Thursday, April 16, 2009

Kami Mau Blaja Lagi, Cikgu!

*rujuk Kami Mau Blaja, Cikgu! dan Selamat Tinggal Anak Didikku sebelum membaca kisah ini.

Tika fajar masih berselimut malam, dan manusia lainnya masih asyik dibuai mimpi, aku terjaga. Hari itu aku terjaga awal berbanding kebiasaannya. Azan subuh hanya akan kedengaran satu jam lagi, tetapi aku tidak mengerti mengapa diri ini tidak bisa untuk berehat dan bertenang. Sekejap aku mengiringkan badan ke kiri, sekejap ke kanan, namun masih tidak menyenangkan. Lantas aku bangun, keluar membasahkan diri dengan wudhu’ dan kemudiannya melakukan solat tahajud. Diriku memohon agar ditenangkan jiwa ditabahkan hati pada hari itu. Ya, dengan kuasa-Mu ya rabbi, hanya dengan mengingati-Mu jiwa menjadi tenang.

Hari itu hari yang menyedihkan.

Hinggalah matahari memanggil siang, aku berteleku di dalam bilik sahaja. Selepas subuh, aku cuba melelapkan mata kembali, namun tidak berjaya. Makin dipejam makin resah pula jadinya. Inisiatif, buku-buku yang ada di meja tulis ku tatapi. Buku Kisah Cinta Dalam al-Quran cuba ku khatamkan pagi itu. Tetapi setiap selakan mukasurat adalah sia-sia. Aku tidak dapat menghayati apa yang aku baca ketika itu. Jauh hatiku tidak berada bersama membaca sekali.

Pagi itu aku pergi ke bandar Kota Kinabalu bersama Abang Hairul. Aku bercadang hendak membeli hadiah sempena pemergian mereka, anak-anak Kampung Lokub. Kami pergi ke serata tempat untuk mencari buku aktiviti menulis jawi atau arab. Kami pergi dari satu kedai ke satu kedai, hampa. Kehendak buku di hati masih berbeza dengan buku di tangan. Hinggalah akhirnya kami singgah di satu kedai buku, dan alhamdulillah hati saya rasa berkenan dengan buku-buku yang dijual. Banyak pilihan, tetapi dek kesuntukan masa kami tidak berfikir panjang, 30 buah buku latihan jawi dan arab kami beli tunai.

Pagi yang cerah tidak menjanjikan petang yang cerah. Hujan lebat menutupi perjalanan kami ke Kampung Lokub. Jam sudah menunjukkan pukul dua petang, kami hanya menunggu saja memandangkan tiada gunanya untuk kami meredah hujan lebat dengan menaiki motorsikal. Langit nampak begitu kelam. Tiada langsung cahaya yang menerobos di celah gumpalan awanan hitam di langit. Aku jangka pasti hujan lebat itu panjang.

Hanya selepas lebih setengah jam kemudian, barulah hujan mulai reda. Tanpa banyak berlengah, enjin motor dihidupkan, dan terus kami bergerak menuju ke Kampung Lokub. Dan setibanya kami di sana, kereta Viva berwarna putih sudah terparkir di tepi jalan. Cikgu-cikgu yang lain sudah sampai ke situ terlebih dahulu. Untuk hari itu, mereka cikgu-cikgu telah membeli makanan dan minuman untuk diadakan jamuan bersama budak-budak itu.

Haziq, Hanafi, Nadrah, Arina dan Zulaikha, adalah antara tenaga pengajar yang hadir pada hari itu selain aku dan Abang Hairul. Mereka telah memulakan ‘kelas’ terlebih dahulu bersama budak-budak sebelum kedatangan aku. Budak-budak itu disajikan dengan tayangan video dari komputer riba. Tidak pasti video apa tetapi budak-budak tersebut begitu khusyuk menontonnya. Sekali-sekala mereka tertawa.

Aku memerhatikan mereka semua. Ada beberapa orang daripada mereka yang tidak hadir. Tidak ramai anak-anak kampung ini yang kecil-kecil dalam lingkungan 5 tahun hadir, tiga orang sahaja. Manakala yang besar-besar hampir kesemuanya hadir.


“Manisa! Sini!” aku memanggil Manisa yang dihimpit oleh budak-budak lain di hadapan komputer riba tersebut.

