Monday, June 29, 2009

Boleh Potong Kuku Tak?


"Afiq, bole ka potong kuku selain hari Jumaat?" rakan sebilik saya tiba-tiba bertanya, sedang dia mengadap komputer.

"Ha?" saya kehairanan. Kebetulan saya memang sedang memotong kuku pada waktu tersebut, yakni bukan pada hari Jumaat.

"Kenapa tak boleh lak?" saya bertanya kembali.

"Bukan ada hadis ka aku dengar ada certain hari ndak (tak) boleh potong kuku?" rakan sebilik saya berkata.

"Mana ko dengar?" sambil kepala otak saya ligat beroperasi cuba mengingat hadis yang diperkatakan.

"Entah la. Aku ada dengar dari sorang ni dia cakap macam tu. Kata dia nabi kata...aku ndak ingat sangat, tapi ada hari yang kalau potong kuku dapat penyakit, ada hari potong kuku ditolak rezeki, ada hari yang dapat pahala and so on..." terang dia sambil mengingati apa yang diketahui.

"...Isnin, Khamis dan Jumaat ja yang elok kalo potong kuku..." dia berkata lagi, mengakhiri semua yang dia ketahui.

Saya tersenyum mendengarnya. Alhamdulillah rakan sebilik saya serba sedikit sudah prihatin dengan hal-hal agama, walaupun sedikit remeh mungkin.

Saya kemudiannya mengambil buku Islam Yang Mudah di atas meja saya dan saya berikan kepadanya.

"Aku tak pernah dengar ada hadis macam tu. Ni, ko baca buku ni, boleh jawab persoalan ko insyaallah." saya berkata.

Dalam buku Islam Yang Mudah tersebut, ada bab mengenai hukum-hakam dan adab berpakaian dan mengemas diri dalam keempat-empat mazhab berserta dalil sekali. Corak penulisan yang ringkas dan santai serta tepat dan jelas menjadikan ia sebagai salah satu bahan rujukan yang mudah untuk saya berikan kepada rakan-rakan yang tidak berapa arif dalam ilmu agama.

Lama rakan saya membacanya. Dibelek satu per satu muka surat dalam buku tersebut. Mencari-cari. Apa yang ada hanyalah sunnah memotong kuku pada hari Jumaat.

"So ndak betul la hadis tu?" rakan saya cuba juga untuk mendengar jawapan yang meyakinkan daripada saya.

"Potong kuku hari Jumaat sebelum solat Jumaat sunnah. Kenapa ada hari disunatkan dan ada hari diharamkan (jatuh bala kalau dibuat)? Lainlah kalau potong kuku hari Jumaat wajib. Lagi pun, potong kuku ni benda harian. Kalau mandi pun dijatuhkan hukum macam tu, kan susah?" saya cuba menerang sebaik mungkin.

"Islam itu mudah, macam tajuk buku ni. Tak rigid, tak pelik, tak leceh dan tak susah. Cuma kita je yang faham atau tidak apa yang Islam ajar..." saya mengakhiri kata-kata.

Rakan saya mengangguk-angguk mengerti.

Hadis Palsu Fadhilat Memotong Kuku

Baru-baru ini saya teringat semula peristiwa tersebut, dan saya bercadang untuk menulisnya di blog dan cuba untuk merungkai kepalsuan hadis tersebut. Melalui internet saya menjumpai hadis yang diperkatakan:

من قلم أظفاره يوم السبت خرج منه الداء ، ودخل فيه الشفاء ، ومن قلم أظفاره يوم الأحد خرجت منه الفاقة ودخل فيه الغنى ، ومن قلم أظفاره يوم الاثنين خرجت منه العلة ودخلت فيه الصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الثلاثاء ، خرج منه البرص ، ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الأربعاء خرج منه الوسواس ، والخوف ودخل فيه الأمن والصحة ، ومن قلم أظفاره يوم الخميس خرج منه الجذام ودخل فيه العافية ، ومن قلم أظفاره يوم الجمعة دخل فيه الرحمة ، وخرج منه الذنوب


