Wednesday, September 02, 2009

Di Mana Manusia Mencari


Alkisah, di sebuah kampung terdapat seorang pemuda yang bernama Abu (bukan nama sebenar). Pada suatu malam, dua orang pemuda sedang melalui sebatang jalan di kampung tersebut, dan mereka dapati Abu sedang berjalan mundar-mandir di bawah limpahan sinaran lampu jalan tersebut, seakan-akan sedang mencari sesuatu. Lalu kedua-dua orang pemuda itu bertanya kepada Abu.

"Wahai Abu! Apa yang kamu sedang lakukan?" kata salah seorang pemuda tersebut.

"Aku sedang mencari kunci motorku yang hilang." jelas Abu.

"Oh, kasihan. Kalau begitu mari kami tolong kamu carikan bersama." kata pemuda lagi satu.

Mereka bertiga pun mencari kunci motor Abu yang hilang itu. Setelah beberapa lama, usaha mereka tidak juga berjaya. Kepenatan, kedua-dua pemuda itu bertanya kepada Abu lagi.

"Pastikah kamu bahawa kunci motormu itu hilang di kawasan ini?"

"Tidak. Sebenarnya kunci motorku hilang di dalam rumahku." jawab Abu.

Mereka berdua membeliak mata, sambil memandang antara satu sama lain. Kemudian mereka bertanya lagi.

"Lalu mengapa kamu mencarinya disini sedangkan kamu sendiri ketahui kunci motormu hilang di rumah?"

"Di rumahku tiada bekalan elektrik, ianya gelap maka sukar untuk aku mencari kunci motorku. Tetapi di sini adanya lampu-lampu jalan yang menjadikan kawasan ini cerah, maka memudahkan untuk aku mencari kunci motorku!" terang Abu bersahaja.

Kedua-dua pemuda itu menggeleng-gelengkan kepala mereka.

Silapnya Manusia Mencari Ketenangan


Setelah membaca kisah di atas, pastinya kita berasa betapa bodoh dan gilanya si Abu. Ironinya, kebanyakan daripada kita juga mempunyai mentaliti yang sama seperti Abu dalam kisah tersebut, sama ada kita sedar atau tidak. Dalam artikel ini saya kecilkan skop iaitu dalam mencari ketenangan.

Ada manusia mencari ketenangan melalui hiburan yang melalaikan. Ada manusia mencari ketenangan di warung kopi bersembang kosong. Ada manusia mencari ketenangan dengan hanya tidur memalaskan diri. Dan pelbagai lagi kaedah ciptaan manusia untuk mencari ketenteraman jiwa. Masing-masing beranggapan cara merekalah yang terbaik dan berkesan. Tetapi untuk berapa lama? Satu jam? Satu hari? Satu tahun? Kemudian manusia akan mencari semula ketenangan yang 'hilang' itu, kerana ketenangan yang manusia cari itu tidak pernah mutlak.

Bukankah ianya sudah jelas disebut di dalam al-Quran?

"Iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram" (ar-Ra'd: 28)

Adakah tidak jelas lagi kata-kata Allah? Adakah kita tidak yakin dengan janji dan kata-kata-Nya? Atau mungkin secara kasarnya untuk dikatakan, kita masih tidak sampai tahap keimanan yang mampu membuatkan diri kita tenang apabila mengingati-Nya?

Sama-sama kita bermuhasabah. Tepuk dada tanya iman. Janganlah kita menjadi seperti Abu dalam kisah tadi, mencari di tempat yang tidak sepatutnya sedang diri sendiri tahu di mana sepatutnya 'benda' itu berada. Wallahu'alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. Ramai je manusia camni...carik 'nasik' kat stesen minyak, carik 'belacan' kat stesen tol, carik 'buku' kat kedai mamak, carik 'inspirasi' kat tepi longkang, banyak lagi la contoh...kita yang dah tau ni pun kadang2 agak melalut, mereka yang tak sedar2 di sana tu, apakah masih ada ruang untuk kembali ke jalan sebenar? misteri~

    ReplyDelete
  2. betul3...
    setuju ngan pndapat n persoalan yg QZ/KZT timbulkan..

    ReplyDelete
  3. nak mencari ketenangan dgn bermain "game diner dash " boleh qriuz?
    ^_^

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"