“Ya, cikgu.” Manisa menjawab.

Manisa menuju ke arahku keluar dari gerombolan budak-budak yang lain. Tetapi memanggil Manisa, ianya juga bererti memanggil rakan-rakannya. Yang lain juga mengekor bersama.

“Eh, cikgu panggil Manisa saja, yang lain kenapa datang sekali?” aku berkata.

“He he...” mereka semua hanya tersenyum.

“Ha, apa yang ko cakap dekat Cikgu Nisa’ hari Khamis lepas?” aku mula bertanya.

“...apa dia?” mata Manisa membulat. Dia cuba berdalih. Mungkin dia fikir aku ingin memarahinya?

“Eh, cikgu bukan marah. Cikgu tanya ja pa yang kamu bagitau dengan Cikgu Nisa’ hari tu?”

“Ooo...itu...” Manisa mula menangkap apa yang aku ingin katakan.

“Kami cakap...rumah kami nanti kena roboh. Kami kena keluar dua minggu ja lagi. Lepas tu, hari ni hari akhir kami belajar dengan cikgu...” Manisa menerang.

“Em... dah tau nak ke mana nanti?” aku bertanya lagi.

“Aku nanti ke Labuan.” Manisa menjawab.

“Aku pigi rumah sedara di Sandakan.” Samira pula mencelah.

“Aku...mama’ku (emakku) kata tinggal dalam hutan saja.” Rosmawati berkata sambil tergelak. Terasa lucu dengan kata-katanya sendiri.

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata mereka. Jadi beritanya benar, bukan khabar angin. Aku redha dengan berada di sisi mereka dalam masa yang sebentar sahaja, walaupun masih banyak yang perlu diajar kepada mereka.

“Hari ni kita blaja apa, cikgu?” mereka bertanya kepadaku pula.

“Tak, hari ni tak belajar, kita makan-makan ja. Jom, panggil yang lain”

Budak-budak itu aku kumpulkan kesemua mereka di hadapanku. Sedikit perbualan aku tujukan kepada mereka semua. Kemudian, mereka semua beratur untuk jamuan. Mi goreng dan air oren adalah menu mereka pada petang itu. Seronoknya mereka semua semasa sedang makan...aku hanya memerhati telatah mereka.

Sedang budak-budak itu menikmati makanan yang disediakan. Dari jauh kelihatan kelibat seorang tua datang menuju ke surau. Badannya yang agak besar dan penampilannya yang agak kasar, dari jauh lagi aku sudah dapat mengenali susuk tubuh itu siapa. Tetapi jarak aku yang jauh dan dikelilingi oleh budak-budak itu, sukar untuk aku menuju ke luar, maka aku memanggil saja Haziq dan Hanafi.

“Haziq! Hanafi! Ketua Kampung! Bagitau! Tanya!” aku menunding jariku ke arah luar. Aku tidak berkata panjang, dan mereka memahami maksud arahanku – itu ketua kampung, beritahu kepadanya tentang jamuan yang kita adakan ini, dan tanyakan sekali kepadanya apa yang sedang berlaku di kampung itu, benarkah hendak dirobohkan. Dengan wajah yang garang dan bengis, yang sememangnya digeruni oleh budak-budak kampung itu, ketua kampung hanya memandang kami semua sebelum Haziq dan Hanafi mula berkata-kata.

Aku tidak dapat dengari apa yang Haziq dan Hanafi bicarakan. Yang pasti, suara ketua kampung itu kuat dan dapat aku dengari tetapi tidak dapat aku tangkapi bait percakapannya. Aku nampak Hanafi hanya tunduk mendengar apa yang dicakap ketua kampung, sementara Haziq mengangguk-angguk. Tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak.

Selesai berbicara, Hanafi datang menuju kepadaku. Dia ingin memperkatakan sesuatu, dan aku sudah sedia mendengar.

“Macam ni, ni apa yang aku faham la dari apa yang dia cakap tadi. Katanya, kampung ni tak jadi kena roboh...” Hanafi menerangkan.

Tak jadi roboh?

