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?" Jawab Nabi Idris: "Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya." Kata malaikat maut: "Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun."

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata: "Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu." Kata Nabi Isa as: "Cubalah kamu pilihkan?" Mereka berkata: Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh)." Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: "Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat. berkata Nabi Isa as: "Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?" Kata Sam: "Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut."

*kisah-kisah ini tidak mempunyai kesahihan yang kuat, namun ibrah (pengajaran) dalam kisah ini adalah jelas, bahawa kematian itu amatlah menyakitkan

Ingati Mati Menenangkan Jiwa



Syeikh Said Hawwa Rahimahullah di dalam bukunya "al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" telah menyenaraikan bahawa mengingati mati sebagai salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah Taala. Oleh kerana itu Nabi Muhammad saw apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: (Orang yang bijak) ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.

Menurut al Imamul Ghazali rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan di dalam berhadapan dengan mati: Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu langsung ingatkan mati. Kalau ingat pun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama. Atau terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anaknya nanti.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri dengan Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat, manakala ingat mati menjadi benteng memelihara kerja keduniaan mereka supaya tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Diriwayatkan bahawa seorang alim iaitu Ibnu Mutie, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Berkata pula Kaab r.a: “ Barangsiapa mengerti tentang dahsyatnya kematian, maka ringan baginya semua musibah dan kesulitan hidup di dunia yang fana ini”. Imam Syaddad rahimahullah pernah berkata: “Kematian adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak di dalam kawah menggelegak. Andai kata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”.

"Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya uantuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat." (riwayat Ibnu Majah)

Maka, sebelum terlambat, marilah kita sama-sama bermuhasabah. Adakah dalam keadaan kita seperti ini, kita sudah bersedia untuk pergi ke alam itu, alam yang kekal abadi. Adakah bekalan iman dan amal kita sudah cukup, atau masih kosong? Ingatlah, hidup mati itu bukan pilihan, ianya kepastian.


"Ippen shinde miru?"

Thursday, July 09, 2009

Cintaku Hanya Milik Mu


Bukan mudah Ya ALLAH…
Berdiri di tangga kemewahan, kenikmatan dan kesenangan
Keindahan dunia ini menganggu ku
Kemanisan hubbu dunya ini mencarik-carik imanku
Dimanakah aku tanpa kecintaan padaMU

Aku runsing Ya ALLAH
Aku berlari ke sana dan ke sini
Aku mencari dan terus mencari
Dimanakah ku tagih cinta Ilahi
Bagaimana harus ku bayar nikmat yang Kau beri
Sedang aku tidak diuji
Maka saat aku tidak diuji, adalah ujian yang terbesar sekali
Andai bisa aku berbicara denganMU
Dan ku harap Kau mendengar pengaduanku
Sungguh aku bukan bercakap kosong
Inilah keluhan hatiku
Yang merindu cinta MU, yang mengharap keredhaan MU….

Ampuni aku Ya ALLAH
Aku lemah lagi tak bermaya
Melawan sesuatu yang digelar fana dunia
Aku tak mampu Ya ALLAH,
Belenggu ini menghimpit ku…
Belenggu ini menghiburkan hatiku
Sehingga aku senang denganya
Sehingga aku takut kehilanganya
Sedang cintaMU itu sangat luar biasa…
Sedang cintaMU itu lebih dari segala-galanya…

Sungguh aku tak layak Ya ALLAH menghampiri syurgaMU
Dan pasti menggeletarlah seluruh tubuhku mendengarkan api nerakaMU
Lalu ke manakah langkahku
Selayaknya dimanakah tempatku
Atas redhaMU ya Rabbi..
aku hanya menuruti
Andai aku diseksa, kan aku patuhi
Asalkan Kau meredhai hidupku ini

Terima Kasih Ya ALLAH kerana sudi menyayangi diri ini
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering mendengar pengharapan serta pengaduanku
Terima Kasih Ya ALLAH kerana sering bersama-sama denganku,
tak kira apa keadaan imanku
Sesungguhnya Ya ALLAH,
cinta ku hanya milikMU…

Monday, July 06, 2009

"Cikgu, iman itu ada tiga!"



"Iman ada...tiga? Rukun iman ke?"

"Na...bukan...rukun iman ada enam, cikgu...tapi iman ada tiga!"

"Ha, apa dia?"

"Iman hati, iman lidah, iman tangan!"

"Hehe. Betul tu, tapi tak tepat. Cuba dengar baik-baik maksud iman yang cikgu cakap ni. Iman maksudnya percaya bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dengan membenarkannya dalam hati, mengatakannya dengan lidah, dan mengamalkannya dengan anggota badan seperti tangan dan lain-lain."

"Ooooo...."

"Faham?"

"Faham suda cikgu!"

Belajarlah dari kesilapan, kerana kesilapan itu adalah kebenaran. Belajarlah dari kesilapan orang lain, kerana kita tidak mungkin sempat untuk melakukan kesemua kesilapan itu.


"Ok, ikut cikgu sebut, alhamdulillah."

"Hamdulila!"

"Dengar betul-betul, AL-HAM-DU-LIL-LAH."

"...hamhamdulilla!"

"AL....HAM...!"

"HAM-HAM!"

"Tengok mulut cikgu, AL...HAM...DU...LIL...LAH..."

"Hamhamdulilla!"

Ilmu itu tidak hadir dari satu mulut ke satu mulut, tetapi ilmu itu hadir dari minda yang tidak jemu-jemu memikirkannya, lidah yang tidak putus-putus memanggilnya, dan tubuh yang tidak penat-penat mencarinya.

Thursday, July 02, 2009

Nota Hati Seorang Lelaki


Buku ini meluahkan isi hati seorang lelaki yang sangat wajar dibaca oleh mereka yang bergelar isteri, adik, anak, pelajar dan ibubapa kepada mereka yang bergelar LELAKI. Ia menyelami perasaan dan jiwa seorang lelaki menurut perspektif rumah tangga, pendidikan, moral, ekonomi, politik dan lain-lain “gelanggang” juang mereka. Ia ditampilkan dalam bentuk yang sangat santai tetapi mengandungi maksud yang sangat mendalam. Di sebalik setiap kisah ada mesej penting yang sangat relevan dan signifikan.

Penulis : Pahrol Mohd Juoi
Kod Katalog : TBBK 1112
Kod ISBN : 978-967-5102-48-6
Harga : Semenanjung M'sia - RM20.00
: Sabah / S'wak: RM22.00

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"