Thursday, January 28, 2010

Pilihlah 'Raya' Yang Terbaik


Minggu ini, suasana di kampus adalah amat berbeza sama sekali. Kafeteria tampak sangat sesak dengan dibanjiri kertas-kertas dan muka-muka yang tertentu. Ada segelintir yang memakai baju seragam mereka duduk di satu kelompok, dan ada segelintir yang lain pula duduk sekelompok di bahagian yang lain. Flyers, kad, kalender poket dan bermacam-macam lagi produk mereka edarkan. Ada yang berasa gembira, ada yang berasa teruja, ada yang berasa bimbang, dan tidak kurang ada juga yang berasa keliru dengan suasana pada minggu ini.

Ya, kerana minggu ini minggu 'raya'.

Pada malam tadi, sesi rapat umum yang terakhir telah dijalankan di Kolej Kediaman E dan hari ini, proses pengundian akan dijalankan di Dewan Canselor. Saya hanya berkesempatan untuk bertandang ke rapat umum yang terakhir ini kerana ianya dilakukan di kolej kediaman saya, dan juga sesi yang terakhir biasanya yang paling 'hangat' dan riuh, mana mungkin saya tidak menyertai untuk menyokong.

Kafeteria E seakan-akan tin sardin. Puluhan pelajar dari kolej kediaman yang lain turut bertandang ke sini untuk memberikan semangat kepada calon-calon pilihan mereka. Sudah tentu, yang paling ketara, adalah dua puak ini, puak 'merah' dan puak 'oren'. Saya sendiri tergolong dalam puak 'oren' tersebut.

Hmm...saya memerhati ucap para calon umum dan JAKMAS.

Manifesto retorik semata?

Tiga tahun di sini cukup untuk mematangkan saya dengan semua itu. Oh ya, rata-rata calon adalah lebih muda daripada saya, maka tidak hairan mereka memberi manifesto yang sama setiap tahun, dan juga yang hampir mustahil untuk dilakukan. Tidak belajar dari orang yang lebih tua atau lupa?

Hmm...

Mulut manis dan penampilan menawan semata?

Berbaju melayu, berkot dan berblazer, ditambah dengan aksesori-aksesori menawan yang lain, seakan menampakkan diri mereka lebih seperti seorang artis daripada seorang pemimpin. Mungkin tidak semua, tetapi segelintir. Mulut mereka mungkin manis, tetapi adakah yang bermulut masin?

Hmm...

Pemimpin Yang Sebenar


Dalam hal memilih pemimpin, Islam menetapkan garis panduannya dengan jelas. Oleh kerana al-Quran adalah panduan dan peraturan, maka pemimpin yang hendak dituruti dan dipatuhi ialah pemimpin yang patuh kepada kehendak al-Quran yang memimpin ke arah ketakwaan.

Orang-orang yang beriman tidak wajar memilih pemimpin semata-mata kerana mereka ada pangkat, kekayaan dan juga kekuasaan. Dengan harta, pangkat dan kekuasaan belum pasti pemimpin itu layak dituruti kerana belum pasti mereka dapat membawa pengikutnya kepada keredhaan Allah SWT.

Orang-orang yang menjadi pemimpin biarlah yang tahu halal dan haram, dosa dan pahala. Pemimpin mestilah yang celik al-Quran supaya bukan sahaja pemimpin itu bertakwa tetapi juga menjadi pemimpin kepada orang-orang bertakwa.

Firman Allah dalam Surah al-Furqan (25: 74) yang bermaksud:

“Dan (wahai Tuhan) jadikanlah kami imam (pemimpin) kepada orang-orang yang bertakwa.”

Dan

Surah An-Nisa’: 59

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan ulil amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunahnya) , jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya."

Asbabun Nuzul ayat 59, Surah An-Nisa’:

Ibnu ‘Abbas menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan sehubungan dengan Abdullah bin Hudzafah bin Qais, ketika ia diutus Rasullullah untuk memimpin pasukan perang. (HR Bukhari)

(Ulil amri = Pemimpin yang selagi mana berpegang pada al-Quran dan as-sunnah).

Selain itu janganlah pula orang-orang yang beriman menjadi pengikut kepada pemimpin yang tidak menghiraukan halal haram, sesungguhnya sikap pemimpin yang demikian itu adalah melampaui batas-batas Allah (taghut).

Janganlah di akhirat kelak orang-orang yang tergolong celik agama tetapi berada dalam barisan menuju neraka, iaitu di bawah pimpinan manusia yang bertaraf taghut. Sesungguhnya akan diseru manusia di akhirat kelak supaya mengikut di belakang pemimpin yang mereka taati.

Justeru janganlah jangan sampai tersalah memilih pemimpin kerana pemimpin itu mempunyai tanggungjawab bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Pilihlah Yang Terbaik


Hari ini hari mengundi. Pesanan buat rakan-rakan seperjuangan, undilah mereka yang terbaik, yang mampu memimpin bukan yang mampu mengampu, yang mampu berbicara bukan yang mampu menghafal skrip, yang mampu adil bukan yang mampu buta, yang mampu menegakkan agama bukan yang mampu merobohkan agama.

Hidup! Hidup!
Hidup mahasiswa!

*gambar pilihanraya ihsan daripada nur_mahasiswa
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"