Tuesday, September 15, 2009

Laskar Pelangiku


Sudah lama saya tidak ke sana. Kekangan masa yang melampau membantut jadual mingguan saya untuk ke sana. Rindunya, sampai termimpi-mimpi. Kiranya lebih sebulan saya tidak pergi ke Lokub, mengajar anak-anak yang sentiasa dahagakan ilmu. Terima kasih banyak-banyak saya ucapkan kepada rakan-rakan saya, cikgu-cikgu yang lain yang sanggup hadir membantu ketika ketiadaan saya. Allah sahaja yang mampu membalas jasa budi kalian.

"Hui...ya Allah...tak boleh control betul budak-budak ni...penat kita dibuatnya." kata Cikgu Hanafi.

"Ei...rasa macam nak herdik je diorang ni...geram betul...kadang-kadang tak dengar kata..." rungut Cikgu Rosdianah.

Saya tersenyum sahaja mendengar komen-komen cikgu-cikgu lain. Senyum, tapi jauh di dalam hati risau juga dengan keadaan mereka yang dikatakan tidak terkawal itu.

"Biasalah budak-budak. Kita kadang-kadang memang kena tegas sikit. Bukan garang, tapi tegas." sekadar cuba menyedapkan hati cikgu-cikgu yang lain, apatah lagi selepas peristiwa saya dimarahi dahulu, saya sama sekali tidak mahu cikgu-cikgu yang lain menimpa nasib yang sama seperti saya.

Alhamdulillah, pada hari Ahad yang lepas saya mempunyai kelapangan untuk pergi ke sana. Bulan Ramadhan ini, saya belum lagi menjejakkan kaki ke sana, dan hari itu adalah hari terakhir kami mengajar sebelum cuti Aidiladha.

Saya, Mukhlis, Din dan Fuad datang lewat setengah jam ke sana pada hari itu. Setibanya saya ke beranda surau, saya dapati budak-budak itu hampir kesemuanya terlentang di tengah-tengah beranda beramai-ramai, tidur. Saya terkesima sebentar melihat keadaan mereka.

"Cikgu! Diorang tipu tidur!" Rohana, salah seorang daripada mereka, yang berada di tepi pintu memberitahu saya.

"Ha? Ya? Oit! Buat apa tu!?" saya menjerit kepada mereka.

"Aaaaa.....cikgu! Cikgu! Cikgu datang! Cikgu!" terus mereka semua melompat dari baring mereka, bergelak ketawa. Lakonan pembukaan dari mereka setelah lama saya tidak ke sana, amat menghiburkan hati saya. Mereka masih lagi seperti dahulu, dan lebih penting, mereka masih lagi memerlukan kami di sana.

"Hah, semangat je! Puasa ke tak ni?" saya bertanya kepada mereka.

"Puasa! Aku puasa! Dia tidak!" masing-masing cuba mengakui, sambil mengangkat tangan.

"Aku...aku suda puasa 30 hari!" Rahmat memberitahu saya.

"Ha? 30 hari dah? Hari ni baru hari ke-23. Biar betul!" saya membalas. Saya faham, bukanlah niat mereka untuk menipu atau cuba menunjuk-nunjuk kepada saya, tetapi mereka berkata begitu untuk menunjukkan bahawa mereka sebenarnya bersemangat untuk berpuasa penuh, walaupun saya tahu mereka kebanyakannya tidak larat untuk berpuasa penuh.

Pembelajaran pada petang itu tidak begitu lama, memandangkan kami datang lambat, dan waktu asar juga sudah semakin cepat, maka kami mengajar seadanya.

"Nak belajar apa hari ni?" saya bertanya.

"Melukis!" segelintir daripada mereka berkata.

"Menulis!" yang lain pula bersuara.

"Iqra', cikgu..." membisik kepada saya juga ada.

Laskar Pelangiku


Dahulu pernah seorang sahabat memberitahu saya bahawa kisah saya ini umpama sebuah cerita novel yang kemudiannya diadaptasi kepada wayang yang bertajuk 'Laskar Pelangi'. Pada ketika itu, saya tidak tahu akan cerita tersebut, hinggalah baru-baru ini saya menjumpai cerita tersebut daripada kawan saya dan menontonnya. Saya menontonnya buat pertama kali, dan betapa terharunya saya menontonnya. Faham amatlah saya dengan keadaan dan kesungguhan Bu Muslimah dalam mendidik 10 (11) orang anak muridnya selama 5 tahun.

