Wednesday, October 07, 2009

Madu Yang Pahit



-Afiq, semua orang lelaki suka kahwin banyak ke? Kenapa lelaki tak boleh setia pada seorang isteri? Ada seorang ni, dia kata dia berkenan, tapi dia tanya lagi, rela dimadukan tak? Tak tahu la nak jawab apa-

Begitulah lebih kurang ayatnya SMS yang saya terima beberapa hari yang lalu. Saya mengerut dahi membacanya, apa dia ingat saya sudah berkahwin?Malah berbini ramai? Saya berasa tidak layak untuk membicarakan tentang perkara ini kerana tiada pengalaman dan pengetahuan yang ada hanyalah sedikit.

-Panjang tu kena explain. Nantilah insyaallah kalau ada ruang saya jawab, dalam blog-

Saya membalas SMS tersebut ringkas. Sambil itu tergelak sendirian di dalam hati. Dia ni nak kahwin dengan suami orang ke? (no offence)

Poligami Dalam Islam


Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf kepelbagaian keperluan dan kehendak manusia dalam hidup berpasangan. Berasaskan kepada keadaan inilah Islam membenarkan poligami yang merupakan amalan masyarakat turun temurun sejak sebelum kedatangan Islam lagi.

Bagi memastikan amalan poligami secara yang lebih adil dan dapat menjamin kesejahteraan hidup ummah seluruhnya, Islam telah menetapkan syarat-syarat tertentu yang menghadkan amalan yang bebas sebelum ini dan mengambil jalan pertengahan yang lebih wajar. Syariat Islam menetapkan bahawa seorang lelaki boleh berkahwin dengan lebih dari seorang perempuan tetapi tidak melebihi empat orang.

Syarat poligami adalah, berkemampuan untuk memberi nafkah kepada isteri-isteri dan anak-anak, dan yang paling utama, adil. Adil dalam memberi kasih sayang, nafkah, perhatian dan lain-lain terhadap isteri-isteri dan anak-anak.

"Dan jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang sahaja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim" (an-Nisa': 3)

Poligami Dengan Siapa Elok?


"Kalau kita nikah dengan orang yang kuat agama, walaupun kita dimadukan, tapi kita pasti dia akan menjaga semuanya dengan baik dan adil, sebab dia ada agama, iman dia kuat!"

Kebanyakan dikalangan masyarakat sekarang mempunyai pemikiran yang sama seperti yang ditulis di atas. Anggapannya, orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, imannya kuat, dan dengan itu, berkahwin dengannya tidak akan timbul masalah rumahtangga meskipun bermadu.

Benarkah penyataan ini?

Ya dan tidak. Berkahwin dengan si ustaz, berkahwin dengan si penasyid, berkahwin dengan orang yang aktif berdakwah, tidak menjamin kebahagiaan rumahtangga 100%. Ingat, mereka juga manusia, manusia biasa, hamba Allah yang serba kekurangan. Hati dan imannya juga boleh dibolak-balikkan. Bukannya tidak ada kes, malah tidak kurang banyaknya kes-kes di mahkamah yang melibatkan hal rumahtangga orang yang mempunyai tahap pendidikan agama yang tinggi.

Memang benar, dalam mencari pasangan, kita carilah yang beragama, itu yang terbaik, saya tidak nafikan. Tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah, untuk berlaku adil itu tidak mudah, lebih-lebih lagi dalam memberi kasih sayang, ianya bukanlah seperti wang yang boleh dihitung dan kemudiannya dibahagi-bahagikan. Ianya adalah suatu sifat yang tidak dapat dianggar apatah lagi diberi sama rata. Katakanlah, sang suami menetapkan syarat bahawa satu hari untuk isteri ini, satu hari untuk isteri yang satu lagi. Dari perkiraan hari, ianya memanglah adil, tetapi bagaimana pula dengan kasih sayang? Adilkah dia dengan isterinya pada hari tersebut? Beri perhatiankah dia dengan isterinya pada hari tersebut berbanding isteri di hari lain?

Timbul pula rasa cemburu dikalangan isteri-isteri. Silap-silap bergaduh, dan akhirnya membawa kepada penceraian yang boleh memutuskan silaturrahim sesama mereka. Peristiwa ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, walaupun mereka itu adalah ustaz, pendakwah, artis, ahli akademik, atau orang biasa.

Saya tidak mahu memberi jawapan atau kesimpulan mengenai hal ini, eloklah kiranya para pembaca budiman berfikir sendiri, dan mencari ilmu mengenainya. Saya hanya ingin memberi anjakan pemikiran kepada pembaca semua tentang hakikat kehidupan dan rumahtangga yang mungkin dan tidak mustahil untuk berlaku kepada kita semua.

Pandangan Peribadi

Saya tak mahu berpoligami. Saya tak mahu kahwin lebih dari satu kali. Malah jika ditakdirkan isteri saya pergi dahulu sebelum saya, saya tidak rasa saya mahukan pengganti untuknya. Saya tidak mahu kahwin paksa. Saya tidak mahu berkahwin kerana orang itu menyintai saya tetapi saya tidak. Saya tidak mahu berkahwin atas rasa simpati kepada si dia. Saya, hanya akan berkahwin dengan perempuan yang betul-betul saya kehendaki, dengan tatacara yang betul dan berlandaskan syariat Allah. Itu sahaja.

Semua lelaki suka kahwin banyak? Bergantung kepada individu, jangan dipermudah untuk dilabelkan semua lelaki sebegitu. Begitu juga dengan bab kesetiaan, ianya bukan masalah lelaki jenis yang tidak setia atau apa-apa, ianya bergantung kepada individu juga. Jangan disamakan antara satu individu dengan satu individu yang lain. Adakah semua perempuan mulut murai? Mungkin pada pandangan mata kaum lelaki kesemunya begitu, tetapi hakikatnya tidak. Kenapa terlalu mudah untuk kita melabelkan sesuatu, seperti semua lelaki begini...semua perempuan begitu...orang melayu begini...orang Islam begitu...dan lain-lain. Mentaliti yang salah mengakibatkan perlakuan yang salah.

Kalau perempuan hendak berkahwin dengan suami orang (bermadu), kahwinlah. Tapi ramai lagi lelaki yang bujang yang memerlukan belaian seorang isteri. Kalau yang lelaki hendak menambah isteri, tambahlah. Tapi duit itu bermanfaat juga digunakan untuk sedekah atau kerja-kerja amal. Kalau tidak mahu kahwin langsung pun tidak apalah, jangan nanti menyesal di hari tua sudah. Pendek kata, tiada justifikasi mutlak dalam memilih teman hidup, asalkan tidak melanggar syariat.

Sebelum membuat sesuatu keputusan, hendaklah sepatutnya kita meminta petunjuk daripada-Nya kerana Dia sahajalah yang Maha Mengetahui tentang segala-galanya. Semoga kita tidak termasuk golongan yang rugi yang tidak meletakkan-Nya yang paling utama dalam setiap keputusan kita dan semoga kita semua hidup bahagia dengan pasangan kita insyaallah.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 comments:

  1. iman manusia turun dan naik, so bertindak atas kemampuan jgn sampai nafsu memijak akal

    ReplyDelete
  2. =))

    Allah adalah sebaik-baik perancang

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"