Friday, July 02, 2010

Apa Yang Lebih Seronok Daripada Piala Dunia?


"Prriittt!" wisel dibunyikan, No. 10 menghantar bola kepada No. 9, kemudian pemain lawan mula mengasak mengambil bola daripada mereka. Masing-masing mula bergerak, yang dekat cuba mengambil bola dengan kaki mereka, yang jauh cuba mencari ruang untuk menerima bola tersebut, atau memerhati pergerakan pihak lawan agar mereka tidak mengambil ruang.

Ketika ini pengadil tidak kurang penting peranannya, berlari ke sana ke sini memerhati bola dan kaki pemain, sambil serius dan fokus. Sedetik terlamun, keputusan yang salah dibuat, rosak perlawanan.

Jurulatih pula memerhati dari tepi padang, sambil mata ligat memerhati kesemua pergerakan anak buahnya, sama ada tektiknya berkesan atau tidak, pemainnya bermain dengan baik atau tidak, dan apa kelemahan pihak lawan yang boleh dieksploitasikan olehnya.

Dari tempat duduk yang lebih jauh, para penyokong tanpa putus-putus memberi laungan kepada kumpulan kesayangan mereka. Menjerit, bertempik, meraung dan menyorak, ditambah lagi dengan tiupan vuvuzela, pukulan gendang dan drum, suasana amat membingit telinga.

Kesemuanya kerana sebiji bola yang bulat, dan tetap akan bulat walau ditendang, dibaling, dan dipegang jutaan kali.

"GOOAAALLLL!!" laungan ini disebut serentak di serata dunia apabila pemain No. 7 menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan itu. Kesemua mereka tersenyum gembira, melompat-lompat dan mengucapkan tahniah kepada No. 7, pihak lawan diam membatu, sambil mencari-cari di mana kesalahan mereka. Perlawanan diteruskan lagi, tetapi kali ini tekanan yang dirasa lebih kuat, kerana minit-minit yang seterusnya lebih merbahaya.

Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi, gerai-gerai mamak masih bercahaya dan penuh dengan pelanggan. Mata mereka tidak berkedip daripada memandang skrin televisyen yang besar itu, khuatir kalau terlepas daripada melihat aksi menarik yang hanya dalam masa beberapa saat.

Sebaliknya di tempat lain.

Masjid-masjid yang berhampiran itu sunyi sepi sekali, gelap tidak berpenghuni. Begitu juga di rumah, yang menyala adalah peti televisyen, tetapi sejadah berlipat dan al-Quran di atas rak makin berdebu.


Aduhai...
Andai kau tahu apa yang lebih penting daripada bola yang bulat itu,
Andai kau tahu apa yang lebih menyeronokkan daripada sebuah jaringan gol itu,
Andai kau tahu nikmat daripada satu per tiga malam itu,
Andai kau tahu duhai insan yang lemah dan sering terlupa...

"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik" (al-Hasyr: 19)

"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahawa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang rugi" (al-Mujadilah: 19)

"Hendaklah engkau menggunakan sebahagian waktu malam itu untuk sembahyang tahajud, sebagai sembahyang sunat untuk dirimu, mudah-mudahan Tuhan akan membangkitkan engkau dengan kedudukan yang baik" (al-Isra': 97)

"Sebaik-baik sembahyang selepas sembahyang fardu ialah sembahyang sunat malam" (HR Muslim)

Bukanlah menonton bola pada waktu pagi itu salah, tetapi adalah lebih baik untuk kita sama-sama mendirikan solat tahajud dan juga solat-solat sunat yang lain, mungkin sebelum perlawanan bermula, mungkin semasa rehat antara masa perlawanan, atau boleh juga selepas tamat perlawanan. Mari kita sama-sama mencari ruang mendapat ganjaran di sisi-Nya sambil berhibur, insyaallah.

Sesungguhnya beribadat dengan hati yang ikhlas dan khusyuk adalah lebih seronok dan menenangkan daripada bukan sahaja Piala Dunia, tetapi sekalian nikmat duniawi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments:

  1. salam.

    betul~~ lagipun kalo da terbangun awal pagi tu untuk tengok bola(yelah..kalo kebiasaan, liat mo bangun malam)... untung kalo tambah lagi dengan mendirikan solat sunat malam min. 2 rakaat. dpt pahala lg tu.. lgpun, solat bukannya lama sgt pun.. x rugi luangkn 5-10 min untuk dating ngan Allah :)

    ReplyDelete
  2. btoi3X.. smbil menonton bola ape salahnye lakukan solat sunat sekali... pahala pn dpt, gembira pn dapat...;)

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"