“Em...hari tu dia kata memang ada orang datang nak robohkan kampung ni, dah ada dah satu buah rumah kena tumbang, tapi, diorang tu datang tanpa izin pihak atasan dulu. Ketua kampung tu kata, Kampung Lokub ni sah, ada surat dan dokumen bertulis tentang petempatan ni dekat sini yang ketua kampung pegang. Diorang ingat petempatan haram. Ye la, memang ada antara penduduk kampung yang tinggal dekat sini orang pendatang, tapi secara keseluruhannya, kampung ini sah. Ketua kampung tu dah uruskan dah perkara ni pagi tadi.” Terang Hanafi panjang lebar.

Aku tidak tahu hendak bereaksi apa apabila mendengarnya. Hendak tersenyum tidak, hendak bermasam muka juga tidak, hanya mungkin aku terkejut mendengar perkara yang tidak sangka akan ku dengari.

Kampung Lokub tidak dirobohkan, mereka semua akan terus tinggal disini, kita semua akan mengajar mereka lagi!

“Jadi, minggu depan kita go on lagi la macam biasa?” tanyaku kepada Hanafi dan Haziq.
“Em...kita cakap saja hari ini mungkin yang terakhir. Mungkin...sebab diorang budak-budak ni tak tau lagi apa yang ketua kampung tu cakap tadi, orang kampung yang lain pun tak pasti dah tau ke tidak, sebab baru hari ni je ketua kampung tu uruskan perkara ni. Lagi pun ada yang dah berkemas nak pindah, kan? So kita cakap saja la “mungkin” yang terakhir dekat budak-budak ni.” Haziq memberi cadangan.

“Em...” balasku mudah.

Selesai sahaja budak-budak itu makan, mereka berkumpul kembali di kelilingku. Aku tersenyum melihat mereka yang kekenyangan. Hendak bergerak pun sudah tidak larat. Ada yang bermain-main dengan cawan plastik yang disediakan, ada yang mengusap-usap perut yang penuh, dan ada juga yang sudah berat matanya, kekenyangan.

“Sedap!?” aku bertanya kepada mereka semua.

“SEDAAAAAP!!” mereka membalas.

“Nak lagi!?”

“Nak!!” hanya Nasri seorang yang membalas. Kemudian mereka semua ketawakan Nasri. Memandangkan saiznya yang besar, tidak hairan dia tidak puas dengan apa yang dimakan olehnya tadi.

“Ha ha...kalau tak nak makan nak buat apa lagi sekarang!?” aku bertanya lagi.

“BLAJAAAAAR!!” jerit mereka semua.

Sukanya aku mendengar perkataan tersebut keluar dari mulut mereka semua. Hatiku riang dengan jawapan itu.

“Nak makan ke nak belajar!?” sekali lagi aku bertanya.

“BLAJAAAAAR!!” sekali lagi mereka membalas.

Jika diikutkan kehendak hati, memang saja kami mengajar budak-budak itu waktu itu. Tetapi waktu sudah kian lewat, dan memang kami cikgu-cikgu tidak bercadang untuk mengajar pada hari tersebut. Mungkin timbul sedikit kekecewaan dalam diri mereka tidak belajar pada hari itu.

Kemudiannya, aku memulakan bicara.

“Cikgu hari ni takkan mengajar kamu semua, sebab kita makan-makan saja tadi. Sekarang cikgu nak bagitau, kamu semua nanti mungkin tiada di sini sudah, tapi minggu depan, cikgu akan datang sini lagi macam biasa. Kalau kamu semua ada lagi, datang. Kalau takda langsung kamu semua minggu depan, baru cikgu takda. Boleh!?”
Anak-anak itu tidak membalas sahutanku. Mereka tidak tahu hendak berkata apa. Berkata boleh tidak, tidak boleh juga tidak. Kata-kata yang tidak pasti mereka bekukan sahaja di dalam diri.


“Cikgu ada benda nak cakap ni, pesanan cikgu, dengar baik-baik. Kalau kamu semua sudah tiada dekat sini, ingat, jangan tinggal solat. Cikgu dah ajar cara solat kan? Kalau tak buat nanti Allah marah, bila Allah dah marah, nanti masuk neraka. Kamu semua nak masuk neraka? Lagi satu, nanti kalau dah tinggal dekat tempat lain, jangan lupa belajar. Cikgu yang lain pun ada mengajar di tempat lain, tau? Belajar pandai-pandai, nanti senang hidup. Nak makan senang, nak tidur senang, nak buat apa-apa pun senang. Tapi ingat juga, yang paling penting sekali, jangan lupa tuhan kita, Allah. Allah sentiasa ada menjaga dan memerhati kita. Kalau kita buat dosa dengan dia, tak dapat hidup senang, tak dapat masuk syurga. Jangan jadi macam tu ya...”

