Monday, June 08, 2009

Kakak Dalam Islam - Hidup Atau Mati?

Selepas selesainya Muktamar Tahunan PAS kali ke-55, salah satu topik yang paling hangat diperkata dan diperdebatkan adalah mengenai badan bukan kerajaan Sister In Islam (SIS). Usul oleh PAS Shah Alam mendesak supaya kerajaan mengharamkan pertubuhan wanita terkenal ini jika benar siasatan mendapati NGO ini mengancam akidah umat Islam. Usul ini diterima tanpa bahas dalam muktamar tersebut.

"Mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal. Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya" antara petikan usul tersebut.

Menurut usul ini juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Ada yang setuju dan ada yang menentang dengan usul tersebut.

"Sebagai rakan Pakatan Rakyat, PAS sepatutnya berpegang kepada prinsip demokrasi, kebebasan bersuara dan kebebasan berpersatuan yang kita perjuangkan bersama. Jika mana-mana pihak mahu mengharamkan SIS atau organisasi yang berbeza dengannya, ia adalah sifat kuku besi yang tidak harus menjadi budaya kita." petikan kata seorang ahli politik.

"Di mana demokrasi dan kebebasan bersuara?" petikan kata seorang pemuda lain pula.

Di Mana Had Bebas?

Jika kebebasan bersuara dan hak adalah alasan utama untuk mempertahankan SIS, maka saya terpanggil untuk berkata tentang definisi bebas itu sendiri.

Bebas bererti melakukan sesuatu atau sebarang perkara tanpa disekat, dikongkong, dihalang atau dikawal.

Benarkah?

Jikalau benar definisi ini digunapakai, maksudnya undang-undang adalah tidak relevan untuk dicipta kerana undang-undang menyekat kebebasan, secara literalnya.

Adakah kebebasan itu hanya dalam ruang lingkup undang-undang manusia atau kebebasan itu tiada had sempadan penentu? Jika setiap manusia mempunyai kebebasan untuk bersuara, maka kebebasan untuk perkara lain juga sepatutnya tidak menjadi masalah. Kebebasan untuk minum, kebebasan untuk bergaul, kebebasan untuk ke mana-mana dan lain-lain.

Hancur. Rosak. Musnah.

Kerana itu kebebasan mutlak tidak pernah wujud.

Kerana itu Islam ada panduan, petunjuk dan kaedah penyelesaian dalam sebarang perkara.

Ustazah Yang Tidak Bertudung

Sisters In Islam terkenal dengan prinsip mereka untuk menegakkan hak wanita menurut cara Islam yang sebenar, jitu dan telus. Tetapi satu perkara yang masih menjadi persoalan besar bagi ahli-ahli SIS ini adalah rata-rata (terutamanya pucuk pimpinan atasan) daripada mereka tidak bertudung. Mereka dengan senangnya berkata-kata dan berhujah mengenai isu-isu Islam seperti fiqh, syariah dan muamalat tanpa mereka sendiri mengamalkannya. Pelik bukan?

Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (an-Nur : 31)

Jika benar SIS berpaksikan hukum dan undang-undang Islam, bagaimana dengan dalil di atas yang menyuruh setiap wanita yang beriman supaya menutup aurat? Sejauh mana mereka patuh kepada ayat tersebut?

Seperti kumpulan orang tidak mengaji berlagak menjadi guru.

(Maaf jika penulisan ini kasar dan menyinggung perasaan sesiapa. Kebebasan menulis? Fikirkanlah.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

4 comments:

  1. artikel ini ditulis ringkas sahaja. baca dan hadam sendiri, kalau hendak diperkata satu per satu amatlah panjang. jaga iman ye semua pembaca yang dikasihi!
    ~_~

    ReplyDelete
  2. setiap sesuatu ada hdnya

    kehidupan boleh diibaratkan seperti sebuah gelas yg diisi dgn air.

    had bg air tersbt adalah pghujung gelas

    klw melebihi had air akn tumpah

    ________________________________
    had kpd kehidupan adalah kematian
    ________________________________

    ReplyDelete
  3. akhirnya ada juga tindakan untuk menyekat SIS..

    ReplyDelete
  4. setelah sekian lama menyampaikan dakyah secara terang-terangan.. melalui 3R and program2 tv yang lain.. at last.....

    ReplyDelete

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"