
Terdapat suatu perkara yang menarik mengenai tahun baru. Satu fenomena yang mana hampir setiap manusia tergerak untuk melakukannya. Entah sejak bila mulanya fenomena ini, saya tidak ketahui. Masuk sahaja tahun baru, perkataan ini akan keluar menjadi batu loncatan paradigma bagi sebahagian manusia, manakala bagi sebahagian yang lain pula, ia keluar hanya untuk dibuang di tepi jalan.
Inilah 'azam'.
"Tahun depan aku nak berazam untuk belajar bersungguh-sungguh kasi pointer aku naik!"
"Saya nak jadi baik tahun ni. Tak mahu ikut rakan-rakan yang tak senonoh macam dulu, nak bertaubat."
"Katakan tidak pada rokok tahun hadapan!"
Bermacam-macam azam dibuat. Ada yang meletak azam dengan sasaran jangka panjang, ada yang meletaknya untuk jangka pendek. Ada yang berazam bersungguh-sungguh, ada yang berazam ala kadar, malah ada juga yang tidak berazam langsung.
Disebalik Azam

Azam itu adalah niat yang disertai dengan semangat. Apabila seseorang memiliki azam, dia mencetuskan niat untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat. Niat sahaja adalah lemah, malah boleh terpadam begitu sahaja jika tidak biasa melakukannya. Kerana itu untuk melakukan sesuatu perkara dengan berkesan dan bersungguh-sungguh, niat perlu disertai dengan semangat, yang menjadi daya pecutan bagi sasaran niat supaya boleh tercapai dengan berkesan. Jika niat adalah api, azam pula adalah minyak yang menyemarakkan lagi bara api itu untuk membakar.
Nah, kalau begitulah hebatnya azam, mengapa kebanyakkan kita mati di tengah jalan dan gagal untuk menyempurnakannya?
Hangat-hangat tahi ayam. Tahi ayam apabila awal-awal keluar, baunya menusuk hidung sesiapa saja yang berdekatan, semua orang akan perasan kewujudannya. Tetapi setelah beberapa lama, bau itu hilang, hinggakan orang yang lalu-lalang tidak perasan kewujudan tahi itu dan langsung terpijaknya!
Lalu, bagaimana hendak mengekalkan semangat azam itu?
Jadikan Ia Azam Harian

Ya, jangan jadikan azam sebagai tabiat tahunan, tetapi jadikanlah ia tabiat harian. Dengan begini, barulah azam kita tidak tersasar atau kita lupakan. Istiqamah, itulah caranya supaya kita sentiasa di landasan yang betul.
Aku berazam untuk solat tepat pada waktunya hari ini!
Aku berazam hendak mengaji sekurang-kurangnya semuka al-Quran pagi ini!
Aku nak kumpul duit sedikit demi sedikit setiap hari sampai penuh tabung!
Aku nak jadikan hari ini lebih baik daripada semalam!
Dengan niat yang betul dan cara yang betul, insyaallah niat dan azam yang kita sasarkan itu tercapai. Apa yang penting, semua perkara yang kita lakukan hendaklah di atas landasan syarak yang betul, dan semoga kita semua berada di bawah payung keredhaan Allah SWT bukan sahaja pada tahun hadapan, tetapi untuk seumur hidup kita, amin.
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam" (ali-Imran: 102)

soalan bonus, 'azam' dalam bahasa inggeris apa? ~_~
ReplyDeletesalam.
ReplyDeletex silap, "resolution".
mm..resolusi sma ka dgn azam? wallahu ahlam~
encik dictionary cakap azam dalam bi
ReplyDeletegreater
azam = aim, determination, intention
ReplyDelete