Tetapi kata-kata itu hanyalah bisikan kecil hatiku, tidak langsung mulutku melepaskan apa yang terkandung di dalam hati. Entah mengapa. Entah mengapa berat sungguh pesanan itu untuk aku sampaikan kepada mereka.

Cikgu-cikgu lain juga tiada apa-apa untuk diperkatakan. Maka hari itu adalah hari terakhir kami bersama mereka, mungkin. Hanya minggu hadapannya sahaja yang dapat mengesahkan sama ada aku dan cikgu-cikgu yang lain akan terus mengajar di situ. Sekali lagi aku tidak dapat membuat kata putus.




Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan)-Mu, dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu. Maka, kuatkanlah ikatan pertaliannya. Ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tidak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan ma’rifat-Mu, dan matikanlah dalam syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Amin.

Kaki aku melangkah keluar dari surau tersebut, diiringi dengan kaki-kaki anak-anak itu kemudiannya. Ku pakai topi keledar sambil diperhatikan mereka. Dan kemudian meninggalkan mereka dengan lambaian yang tidak pasti sama ada itulah lambaian yang terakhir atau tidak.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Lima hari kemudian, sedang aku duduk di dalam bilik, telefonku berbunyi. Satu mesej masuk.

- Salam, maaf nak bagitau, alhamdulillah kg lokub tak jadi dirobohkan..jadi muslimin boleh pi ngaja tak petang sabtu ni?-

Mestilah! Diorang mau blaja lagi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

8 comments:

  1. nk taw x...kisah ngaja d kg loqub ni mcm episod drama...
    sy namakan ia
    "Drama Kehidupan"




    sesungguhnya Qriuz merancang & sy jga mrancang... tetapi perancangan Allah adalah yg plg rapi

    ReplyDelete
  2. hehe a'ah la
    siap jadi trilogi lagi
    ~_~

    ReplyDelete
  3. Salam..

    Sedi sgt..walaupun cuma dpt jumpa bdk2 tu skali dua, tapi rs sedi sgt sbb lepas ni xdpt nk jumpa dorg suda..

    apapun,harap mreka bjaya dunia akhirat,amin..

    ReplyDelete
  4. Hati mana yang tak luluh melihat anak2 yang haq untuk mencari ilmu akan ditarik.. Sungguh Allah Maha Penyayang..apabila Dia berkehendak kebaikan kepada hambaNya..tiada siapa yang mampu menghalang...kenapa kami yang sememangnya dilatih sebagai guru tidak peka keadaan anak2 yang perlukan kami...membaca kisah mereka betul buat kerongkong tersekat...jika diizinkan..pasti kami juga ingin hulurkan kasih kami pada mereka..

    ReplyDelete
  5. ana pun baru dapat tau dari akhawat.. gembira and berbunga-bunga pula dengar (actually baca..) Alhamdulillah.. Ana akan cuba apa yan mampu dari cney. I dunno y but i luv them soo much..

    ReplyDelete
  6. semangat belajar tu dorang... Nak tau budak2 tu kan.. masih sama dengan yg sekarang punya?? coz.. ada setengah yg kat dalam gmbr tu tak kenal... ^-^ i only remember rohan.. kunjungan kali pertama ke kg lokub tak bg hasil sangat.. x dpt ingat suma nama.. tp dorang memang nakal. kesian tngk kak nisa' melayan dorang hari tu..

    ReplyDelete
  7. oh, fiffy ada pergi hari tu? em, ada sebahagian daripada diorang yang sudah takde lagi dkt sana, dan ada yang ada lagi. kebanyakan yang besar2 dah xda. yup, biasala budak2 mmg nakal ~_~

    ReplyDelete
  8. ada.. time tu... pg dgn kak nisa', kak ina jak.. umi pun ikut.. yg muslimin azizul n abg hairul..

    hmmm... wakata~~~ pernah sekali jak pegi...
    ntah ingat ke tak lagik dorang tu.. ^-^

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"