Maksudnya: "Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu, keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penyembuhan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Ahad, keluar daripadanya kefakiran dan masuk ke dalamnya kekayaan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Isnin, keluar daripadanya penyakit dan masuk kepadanya kesihatan, sesiapa yang mengerat kuku pada hari Selasa, keluar daripadanya al-Baros dan masuk ke dalamnya al-'Afiah, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Rabu, keluar daripadanya was-was dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan, sesiapa yang mengerat kukunya pada hari Khamis, keluar daripadanya al-Jadam dan masuk kepadanya al-'Afiah dan siapa yang mengerat kukunya pada hari Jumaat, masuk kepadanya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa."

Anehnya, daripada berpuluh-puluh senarai seumpama ini yang keluar dari internet, tiada satu pun yang menyertakan perawi, sanad mahu pun matan hadis ini. Kebetulan? Saya rasa tidak. Saya juga telah menggunakan khidmat Professor Google, bertanyakan ustaz-ustaz tempatan, diserta dengan minda-minda sahabat semua, maka di sini dapat saya simpulkan, hadis ini, BUSTED!



Tanda-tanda hadis maudhu' (palsu) ialah (secara ringkas):

Pertama, bercanggah dengan ayat al-Quran. Maksud hadis mestilah sesuatu yang tidak bercanggah dengan al-quran dan maksudnya sama ada secara tersurat atau tersirat. Kerana adalah mustahil al-Quran itu bercanggah dengan hadis dan sebaliknya.

Kedua, bercanggah dengan prinsip dalam Islam. Maksud hadis juga tidak boleh bercanggah dengan prinsip Islam. Umpamanya hadis yang mengatakan bersalam sambil mengucapkan sesautu perkataan boleh membawa masuk syurga adalah bercanggah dengan prisnsip Islam yang memerlukan seseorang itu mempunyai akidah dan amal Islam untuk syarat ke syurga.

Ciri hadis maudhu` ketiga ialah menjanjikan ganjaran yang besar-besar kerana perbuatan yang tidak seberapa. Umpamanya mendapat 1000 pahala dan masuk syurga hanya kerana menuang air kepada suami.

Oleh itu, telitilah setiap sumber yang kita ambil dan berhati-hatilah terhadap segala amalan yang telah kita lakukan sama ada bertepatan atau menyanggahi sunnah Rasulullah s.a.w.

Mudah-mudahan amalan yang kita lakukan bertepatan dengan nash sahih yang diyakini lebih baik dan diterima oleh Allah berbanding amalan yang masih diragui kesahihan sumbernya.

Wallahu'alam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. baru jumpa darjat hadis tersebut:

    1. PALSU (al-Maudhuaat, Ibn Jauzi, 3/226)
    2. PALSU, di dalam sanadnya ada para pemalsu hadith dan rawi-rawi yang majhul (al-Fawa-id al-Majmu'ah, oleh al-Syaukani. m.s. 197)
    3. Di dalam sanadnya ada Nuh bin Abi Maryam yang ditohmah dengan pendustaan (Tartib al-Maudhuaat) - Sila lihat takhrij hadith dari laman dorar.net

    ReplyDelete
  2. salam..
    saya pun ada terbaca jugak pasal amalan memotong kuku hanya hari isnin,khamis dan jumaat. tapi tak ingat di mana saya terbaca. kawan saya siap guna hadith tu dalam tazkirah...
    thanks 4 ur info!
    keep writing in islam...

    wallahu 'alam!

    ReplyDelete
  3. ha?
    betl ke?
    ad ke hadis mcm 2?
    ish2...

    ReplyDelete
  4. kepada Ameen Muslim, insyaallah ilmu Allah ini kita manfaatkan dan sebarkan bersama.

    kepada fq, inilah realiti kehidupan, penuh pendustaan dan pemalsuan

    ~_~

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"