Saturday, April 02, 2011

Isu Fatwa Pengharaman Tarian Poco-Poco


IPOH: “Poco-poco” originates from a ritual dance often practised in Jamaica and contains elements of Christianity as well as spirit worship, insists Perak mufti Tan Sri Harussani Zakaria.
 
Harussani said the word “poco” in some dictionaries also referred to a kind of wild dance performed while possessed by “ancestral spirits”.
 
“I requested some cultural officers to do research and they came out with the findings. The cross-shaped movement, normally associated with Christianity, can be seen clearly in the dance but this was not realised by most Muslims.
 
Begitulah petikan berita daripada akhbar The Star mengenai tarian poco-poco yang difatwakan haram di Perak. Berikutan dengan berita tersebut, maka ramailah daripada kita yang terkejut dengan penfatwaan tersebut. Ada yang bersetuju, dan tidak kurang ada yang sebaliknya. 

Sebelum saya pergi dengan lebih lanjut mengenai tarian poco-poco, eloklah kiranya kita mendalami dahulu mengenai fatwa. 

Definisi Fatwa
 
Fatwa dari segi bahasa membawa maksud menjawab atau menjelaskan sesuatu masalah. Dari segi syarak membawa maksud menjelaskan hukum-hukum syarak dengan berpandukan kepada al-Kitab, as-Sunnah, ijmak dan juga qiyas. 

Dalam al-Qamus al-Fiqhi, fatwa bermaksud menjawab permasalahan-permasalahan syarak atau perundangan yang menimbulkan masalah dalam menyelesaikannya kepada seseorang. Dalam Mu’jam Lughah al-Fuqaha’ pula, fatwa bermaksud hukum syarak yang dijelaskan oleh seseorang yang alim dalam pengetahuan fiqh, sebagai jawapan kepada orang yang bertanya tentang perkara tersebut. 

Orang yang bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa dinamakan sebagai mufti. Tugasnya mengeluarkan fatwa dan dinamakan sebagai ifta’. Jawapan yang dikemukakan oleh mufti dinamakan sebagai fatwa. Pihak yang bertanya mufti tentang satu-satu masalah yang dihadapinya, dinamakan sebagai mustafti. 

Pendek kata yang dikatakan fatwa ialah mengeluarkan hukum syarak yang dilakukan oleh seseorang alim atau faqih berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat yang tidak terdapat nas yang jelas di dalam al-Kitab, as-Sunnah, ijmak mahu pun qiyas, dengan menggunakan keempat-empat sumber muktabar tersebut. 

Adab-adab Dalam Mengeluarkan Fatwa
 
Mufti merupakan orang yang menggantikan tempat Nabi s.a.w dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Fatwa yang dikeluarkan menggambarkan hukum Allah yang berkaitan dengan realiti yang berlaku. Kerana itu mufti hendaklah seorang yang dipercayai, amanah dan bersih daripada sebab-sebab yang boleh menjerumuskannya kepada kefasikan, kejatuhan maruah dan lain-lain. Di samping itu perlu juga meraikan adab-adab dalam mengeluarkan fatwa iaitu:
  • Menunjukkan sifat warak dan pegangan agama yang kuat
  • Memakai pakaian yang elok dan sesuai, kerana menimbulkan kehebatan pada pandangan orang ramai sambil berpegang teguh dengan hukum-hukum syarak
  • Membaiki keadaan diri dengan sentiasa beriltizam dengan adab-adab syarak dalam kerja-kerja yang dilakukan dan tuturkata yang dikeluarkan, kerana mufti merupakan orang yang menjadi ikutan yang baik kepada masyarakat
  • Membaiki batin dengan sentiasa memohon kepada Allah agar membetulkan keputusan yang dikeluarkan dan mengilhamkan kebenaran malah sentiasa mengikhlaskan niat dalam menjelaskan hukum syarak dan menepati janji dengan Allah s.w.t
  • Mengamalkan segala kebaikan yang difatwakan dan menjauhi segala perkara yang haram dan makhruh yang ditegah, agar wujud keselarasan di antara kata-kata dengan tindakan
  • Mengeluarkan fatwa dalam situasi yang tenang dan stabil dan tidak dalam keadaan perubahan emosi dan hati kerana boleh menghalang seseorang mufti dari mengambil sikap berhati-hati dan teliti
  • Mengadakan mesyuarat dan perbincangan dengan orang yang dipercayai keilmuan dan agamanya
  • Mengelakkan dari membongkar rahsia orang-orang yang meminta fatwa
  • Menjauhi dari mengeluarkan fatwa yang berat sebelah
  • Menjaga susunan dan meraikan keadilan dalam kalangan orang-orang yang meminta fatwa
  • Membaca soalan dengan teliti, cermat dan berulang kali agar maksud soalan tersebut difahami betul-betul kemudian baru menjawab

    Akhlak Dalam Mengeluarkan Fatwa

    Fatwa tidak hanya tertumpu kepada mengeluarkan dan menjelaskan hukum hakam sahaja dan kontang daripada akhlak dan tingkah laku yang baik. Antara akhlak yang perlu diiltizami oleh mufti dalam mengeluarkan fatwa ialah:
    • Tidak membuatkan orang ramai berputus asa daripada rahmat Allah s.w.t
    • Tidak membuka ruang dan memberi kelonggaran kepada orang ramai melakukan maksiat
    • Tidak menghina orang yang lebih bawah dan tidak pula mengampu orang yang lebih atas daripadanya
    • Memberitahu kepada orang yang bertanya, tentang orang alim yang lebih tahu berbanding dengan dirinya sendiri dalam selok-belok fatwa dan perkara itu tidak menimbulkan rasa kurang senang dalam hatinya
    • Tidak segan untuk menarik balik fatwa yang telah dikeluarkan, jika terbukti fatwa tersebut adalah salah
    • Mengeluarkan fatwa berdasarkan kebenaran yang diketahui dan tidak tunduk kepada hawa nafsu sahaja
    • Sentiasa bergantung kepada Allah, merendah diri dan mengikhlaskan niat
    • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah s.w.t agar menunjukkan jawapan yang betul dan menjauhi kegelinciran pada pemikiran, lisan dan pena

      Begitulah serba sedikit pengenalan mengenai fatwa dan mufti yang mana ramai dikalangan kita tidak ambil tahu. Diringkaskan daripada buku Metod Fatwa al-Qardawi Dalam Menangani Isu-isu Semasa tulisan Prof. Madya Dr. Basri bin Ibrahim al-Hassani al-Azhari terbitan al-Hidayah Publication.