Doa saya agar anak-anak didik saya juga insyaallah menjadi orang yang berguna dan berjasa terutamanya dalam perjuangan Islam kelak mereka dewasa. Amin.

Selamat Hari Raya

"Siapa nak duit raya!?" saya bertanya sebelum bersurai pada petang itu.

"Aku! Aku!" semua berteriak sambil melompat-lompat kegembiraan.

"Eh, kalau tak puasa penuh tak boleh la dapat duit raya, tak boleh la beraya, kan?" seperti kebiasaannya, beginilah cara mendidik anak-anak atau adik-adik kita untuk merangsang mereka berpuasa penuh. Walau mungkin pada pandangan sesetengah pihak, cara sebegini boleh melahirkan anak-anak yang bersifat materialistik, tetapi pada saya, tiada salahnya, untuk memberi duit raya kepada mereka setelah berlatih berpuasa pada usia yang kecil sebagai tanda hadiah. Kelak semakin dewasa barulah diberi kefahaman yang sebenar makna hari raya kepada mereka, perlahan-lahan, bahawa ianya bukan kerana duit semata-mata.

"Ok, sebelum balik, cikgu nak bagitahu, minggu depan kita cuti. Jadi cikgu nak ucapkan selamat berbuka petang nanti, dan selamat..."

"HARI RAYA!!" mereka semua berteriak menyambung kata-kata saya sebelum sempat saya menghabiskannya. Terhibur hati saya melihat gelagat mereka semua. Ya, selamat hari raya anak-anak didikku, moga aidilfitri kali ini menjadi kemenangan buat diri kamu semua, bukan sahaja dalam berpuasa, tetapi dalam segala aspek tatacara hidup sebagai seorang muslim yang sempurna, insyaallah. Amin.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

12 comments:

  1. sorry xde gambar latest diorang, post kali ni gambar2 laskar pelangi je.huhu

    ReplyDelete
  2. wah dah da laskar pelangi versi afieq nie...

    bla nak publish??

    ReplyDelete
  3. kate2 afiq ritu mmg menusuk kalbu..
    huhu..wat sy insaf jek
    xpe2 akan ku baiku diri ini
    thanks! ^_^

    ReplyDelete
  4. eh bukan baiku..baiki
    adesss...peace..

    ReplyDelete
  5. salam...akhirnya setelah sekian lme xdgr cter psl lokub...semoga adik2 ni dpt dibimbing dgn istiqamah oleh daie2 di sana utk mnjadi insan yg berguna....best ek cter laskar pelangi tu??

    ReplyDelete
  6. Ha'ah..cerita laskar pelangi memang best..
    saya tgk dua bulan lepas..
    n sungguh cerita tu mengingatkan saya pada adik2 kampung lokub yang sudah lama sangat saya tak jenguk..

    ReplyDelete
  7. huhu..rindu plak ngan budak2 tu.. mcm da dkt 2 minggu x berkesempatan gi ngajar... hrp2 pas raya nti dpt g lagi sna. rasanya sy ada gmbr2 dorg..hehe.

    ReplyDelete
  8. naz_irah, ni la laskar pelangiku yg dipublish, simple je.

    lampu, eh silap, cahaya malam, kata2 aku yg mna la mnyentuh hatimu?hahaha

    anonymous, best cite laskar pelangi tu. try la tengok

    farhana n deana, good job!

    ReplyDelete
  9. ada apa2 rancangan raya utk dorg ke nanti,pengetua afiq? heheh.

    ReplyDelete
  10. hurm...tak tau la
    nanti kita semua bincang
    tapi kalau ada pun ala kadar je kot
    huhu
    ~_~

    ReplyDelete
  11. lampu ek afiq..xpe2 :D
    kate2 lam ym tuh..
    xpe2 tgk la nti ak bc banyak buku
    ley r kte debat2
    eh bukan debat, berdiskusi org kate
    hehe

    btw, salam aidilfitri
    ~maap bebanyak~
    nak duit raya

    ReplyDelete
  12. selamat hari raya
    nak duit raya gak
    ~_~

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"