Tuesday, April 12, 2011

Review Buku Syamail Muhammadiyah


IMG0021A 
Sebelum ini, kebanyakan entri saya yang berkisarkan mengenai buku adalah sinopsis sahaja, menyebabkan saya rasa pembaca blog ini tidak begitu tertarik dengan buku-buku tersebut. Saya, kali ini, dan insyaallah pada masa akan datang, cuba untuk mengulas sendiri buku-buku yang saya beli dan baca supaya penilaian, kritikan, dan komentar mengenainya lebih menunjukkan kepuasan saya secara peribadi.

Dan, semestinya untuk membuatkan blog ini lebih menarik, bermanfaat, dan asli (saya memang hendak mengurangkan peratusan artikel copy paste dalam blog ini).

Untuk kali ini, saya mempersembahkan, Syamail Muhammadiyah: Keanggunanmu Ya Rasulullah.
 

Buku ini menghuraikan mengenai keperibadian Rasulullah SAW serta tingkahlaku dan sahsiahnya berdasarkan hadis-hadis yang direkodkan oleh Imam at-Tirmizi. 

Antara aspek-aspek yang dibahaskan dalam buku ini adalah:

Fizikal: Tanda kenabian, rambut, uban, celak, berbekam, pakaian, aksesori, kasut, sandal, cincin, pedang, baju besi, pelindung kepala, serban, sarung, dan tempat tidur.

Perilaku: Cara berjalan, duduk, bersandar, tidur, makan, jenis roti, lauk, gelas minum, dan buah-buahan.

Ibadah: Wuduk, doa, wangi-wangian, solat Dhuha, solat sunat di rumah, puasa, dan membaca al-Quran.

Hubungan sosial dan akhlak: Berbicara, ketawa, bergurau, bersyair, berbual, bersifat tawaduk, terasa malu, dan tangisan.

Kehidupan: Nama-nama Rasulullah, usia, kewafatan, warisan, dan mimpi melihat Rasulullah.

Sebagai umat Rasulullah, di kala dunia yang penuh dengan hedonisme ini, kebanyakan kita lebih mengenali dan mengetahui peribadi artis-artis pujaan, bahkan juga watak-watak yang tidak pernah wujud pun. Seharusnya kita lebih patut mengetahui peribadi insan agung ini, pemimpin kita, kekasih Allah SWT.

Sebuah naskah yang sangat berharga yang patut dimiliki.

Skor Buku

Publisiti buku: 8/10 (mudah didapati di kedai buku, harga berpatutan, syarikat penerbitan berkualiti)

Penampilan buku: 8/10 (rekabentuk yang menarik, kelihatan anggun, dan berkulit tebal menjadikan ia tahan lama)

Penulisan buku: 8/10 (berbahasa Melayu ringkas, mudah difahami. Hadis-hadis ditulis perawi dan tarafnya, beserta keterangan ringkas. Terdapat kesalahan ejaan minor yang boleh diabaikan)

Penyusunan isi: 7/10 (penyusunan bab teratur, ringkas, menarik, mempunyai nota kaki)

Nilai ilmu: 10/10 (harus ada bagi setiap Muslim, boleh dijadikan rujukan untuk masa hadapan)

Jumlah skor (x2) = 82/100 (A+) A MUST HAVE BOOK!

Syamail Muhammadiyah oleh Imam Tirmizi
diterjemah oleh Muhammad Masnur Hamzah
Harga: RM 35 / RM 38
ISBN-13: 978-967-366-064-3
Tarikh Terbit: 20 Jan 2011
Jumlah Muka Surat : 400
Kategori: Bukan Fiksyen, Sejarah, Al-Hadis
Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

5 comments:

  1. As'slm

    saya tertarik dengan artikel ni yang menceritakan mengenai sinopsis buku. saya ada satu persoalan (mungkin juga kemusykilan) mengenai isi buku Alexander Adalah Zulkarnain dan buku Alexander bukan Zulkarnain. Persoalannya, bolehkah teori dan hipotesis yang dibuat oleh penulis diterima? saya pinta penulis memberikan sedikit pendapat berkenaan isu ini. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Wasalam wbt.

    Terima kasih. Berkenaan buku Alexander Adalah/Bukan Zulkarnain, saya tidak membaca dan mempunyainya. Walaubagaimana pun, saya memiliki buku Armagedon 2012 yang juga ditulis oleh penulis yang sama, Muhammad Alexander.

    Adakah teori dan hipotesis dalam buku-buku tulisannya mengenai hari kiamat, dajal, tanda-tanda dan hubungannya dengan sains boleh diterima?

    Persoalan ini adalah amat panjang untuk diperbahaskan. Mungkin kalau saya ada masa saya akan tuliskannya dalam entri yang baru di blog, tetapi buat masa ini biar saya jawab secara ringkas persoalan tersebut.

    Teori hanyalah teori jika tidak dapat dibuktikan. Ini adalah asas untuk menerima sesuatu fakta. Selagi tidak kiamat, selagi itulah kita tidak tahu sama ada teori dan analisis yang ditulis dalam buku tersebut benar atau salah.

    Jadi adakah kita perlu mempercayai atau menolakknya?

    Cara terbaik adalah mengambilnya secara pertengahan. Kita berlapang dada dengan teori-teori yang dikemukakan, tetapi jangan menggunakannya sebagai hujah, dalil atau fakta yang menunjukkan ianya benar-benar begitu seperti yang diceritakan. Dalam erti kata mudah, gunakan perkataan 'mungkin' bukan 'semestinya'.

    Buku-buku tersebut mempunyai unsur Buccailisme, iaitu terlalu mahu untuk mengaitkan sains dan Islam sehingga mungkin menimbulkan kesalahan sama ada fakta, disiplin mahu pun pemahaman jitu pengetahuan tersebut. Terlalu mahu menghubungkaitkan perkara yang diluar batas pemikiran manusia seperti perkara-perkara ghaib (syurga, neraka, kiamat, dajal) dengan sains dan agama. Saya secara peribadi menasihatkan tidak perlu terlalu percaya dengan penulisan-penulisan sebegitu, kerana adabnya, begitu lebih baik, jika kita tidak tahu (dan tidak boleh tahu) adalah lebih elok untuk tidak percaya.

    Perlu diambil perhatian juga bahawa dalam menafsir ayat Quran dan hadis, memerlukan pakar dalam bidang tersebut yang amat tinggi, yang mana orang biasa, hatta professor dalam bidang sains sekali pun, tidak boleh semberono menakrifnya.

    Wallahu'alam

    ReplyDelete
  3. salam..macam mana saya nak beli buku ni secara online?

    ReplyDelete
  4. http://www.bookcafe.com.my/en/?search_performed=Y&match=any&category_name=All+categories&pcode=978-967-366-064-3&dispatch[products.search]=Search

    ReplyDelete
  5. http://www.badanbookstore.com/product.php?mgroupid=BAHASA+MALAYSIA&sgroupid=Agama&subcatid=Sirah&titleid=.*

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"