Kitab ini memaparkan kisah sebenar dari sirah perjalanan hidup Rasulullah yang ditulis oleh Syeikh Safiy al-Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar al-Mubarakfuri al-A’zhamiy. Beliau adalah tenaga pengajar di Universiti Salafiyah, Banaras, India. Beliau dilahirkan pada tahun 1943 dikampung Husain Abad dalam daerah Mubarakfur.
Kelebihan Kitab al-Raheeq al-Makhtum
Buku ini merupakan sebuah buku yang tersenarai dalam pertandingan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah pada tahun 1976. Pertandingan ini diumumkan selepas berlangsungnya Muktamar Sirah al-Nabawiyyah di Pakistan pada tahun itu juga.Beliau begitu berhasrat untuk meninjau perjalanan hidup Rasulullah sebagai contoh realiti umat dan sangat bererti dalam usaha setiap mereka dalam mengambil iktibar.
Kisah hidup Rasulullah ini jugalah yang menjadi sumber kehidupan dunia Islam dan kebahagiaan manusia seluruhnya. Selepas pertandingan tersebut, beliau dinobatkan sebagai johan mengatasi 171 calon lain yang turut menyertai pertandingan tersebut dari pelbagai negara dan etnik dunia Islam. Beliau yang menulis kisah ini bukanlah bertujuan untuk memenangi pertandingan tersebut, tetapi hanya untuk mengetengahkan kebenaran isinya sebagai pengajaran dan pembetulan kepada generasi kini dalam menerima sirah Rasulullah dalam kehidupan mereka.
Perincian kisah ini berlandaskan fakta sebenar yang diadaptasikan melalui hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh para muhaddisin serta buku-buku sejarah yang dikira tepat dari nukilan faktanya. Kandungannya menggabungkan perbincangan tentang aspek pensejarahan yang meliputi sejarah orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sebagai laluan untuk menjustifikasikan mengapa perlunya Allah mengutuskan Rasulullah di bumi Arab.
Buku ini juga memaparkan liku-liku perjuangan dakwah Rasulullah, strategi dan uslub dakwah yang dikemukakan melalui tiga peringkat dakwah iaitu peringkat permulaan, peringkat tribulasi dan peringkat kejayaan. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada para pelajar, pendidik, pendakwah dan masyarakat pelbagai lapisan untuk mengetahui dengan lebih mendalam perjuangan Rasulullah dalam usaha menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Muat turun kitab ar-Raheeq al-Makhtum:
Bahasa Melayu (mediafire)
Bahasa Inggeris (mediafire)
*petikan artikel adalah daripada blog mohdfikri.com