Saturday, February 05, 2011

Sekular Itulah Jahiliyyah



Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliyyah. Ada yang menafsirkan jahiliyyah hanyalah orang-orang Arab yang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW. Sukalah saya ingatkan terhadap satu buku yang dikarang oleh Dr Muhammad Qutb yang bertajuk Jahiliyyah fil Qarnil Isyrin  (Jahiliyyah di Kurun ke-20). Ini bukti saya bukannya orang pertama yang menyatakan jahiliyyah wujud di zaman ini.

Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliyyah.  Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliyyah walaupun tidak memakai nama jahiliyyah. Ia seperti menggelarkan zina dengan seks bebas, sekalipun nama berbeza dan dilembutkan nadanya, ia tetap zina. Dadah disebut morfin, heroin dan sebagainya, ia tetap dadah. Arak pula digelar minuman keras dengan pelbagai jenama, hakikatnya ia tetap arak yang diharamkan. Demikianlah sekularisme, nasionalisme, komunisme, sosialisme dan ism-ism yang diasaskan oleh manusia moden  tetap merupakan benih jahiliyyah. Setiap masa dan saat, kita diberikan dua pilihan, Islam atau jahiliyyah. Pilih Islam ertinya selamat, menentang Islam bererti memilih jahiliyyah.


Ada yang berkata jahiliyyah hanyalah bermakna bodoh. Ini satu tanggapan yang salah. Tidakkah orang-orang Arab di zaman nabi merupakan orang-orang yang cerdik. Mereka pakar di dalam perniagaan, pakar peperangan dan pakar bahasa. Gelaran jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh tetapi kerana mereka menolak Islam. Justeru Allah SWT berfirman.


“Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” (al-Maidah: 50)


Islam mengajar selepas mati ini akan nada hidup di akhirat. Kepercayaan kepada hari akhirat merupakan tonggak kepada rukun iman dan Nabi Muhammad SAW seringkali mengingatkan dalam banyak hadisnya : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat……”  Islam mengajar dunia ini milik Allah SWT, dipinjamkan kepada manusia sebagai khalifah. Sekular mengajar bahawa manusia berhak melakukan apa saja yang dikehendakinya apabila berkuasa. Islam mengajar bahawa setiap perbuatan manusia akan diadili di akhirat, jika baik natijahnya syurga dan jika tidak, natijahnya ialah neraka.


Ajaran sekular hanya memikirkan soal bagaimana untuk berkuasa. Etika dan undang-undang boleh diketepikan apabila tidak berpihak untuk mereka. Rasulullah SAW hadir dengan membawa makanan roh bukannya makanan fizikal semata-mata.


Seruan saya, baliklah kepada Islam. Islam yang adil, Islam yang membawa rahmat dan Islam yang menjanjikan kemenangan. Kita bukannya memburu kemenangan di dunia semata-mata, tetapi kita memburu kemenangan di akhirat. 
 
p/s: Artikel ini diolah daripada artikel sebenar di sini. Bagi mereka yang mencaci beliau dan mendakwa beliau salah guna agama, sesat, fatwa songsang, dan bermacam-macam lagilah, tengoklah kembali dan nilailah sendiri. Cubalah duduk di sebelahnya, atau pergi menghadiri kuliah-kuliah dan ceramah-ceramahnya. Sungguh, kalaulah ulama sebegini dicaci hina kerana perjuangannya, teruk benarlah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

© Q-riuz (2008 – 2013)

Hak cipta terpelihara. Setiap artikel yang tersiar di Q-riuz dihasilkan untuk tujuan pendidikan dan bersifat non-komersil. Pembaca bebas menyalin dan menyebarkan artikel yang terdapat di sini, namun alamat Q-riuz hendaklah disertakan bersama untuk memudahkan proses rujukan. Manakala untuk penerbitan semula dan berorientasikan komersil, setiap bahagian daripada artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan untuk pengeluaran atau dipindahkan dalam bentuk lain, sama ada dengan cara bercetak, elektronik, mekanikal, fotokopi, rakaman dan sebagainya, tanpa izin Q-riuz terlebih dahulu.

"Curiosity Only Leads To One Thing...Knowledge"