      Asal-Usul Tarian Poco-Poco?


      Untuk membahaskan asal-usul sesuatu budaya, amalan, dan adat kadangkala amat sukar. Lebih lagi, jika tiada penyelidikan yang ilmiah dan saintifik mengenai amalan tersebut. Poco-poco adalah salah satu daripadanya.

      Berdasarkan pencarian saya, saya dapati tarian poco-poco ini datangnya sama ada dari Indonesia mahu pun Filipina (dan untuk segelintirnya, Jamaica). Perbahasan yang lain adalah adakah poco-poco ini sebenarnya satu bentuk tarian atau senaman? Kerana kebanyakkannya mengetahui tarian ini sebagai salah satu cara senaman senamrobik. 
      Secara peribadi saya mengganggapnya sebagai sejenis tarian, bukan senaman. Senaman boleh hidup tanpa tarian, tapi tarian tidak boleh hidup tanpa senaman. Dalam erti kata mudahnya, tarian itu sebahagian daripada senaman, dan senaman tidak semestinya tarian. Oleh itu, saya memanggilnya sebagai ‘tarian’ poco-poco dan bukan ‘senaman’ poco-poco.

      Berdasarkan kajian saya yang terbatas (internet), saya dapati salah satu alasan mengapa tarian poco-poco ini diharamkan adalah (seperti yang disebutkan di awal tadi, dan) kerana ianya merupakan satu bentuk tarian orang kristian Filipina semasa upacara sembahyang mingguan mereka dan gerak langkah tarian tersebut membentuk tanda salib.

      Persoalannya, seberapa jauh kita boleh percaya dengan kenyataan umum dan tanpa rujukan sebegini?

      Apa yang menjadikan hujah tersebut dangkal adalah kenyataan ‘tarian tersebut membentuk tanda salib’. Sungguh?

      Mengapa tidak haramkan sahaja huruf T kecil kerana berbentuk salib? Mengapa tidak haramkan sahaja pedang kerana berbentuk salib? Bukankah ada langkah dalam pembelajaran tae-kwan-do gerak langkahnya juga membentuk salib?

      Kesimpulan

      Saya, dengan berlapang dada menerima keputusan Mufti Perak dengan pengharaman tarian poco-poco (saya bukan orang Perak pun). Walaupun begitu, saya berharap sangat agar penjelasan yang lebih teliti diterangkan semasa pewartaaan pengharaman tersebut. Saya boleh terima jika ianya adalah kerana adat dan upacara rakyat kristian Filipina (atau Indonesia) atau pun pemujaan roh, tetapi untuk beralasan ianya membentuk salib adalah amat tidak relevan melainkan adanya bukti dan fakta yang sahih bahawa tarian tersebut sememangnya dibuat sebegitu untuk membentuk tanda salib.

      Perlu diingat tujuan pengharaman itu bermaksud tarian tersebut. Bukan kerana ianya adalah disebabkan percampuran lelaki perempuan atau pun kerana pendedahan aurat, bukan kerana cara ianya dilakukan atau di mana ianya dilakukan tetapi kerana ianya sendiri secara umum (by default).

      Rujukan tambahan:
      Wallahu’alam. 

      Saya tidak cuba untuk merendahkan atau memburukkan pengharaman tersebut, sungguh saya lebih tidak layak untuk menghukum, cuma apabila timbul kekeliruan dalam masyarakat bermakna ianya tidak dijelaskan dengan teliti dan tepat, oleh itu saya hanya berharap agar akan ada pembaikan dan penelitian yang lebih baik daripada Majlis Mufti, atau wartawan sendiri dalam menghebah dan memberi maklumat kepada masyakarat.
      Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

      6 comments:

      1. Salam.

        Saya menyokong penuh tindakan S.S Mufti Perak di dalam isu tarian poco-poco.

        ReplyDelete
      2. Assalamualaikum,

        Lain orang lain ragam, lain orang lain pandangan.
        Saya juga pernah menari poco-poco dan pernah juga membaca artikel tentang asal usul poco-poco sebelum ia difatwakan haram oleh Mufti Perak.

        Bagaimana pun, pada pendapat saya. Kenapa perlu mengagungkan-agungkan senaman yang berasal dari luar negara sedangkan Malaysia kaya dengan tarian-tarian tradisional yang juga boleh dijadikan senaman. :D
        Selain kita belajar tentang tarian-tarian sendiri, dapat juga keluarkan peluh.

        Perkara yang was-was lebih elok ditinggalkan.

        ReplyDelete
      3. Waalaikumsalam wbt
        Betul betul betul :)

        ReplyDelete
      4. terjumpa artikel ni orang tunjuk
        http://chittychat.wordpress.com/2009/08/30/the-origin-of-poco-poco/

        ReplyDelete
      5. http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-tarian-poco-poco-dan-seumpamanya-menurut-perspektif-islam

        ReplyDelete

      © Q-riuz (2008 – 2013)

      Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

      "Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"