Monday, January 10, 2011

Mari Utamakan Aspek Rabbaniyyah


"Amin!! Balik! Dah senja! Nanti setan culik Amin kang!" pekik Mak Milah dari tabir tingkap rumahnya.

Belum puas bermain guli di rumah jiran hadapannya, Amin bingkas mengutip biji-biji gulinya dan terhegeh-hegeh berlari pulang. Kemudian, rakan-rakannya pula dilaungkan benda yang sama oleh emak masing-masing. Semua bergegas pulang.

"Cepat, dah senja ni! Aku tak nak terserempak dengan setan waktu diorang tengah keluar ni!" Amin memberitahu rakannya.

Pendekatan menakutkan seseorang dengan sesuatu adalah teknik yang berkesan untuk menyuruh mereka bertindak mengikut kehendak kita, namun, jika dikerapkan dengan cara yang salah boleh memudaratkan.

Targhib wa Tarhib

"Dan Kami tidak mengutuskan engkau melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui" (as-Saba': 28)

Perutusan Nabi Muhammad SAW sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan diulang-ulang beberapa kali dalam al-Quran, menunjukkan penegasan tentang peranan Rasulullah SAW, peranan baginda sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan.

Targhib (ancaman/larangan) dan tarhib (galakan/anjuran) adalah dua komponen yang memang ada dalam sudut dakwah. Sama ada kita menasihati, dengan berlandaskan perkara yang baik sebagai galakan, atau pun dengan menasihati melalui perkara yang buruk sebagai ancaman.

Mari kita solat berjemaah bersama, insyaallah ganjarannya 27 kali lebih daripada solat bersendirian.

Mari kita solat berjemaah bersama, mahukah kamu kami lakukan seperti Rasulullah SAW? Baginda membakar rumah sahabatnya yang enggan solat bersama walaupun mampu.

Kedua-dua ayat di atas mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk menyuruh melakukan solat berjemaah, tetapi pendekatannya berlainan, satu galakan dan satu ancaman. Menyampaikan galakan membangkitkan semangat untuk beribadah, dan menyampaikan ancaman memberi rasa gerun dan takut untuk melakukan maksiat.

Bagi anda, yang mana lebih berkesan?

Utamakan Aspek Rabbaniyyah Dalam Berdakwah





Skop dakwah itu amat luas. Daripada sebutir nasi hinggakan ke seluruh galaksi, semuanya boleh dijadikan modul untuk berdakwah. Tetapi kadangkala kita terlepas untuk menerapkan aspek yang saya kira, amat penting, iaitu aspek rabbaniyyah (ketuhanan).

"Mengapa orang Islam tidak boleh makan babi?" tanya Ah Chong.

"Sebab babi kotor, banyak kuman dan najis, kalau masak pun bakteria dan kuman dalam daging babi tak hilang. Kajian saintifik sudah membuktikan" jawab Ahmad.

"Sebab Allah sudah berfirman dalam al-Quran, babi itu haram dimakan" jawab Ali pula.

Mari kita kaji jawapan Ahmad dan Ali kepada Ah Chong.

Jawapan Ahmad bersifat saintifik, memang benar, dan telah dibuktikan, manakala jawapan Ali pula bersifat rabbani, kembali kepada Tuhan, tanpa banyak bertanya, sami'na wa to'na (kami dengar dan kami taat). Bagaimana dengan penerimaan Ah Chong? Secara logik, Ah Chong tidak akan membidas Ahmad melainkan Ah Chong menjumpai fakta yang lebih kukuh. Tetapi, dalam konteks jawapan Ali, Ah Chong, dengan ilmu yang dia ada sebagai bukan Islam, juga tidak dapat membidas Ali. Ah Chong tiada hujah untuk menidakkan atau menyalahkan Ali. Malah, jawapan Ali telah menimbulkan sifat ingin tahu Ah Chong terhadap Allah dan Islam.

Maka, dalam konteks dakwah yang berkesan, Ali telah berjaya membuatkan Ah Chong berfikir dengan lebih mengenai Islam dan Allah, jika tidak pun, untuk berfikir; mengapa Allah melarang umat Islam memakan babi? Walaupun penghujungnya mungkin kembali kepada jawapan Ahmad.

Sedar atau tidak, secara umumnya, walau dengan pelbagai fakta dan bukti ditunjukkan, manusia tetap susah untuk mengubah tabiat yang telah lama mereka amalkan. Keluarkanlah beribu-ribu fakta buruknya merokok, bahayanya arak, namun semua itu tetap tidak dapat membenteras mereka yang telah lama hidup dalam suasana sebegitu. Nampak? Hanya dengan mengamalkan Islam dengan menyeluruh semuanya akan terhapus.

Kita larang konsert Adam Lembert bukan kerana dia gay, tetapi kerana konsertnya adalah maksiat.

Kita letak air semasa membaca Surah Yassin bukan kerana air tersebut dapat menerangkan hati, tetapi sebagai salah satu ikhtihar dan pemudah cara.

Kita memperjuangkan parti bukan kerana mahukan kemenangan parti semata-mata, tetapi kerana yang lain tidak boleh, mampu atau mahu untuk menegakkan syiar Islam.

Kita solat bukan kerana takut dimarahi ibubapa, tetapi kerana ianya adalah kewajipan yang perlu dipatuhi.

Tidak kiralah, pendekatan melalui targhib atau pun tarhib, namun pastikan ianya diterapkan dengan unsur rabbaniyyah, dengan berlandaskan nas-nas yang benar dari al-Quran dan as-Sunnah, insyaallah ianya lebih berkesan dan menyedarkan.

*******************************************************************************************************

"Amin!! Balik! Dah maghrib! Nanti lambat pula solat! Allah marah orang yang lambat-lambatkan solat!" pekik Mak Milah.

"Alamak, kena balik dah ni, kena sembahyang, kena awal, kalau tak nanti Allah marah...Allah marah nanti masuk neraka!" bisik hati Amin sambil bergegas pulang. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"